SHAH ALAM - Ketika beberapa Exco kerajaan negeri Selangor mula berkemas serta mengosongkan ruang pejabat menjelang pilihan raya negeri (PRN), suhu politik tanah air semakin panas apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketika beberapa Exco kerajaan negeri Selangor mula berkemas serta mengosongkan ruang pejabat menjelang pilihan raya negeri (PRN), suhu politik tanah air semakin panas apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri menjadi rebutan parti-parti politik untuk ditandingi.

Selangor paling menjadi tumpuan setakat ini apabila UMNO negeri dilaporkan menuntut 17 kerusi di sebalik spekulasi parti itu hanya ditawarkan 10 daripada 56 kerusi DUN oleh Pakatan Harapan (PH).

Barisan Nasional (BN) hanya menang empat kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kesemuanya calon UMNO.

ADUN Sungai Panjang daripada BN, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, BN dijangka diberi kerusi minimum antara 10 atau 11 kerusi DUN Selangor.

"Maksimum mungkin BN akan peroleh 15 kerusi, walaupun pada awalnya kita runding 22 kerusi mewakili 22 bahagian UMNO di negeri Selangor.

"Bagaimanapun, setakat ini keputusan belum muktamad. Jika 10 atau 11 kerusi pun kita peroleh dalam rundingan ini, BN perlulah bekerja keras untuk menang dan dibantu dengan PH.

"Begitu juga kerusi lain yang ditandingi PH, mestilah kita berikan komitmen untuk memastikan kerusi tersebut kita menang bersama dalam konteks Kerajaan Perpaduan,” jelas beliau yang menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN dan PH untuk membuat keputusan muktamad.

Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang dihubungi Sinar Harian pada Ahad memberitahu, keputusan jumlah kerusi yang bakal ditandingi BN bakal dimuktamadkan pada 6 Jun ini.

Sementara itu, Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Menteri Besar Selangor berkata, PH dan BN negeri sudah selesai berunding dan bersetuju dengan agihan 49 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.

Katanya, agihan tujuh lagi kerusi masih dalam rundingan dan menjangkakan proses itu dapat diselesaikan selewat-lewatnya menjelang pembubaran DUN.

"Maknanya saya boleh cakap sudah 83 peratus (agihan kerusi DUN) selesai pada tahap ini. Ia perkembangan besar selepas hanya dua kali pertemuan di peringkat negeri," katanya selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2021-2022 pada Ahad.

Sementara itu, ADUN Sentosa daripada PKR, G Gunaraj berkata, tiada perebutan kerusi di DUN itu antara BN-PH.

Jelasnya, pimpinan negeri setakat ini menetapkan kriteria agihan diberikan kepada parti yang telah menang kerusi DUN terbabit pada PRU14 lalu.

"Apa yang saya faham, BN mahukan kerusi yang lebih dan itulah permintaan mereka.

"Setakat ini, belum ada keputusan namun PH mahu pertahan kerusi yang dimenangi,” katanya.

Jelasnya, PH perlu bertegas isu agihan kerusi tersebut dengan mempertahan kerusi yang telah dimenangi pada PRU14.

Namun katanya, isu tersebut perlu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan.


Info

Kedudukan kerusi DUN di enam negeri

Selangor (56)

PKR=51

BN=4

Pas=1

Kelantan (45)

BN-8

Pas=37

Kedah (36)

PKR=18

BN=3

Pas=15

Terengganu (32)

BN=10

Pas=22

Negeri Sembilan (36)

PKR=20

BN=16

Pulau Pinang (40)

PKR=37

BN=2

Pas=1

*Berdasarkan keputusan PRU14 pada 2018. Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

Klik di sini untuk terus membaca