SHAH ALAM - Pengarah prolifik, Syafiq Yusof berterima kasih kepada orang ramai yang mempercayai karya-karya arahannya.
Ujar Syafiq, 31, sebagai seorang pembikin filem, beliau berusaha untuk menghasilkan filem yang lebih baik dengan bajet yang agak terhad.
"Macam yang pernah ayah saya katakan, tidak ada formula dalam menghasilkan filem kerana kita tidak tahu apa yang penonton mahukan kerana cita rasa penonton berubah-ubah dan berbeza.
"Sejak dulu lagi, kita terdedahkan dengan hiburan dari luar negara seperti Hollywood dan Bollywood. Jadi secara tidak langsung kita ada jangkaan yang tinggi terhadap karya tempatan.
"Sebagai pengarah, menjadi keutamaan saya untuk sentiasa memperbaiki mutu pengarahan, tidak pernah berputus asa dan tidak berhenti untuk berkarya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Meskipun berdepan dengan jangkaan tinggi penonton, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu tidak berasa bimbang, sebaliknya berharap masyarakat di Malaysia lebih bersatu dalam memberi sokongan terhadap karya tempatan.
"Makin lama, kos pembikinan semakin tinggi, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan. Jadi solusinya adalah buat sebaik mungkin dan bertindak di luar kotak.
"Cuma kita tidak akan dapat semua sebab bajet kita tidak sebesar Hollywood, tak perlu sampai peringkat itu pun, bajet kita tak setanding Korea mahupun Thailand, tetapi dengan bajet yang terhad, kita boleh buat sebaik mungkin.
"Jadi, sebaiknya penonton janganlah ada pandangan skeptikal terhadap karya tempatan. Beri peluang orang kita memajukan industri. Lihat macam negara luar, mereka percayakan karya mereka,” tuturnya.
Tambah Syafiq, orang Malaysia sering dihidangkan dengan karya-karya berkualiti dari luar, sedangkan hakikatnya ada beribu karya ‘sampah’ yang tidak dipertontonkan.
"Ramai orang bandingkan filem kita dengan filem dari Amerika Syarikat, sedangkan kalau kita ke sana, ada beribu-ribu filem ‘sampah’.
"Cuma filem yang tidak berkualiti itu tidak dibawa masuk dan orang kita pula fikir kalau filem orang putih pasti bagus, kalau filem tempatan mesti tak bagus. Sebenarnya sama sahaja,” tegasnya.
Mengulas mengenai hasil kutipan filem yang dijana olehnya, Syamsul dan bapanya, Yusof Haslam, Syafiq berkata, biarpun jumlah itu nampak besar, namun bukan diberi bulat-bulat kepada penerbit.
Jelasnya, hasil kutipan filem itu akan dibahagi dengan pihak pawagam dan perlu membayar cukai 25 peratus kepada kerajaan.
Sementara itu, ditanya mengenai perbandingan yang dibuat penonton terhadap filem arahannya dengan naskhah dari abangnya, Syamsul, Syafiq berkata, dia terbuka mengenai perkara itu.
"Sebagai orang yang mempunyai pertalian keluarga, saya tidak lari jika ada yang membandingkan hasil pengarahan kami.
"Bagi saya, tidak ada masalah kerana saya belajar daripada abang dan ayah. Mereka adalah sifu saya.
"Malah saya terbuka menerima apa sahaja kritikan untuk saya lebih maju ke hadapan,” ujarnya yang berharap karyanya selepas ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca