PENULIS baru sahaja kembali dari China. Banyak perkara yang bermain di fikiran dan sanubari penulis berkenaan bagaimana China yang sebelum ini berhadapan dengan krisis kesihatan disebabkan oleh Covid-19 sedang berusaha untuk keluar daripada krisis ekonomi dan ketidaktentuan ekonomi yang semakin mencabar.
Melihat kepada situasi semasa, disebabkan oleh ketidaktentuan cuaca dan perubahan iklim serta ditambah pula dengan perang antara Ukraine dan Rusia menyebabkan keadaan menjadi semakin tidak menentu. Maka terdapat kemungkinan harga barangan akan naik disebabkan oleh permintaan lebih tinggi daripada pengeluaran.
Penurunan pengeluaran barangan terutamanya barangan berasaskan makanan acap kali dikaitkan dengan pelbagai faktor, namun antara faktor yang amat penting mempengaruhi pengeluaran makanan adalah ketidaktentuan cuaca dan perubahan iklim.
Masihkah kita ingat tahun lalu India telah menyekat eksport gandum disebabkan oleh akibat fenomena gelombang haba yang telah menjejaskan pengeluaran gandum di negara itu.
Akibatnya, harga gandum global juga meningkat secara signifikan sehingga terdapat negara yang mana harga gandum mereka telah meningkat lebih 40 peratus.
Pada ketika tu fenomena gelombang haba tidak berlaku secara menyeluruh di peringkat global, namun ketika ini fenomena El Nino adalah fenomena global dan keadaan berpotensi menjadi semakin meruncing dengan kenaikan harga barangan pada masa akan datang amat mungkin berlaku.
Malaysia juga tidak terkecuali dengan isu ini lebih-lebih lagi kebergantungan Malaysia terhadap barangan import terutamanya bekalan makanan amat tinggi.
Mengikut laporan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sebanyak RM75.54 bilion import makanan dicatatkan pada 2022, berbanding RM63.59 bilion pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus.
Tentu sekali dengan kesan fenomena El Nino di peringkat global, kebergantungan tinggi kepada import dan ketidaktentuan ringgit juga berpotensi untuk mempengaruhi kenaikan harga barangan khususnya bekalan makanan.
Oleh yang demikian, kerajaan Pusat dan negeri dicadang mempertingkatkan simpanan bank makanan untuk bersedia daripada berhadapan dengan sebarang kemungkinan krisis makanan yang lebih mencabar.
Kita tahu tahun 2023 ini lebih ramai penduduk dunia yang akan berhadapan dengan krisis makanan termasuk peningkatan kadar kebuluran dan kekurangan bekalan makanan. Maka dengan adanya bank makanan ini, ia bertujuan untuk menyimpan makanan yang boleh bertahan lama.
Sekiranya krisis makanan meruncing maka stok makanan yang disimpan boleh digunakan untuk disalurkan kepada rakyat.
Stok makanan ini juga boleh digunakan dalam berhadapan dengan krisis lain contohnya bencana alam seperti kemarau berterusan, banjir dan memastikan semua rakyat dapat disediakan makanan sekiranya keadaan luar biasa berlaku.
Sebelum ini, semasa berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan Pusat dengan kerjasama pihak industri telah melaksanakan Program Bakul Makanan untuk membantu meringankan beban rakyat ketika itu. Selain itu, perkara yang sama juga turut dilaksanakan di negeri kelahiran penulis iaitu di Perak.
Terbaharu, ketika Kongres Perdana peringkat Negeri Kelantan yang dianjurkan oleh Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), penulis tertarik dengan penekanan yang diberikan oleh salah seorang pembentang iaitu Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menekankan berkenaan nilai tambah yang boleh diberikan di peringkat negeri Kelantan dalam membantu meningkatkan pengeluaran pertanian.
Peningkatan sektor pertanian di semua negeri secara tidak langsung mampu untuk mempertingkatkan simpanan bank makanan sebagai persediaan berhadapan dengan krisis makanan disebabkan oleh El Nino sekiranya ia benar-benar berlaku.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca