TIGA penggal menjadi wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berjaya mengubah Paya Jaras dari sebuah kampung tradisi kepada status pembangunan dengan banyaknya pembukaan taman perumahan baharu di... Klik di sini untuk terus membaca

TIGA penggal menjadi wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berjaya mengubah Paya Jaras dari sebuah kampung tradisi kepada status pembangunan dengan banyaknya pembukaan taman perumahan baharu di sini.

Selain daripada aspek pembangunan, beliau yang juga Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor menitikberatkan kebajikan B40 dan peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, NORAFIZA JAAFAR bersama Mohd Khairuddin yang turut menyentuh mengenai politik menjelang pilihan raya negeri (PRN).

SINAR HARIAN: Apakah pembangunan dilaksanakan dan sedang dalam tumpuan di DUN Paya Jaras?

MOHD KHAIRUDDIN: Banyak pembangunan yang telah dilakukan antaranya Stadium Mini Paya Jaras, pembaikan semula padang Anggerik Saujana Utama dan gelanggang bola keranjang di Bukit Rahman Putra.

Selain itu, kita juga telah membaik pulih infra dan kemudahan padang dan gelanggang terbuka untuk permainan sepak takraw dan futsal di seluruh kawasan DUN Paya Jaras.

Infra lain yang telah dibangunkan termasuklah melebarkan Sungai Kedondong yang projek ini dapat menyelesaikan masalah banjir kepada 2,000 rumah.

Kita juga membina dan menyelenggara longkang-longkang di kawasan kampung dan menurap jalan-jalan rosak di kampung dengan kerja sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Kita juga dapat membuka jalan Shorea menghubungkan Taman Saujana Utama ke Elmina yang membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas teruk pada waktu pagi dan petang.

Selain itu, kita juga menyediakan gerai-gerai jualan untuk kegunaan penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1 dan Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 3 yang dapat membantu penjaja berniaga dengan lebih teratur dan bersih.

Pembangunan seterusnya ialah membina Bangunan Pasar Moden di Tapak Pasar Malam Paya Jaras, membina tempat perhentian bas di depan Pasar raya Econsave Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 3 dan menyediakan dua lagi jalan alternatif dari Saujana Utama ke Jalan Utama FT54 (Sungai Buloh ke Kuala Selangor) dan Kampung Sri Indah A ke Jalan Hospital.

Pelebaran dan naik taraf Sungai Subang juga akan dilaksanakan dan menaik taraf jalan simpang tiga Masjid Al Huda kepada jalan simpang empat serta pelebaran longkang di jalan yang sama terus ke sungai Paya Jaras. Juga tidak ketinggalan mendirikan Balai Bomba Sukarela Saujana Utama di Saujana Utama.

SINAR HARIAN: Selangor antara negeri pesat dengan pembangunan, namun masih ramai rakyat berada dalam kategori B40. Bagaimana kerajaan negeri dapat bantu tingkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat?

Mohd Khairuddin (dua dari kiri) pada program bersama rakyat.

MOHD KHAIRUDDIN: Kita akui masih terdapat ramai rakyat berada dalam kelompok B40 tetapi jika kita telusuri dan perhalusi sebahagian besar adalah mereka yang berhijrah dan juga terdapat warga asing yang datang mencari pekerjaan di Selangor.

Selangor sangat aktif dan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya dengan membuka dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan.

Di Selangor kita sangat menitikberatkan soal ini sebab itu kita ada program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dari anak yang baru lahir hingga ke usia emas untuk memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat negeri Selangor.

Kerajaan negeri juga sangat aktif dalam penyediaan peluang pekerjaan melalui

program Jobfair yang dianjurkan secara berkala untuk menyediakan tenaga kerja kepada majikan dan juga bagi mereka yang baru habis belajar untuk mendapatkan pekerjaan.

Dengan program Blueprint Pembasmian Kemiskinan kita menyediakan peralatan bantuan kepada golongan yang berminat untuk meniaga sama ada penjaja atau peniaga kecil.

Kita juga bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan dan swasta untuk membangun dan melahirkan pekerja kompeten, produktif dan responsif dan berdaya saing dalam pasaran buruh.

Juga dalam bidang kemahiran tidak ditinggalkan agar kita ada tenaga kerja yang dapat memenuhi permintaan dalam bidang kemahiran.

SINAR HARIAN: Bagaimana prestasi Kerajaan Perpaduan setakat ini? Adakah berpuas hati dengan pentadbiran yang dilakukan ketika ini dan apakah tambah baik yang boleh dilakukan?

Mohd Khairuddin pada program bersama rakyat.

MOHD KHAIRUDDIN: Baik dan sentiasa maju ke hadapan. Ini boleh dilihat dalam kerjasama yang baik dalam membuat keputusan dan dasar-dasar baru kerajaan yang sentiasa dibincangkan secara bersama.

Semua ini amat penting untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan progresif, memberi keyakinan dan dihormati oleh negara-negara lain.

Kerajaan harus memberi fokus untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat dengan menyediakan infrastruktur yang baik terutama yang melibatkan industri pendidikan, kesihatan,pengangkutan dan keterjaminan makanan.

Di samping itu, perlu sentiasa berusaha menambah pelaburan langsung dan mengurangkan pembaziran.

SINAR HARIAN: Menjelang PRN, sejauh mana pentadbiran peringkat Pusat akan mempengaruhi undian rakyat Selangor? Adakah PH mampu kekalkan kemenangan dengan majoriti mudah seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu?

MOHD KHAIRUDDIN: Pentadbiran Pusat mencerminkan pola pemikiran pemimpin dan hala tuju sesebuah kerajaan itu bertindak.

Disebabkan kerajaan Pusat dan negeri dipimpin oleh parti atau kerajaan yang sama secara langsung akan mencerminkan gaya dan corak pemerintahan kerajaan negeri.

Oleh itu, setiap tindakan dan keputusan kerajaan Pusat dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, merealisasikan agenda pembangunan, meningkatkan ekonomi negara dan rakyat ada memberi impak kepada PRN.

SINAR HARIAN: Apakah harapan Yang Berhormat (YB) untuk PRN di Selangor?

MOHD KHAIRUDDIN: Harapan saya PH akan terus kekal dan menang bergaya pada PRN Selangor yang akan datang.

Ini penting untuk kita terus merealisasikan apa yang telah kita laksanakan selama tempoh tiga penggal, membawa kebaikan dan kemakmuran kepada rakyat Selangor.

Memastikan Selangor sentiasa di hadapan dan menjadi negeri contoh kepada negeri-negeri yang lain.


PROFIL

Nama: Mohd Khairuddin Othman

Asal: Selangor

Status: Berkahwin dan mempunyai tiga anak

Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Teknologi Mara;

Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM

Doktor Falsafah dalam Politik Psikologi & Perangsaraf Media (peringkat akhir) UiTM

Jawatan: Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor dan ADUN Paya Jaras.

Klik di sini untuk terus membaca