TIADA sebab Pakatan Harapan (PH) mahupun rakan koalisi terbaharunya, Barisan Nasional (BN) tidak mahu melantik semula Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya pakatan itu berjaya mengekalkan... Klik di sini untuk terus membaca

TIADA sebab Pakatan Harapan (PH) mahupun rakan koalisi terbaharunya, Barisan Nasional (BN) tidak mahu melantik semula Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya pakatan itu berjaya mengekalkan penguasaan mereka pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Sumber yang dekat dengan Menteri Besar Selangor itu berkata, spekulasi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada BN yang didakwa bakal menggantikan Amirudin bagi jawatan pentadbiran nombor satu di Selangor itu juga tiada asas kukuh.

Jelas sumber berkenaan, hal ini kerana Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu hakikatnya sedang sibuk menguruskan portfolio kementerian yang dianggap penting kepada negara di samping formula agihan kerusi pilihan raya yang bersifat status quo, dijangka memastikan PH bertanding jumlah kerusi DUN yang lebih banyak berbanding BN.

TENGKU ZAFRUL

"Spekulasi Menteri Besar Selangor bakal digantikan dengan Tengku Zafrul adalah tidak betul. Dakwaan kononnya BN mahu tuntut sehingga 17 kerusi DUN daripada PH juga tidak tepat.

"Selaku Menteri MITI, Tengku Zafrul pastinya lebih sibuk menguruskan portfolio kementeriannya yang penting, terutama pada saat negara berdepan isu ketidaktentuan ekonomi dunia pada ketika ini, daripada memikirkan soal jawatan politik lain.

"Lagipun, Datuk Seri Amirudin masih berstatus Menteri Besar dan dilantik sebagai Pengerusi PH Selangor bagi mendepani PRN Selangor,” ujar sumber berkenaan kepada Sinar Premium pada Ahad.

Mengenai isu rundingan kerusi antara BN-PH, sumber PKR itu turut menafikan dakwaan Tengku Zafrul sedang mengintai bertanding di DUN Sungai Kandis yang disandang Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Tegasnya, proses rundingan kerusi antara wakil BN-PH setakat ini menunjukkan bahawa formula agihan status quo akan dijadikan panduan dengan tiada sebarang pertukaran kerusi DUN dijangka berlaku antara dua koalisi berkenaan.

"Setakat ini, rundingan kerusi sudah mencapai 80 peratus. Lebihan 20 peratus itu adalah melibatkan kerusi bertindih yang sebelum ini disandang wakil rakyat parti yang pernah bersama PH seperti Bersatu, Pejuang dan Parti Bangsa Malaysia (PBM),” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharudin daripada parti Amanah turut bersetuju sekiranya Amirudin dikekalkan menjadi Menteri Besar Selangor.

HASNUL
HASNUL

Tambahnya, Selangor sudah menjadi kubu kuat PH sejak PRU12 pada tahun 2008 (ketika itu dikenali Pakatan Rakyat) dengan koalisi itu mengekalkan penguasaannya sehingga kini.

"Dengan sejarah Selangor sebagai kubu kuat PH, sudah pasti formula status quo akan dipertimbangkan PH-BN dalam menyelesaikan rundingan agihan kerusi pilihan raya.

"Lagipun, secara konvensyen, Sultan Selangor akan memilih calon MB dalam kalangan ADUN yang mendapat sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN lain. Jadi secara logiknya dengan penguasaan kerusi PH di negeri ini, peluang calon MB dipilih daripada PH adalah lebih cerah,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca