BRASILIA - Setahun yang lalu pada petang Jumaat, pakar pengkaji masyarakat peribumi, Bruno Pereira dan wartawan British, Dom Phillips dilihat mengemudi bot di sepanjang sungai Itaquai menuju ke kawasan penempatan Ladario yang terletak jauh di barat Brazil.
Barisan rumah kayu di penempatan itu menandakan sempadan antara dunia luar dengan wilayah masyarakat peribumi Lembah Javari di Amazon.
Mereka disambut oleh seorang lelaki bernama Caboclo. Hubungan Pereira dengan komuniti di Ladario adakalanya bertukar tegang.
Ini kerana Pereira yang merupakan pegawai kanan Yayasan Orang Asli Brazil (FUNAI) kerap menyatakan bantahannya terhadap pencerobohan penduduk Ladario ke kawasan dihuni komuniti peribumi untuk memburu dan menangkap ikan.
Tindakan Pereira merampas peralatan menangkap ikan juga amat tidak disenangi penduduk di Ladario.
Pun begitu, Pereira mengambil pendekatan lain untuk membantu menambah mata pencarian penduduk Ladario yang hampir tidak menerima bantuan daripada kerajaan walaupun layak.
"Saya beritahu Pereira hujung bulan ini saya akan menuai 700 tandan pisang dan dia berjanji akan pergi ke Brasilia untuk mencari pemborong dan kembali ke Ladario," kata Caboclo kepada AP.
Namun, 48 jam selepas menjejakkan kaki ke Ladario, Pereira dan Phillips diserang hendap dan ditembak.
Mayat mereka dikerat, dibakar dan ditanam di dalam kubur yang cetek.
Bagi Caboclo pula, bapa lima orang anak ini bukan sahaja kempunan menjual pisang-pisangnya malah disumbat ke dalam penjara kerana didakwa terlibat dalam aktiviti menangkap ikan secara haram di Lembah Javari.
Lembah Javari, sebuah wilayah terpencil yang menempatkan beribu-ribu orang asli daripada lebih 20 kumpulan.
Ia adalah tempat perlindungan bagi kumpulan orang asli ini yang hidup terasing daripada dunia luar.
Wilayah ini telah diceroboh oleh nelayan haram, pemburu, pembalak serta pelombong dan polis memanggilnya sebagai laluan utama untuk pengedaran dadah.
GAMBAR TERAKHIR DITEMUIGambar terakhir Pereira dan Phillips yang merupakan penyumbang tetap akhbar The Guardian telah ditemui dalam telefon bimbit yang hilang.
Gambar-gambar itu ditunjukkan dalam sebuah dokumentari yang disiarkan pada Jumaat.
Ia diambil beberapa jam sebelum Pereira dan Phillips dibunuh pada 5 Jun 2022.
Jenayah itu telah mencetuskan bantahan antarabangsa dan menarik perhatian kerana pelanggaran undang-undang yang mencetuskan kemusnahan hutan hujan terbesar di dunia itu.
Penyiasat berkata Pereira, 41 dan Phillips, 57, ditembak oleh sekumpulan nelayan haram.
Kematian mereka dilihat sebagai tindak balas terhadap usaha Pereira memerangi jenayah alam sekitar di kawasan simpanan Orang Asli Lembah Javari.
Dokumentari yang dihasilkan oleh perkhidmatan penstriman Globoplay, menunjukkan pasukan pencari menggunakan pengesan logam di lokasi mayat ditemukan.
Pasukan itu berjaya menemukan buku nota serta kad media Phillips dan kemudian menemui telefon Pereira.
Barang tersebut berpotensi dijadikan sebagai bukti penting kematian mereka.
Telefon yang ditemui pada Oktober itu diselaputi lumpur dan telah diserahkan kepada pakar forensik untuk mendapatkan imej dan data.
Gambar terakhir yang diperolehi daripada data tersebut menunjukkan ianya diambil pada pagi kedua-dua lelaki itu dibunuh.
Foto tersebut menunjukkan Phillips sedang duduk di dalam sebuah bot kecil di sungai Itaquai dan bercakap dengan seorang penduduk tempatan.
Terdapat juga video salah seorang daripada tiga suspek yang sedang dibicarakan dalam kes itu iaitu seorang nelayan tempatan Amarildo "Pelado" Costa de Oliveira.
Pereira sebelum ini telah menerima ugutan bunuh berulang kali dek kelatangannya memerangi jenayah alam sekitar selain memperjuangkan hak orang asli di Lembah Javari. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca