PADA 20 Mei lalu, rakyat Malaysia di United Kingdom (UK), terutamanya London dikejutkan dengan berita kematian pemilik Restoran Tukdin Flavour yang tersohor, Zainuddin Yahaya, 70, akibat masalah kesihatan.
Jenazah arwah yang lebih dikenali sebagai Tukdin itu dikebumikan pada 25 Mei 2023, setelah enam hari kematiannya.
Bagi masyarakat Islam di Malaysia enam hari masa untuk mengebumikan jenazah adalah tempoh yang terlalu lama dan sepertinya kita sedang ‘menyeksa’ si mati.
Sedaya mungkin kita mahu mempercepat proses pengebumian agar tidak melebihi tempoh 24 jam si mati menghembuskan nafas terakhir. Malah ada jenazah yang dapat dikebumi dalam tempoh kurang lima jam sahaja.
Namun di UK, ia adalah sesuatu yang mustahil. Tempoh purata yang diambil untuk menguruskan pengebumian adalah sekitar tujuh hingga 14 hari.
Seperti juga di Malaysia, proses pengkebumian atau pembakaran (cremation) hanya boleh dilakukan setelah surat pengesahan punca kematian dikeluarkan, sama ada oleh doktor atau pegawai penyiasat punca mati atau koroner.
Cuma di UK proses ini biasanya mengambil masa satu hingga lima hari bekerja. Jika terdapat unsur meragukan atau jenayah pada si mati yang memerlukan post-mortem, masa diambil lebih panjang.
Kebiasaannya, waris si mati yang beragama Islam atau Yahudi akan mendesak pihak hospital atau pejabat koroner untuk mempercepat proses pengesahan punca kematian.
Mereka mahu jenazah dikebumikan secepat mungkin seperti tuntutan agama masing-masing. Dapat mengebumikan jenazah dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas tarikh kematian boleh dikira cepat.
Bagi orang bukan Islam di sini, urusan pengebumian dilaksanakan oleh Director Funeral. Perkhidmatan Director Funeral pula tidak murah, menelan 50 hingga 70 peratus kos keseluruhan pengurusan jenazah. Itu belum termasuk lain-lain kos seperti kos keranda, kereta mayat, pembakaran mayat, tapak kubur, bunga serta makanan para tamu. Harga keranda sahaja boleh mencecah hingga £10,000 (RM57,000). Kos kubur pula boleh mencecah £4,000 (RM22,800) jika di bandar-bandar utama seperti London.
Kerana itu, perkhidmatan pengurusan jenazah telah menjadi industri yang begitu penting di UK dengan purata pendapatan mencecah £2.7 bilion (RM15.39 bilion) setahun. Jumlah ini dijangka meningkat lebih 27 peratus tahun ini.
Seperti yang sering kita tonton dalam filem barat, kebanyakan kubur di sini terjaga begitu rapi. Tapi ia bukanlah sebegitu sejak dulu. Kubur-kubur di London misalnya pernah menjadi tempat yang begitu kotor, tidak terurus dan berbau ketika zaman revolusi industri baru bermula.
Sehinggalah pandemik kolera yang mengorbankan 60,000 orang melanda pada tahun 1848, barulah revolusi pengurusan mayat bermula di UK. Bagi menangani masalah kekurangan ‘lubang kubur’ ketika itu, kerajaan UK meluluskan peraturan untuk membenarkan mayat dibakar.
Kini, membakar mayat menjadi pilihan paling popular rakyat UK. Caj yang dikenakan juga jauh lebih rendah iaitu sekitar £400 (RM2,280) hingga £1,300 (RM7,400), menjadikan kos keseluruhan pengurusan mayat lebih rendah.Tentulah ia bukan pilihan yang dimiliki umat Islam yang masih tegar berpegang kepada ajaran agamanya.
Meski hidup dalam negara sekular seperti UK, umat Islam masih kekal dengan pegangan agamanya - pengurusan jenazah adalah fardu kifayah yang diwajibkan ke atas semua yang masih hidup.Kerana itu, usai pengesahan punca kematian dibuat, urusan membawa keluar jenazah dari rumah mayat, memandi, kafan, solat jenazah dan pengebumian biasanya dilaksanakan oleh pihak masjid kariah di mati. Meski ada kos yang terlibat, namun ia jauh lebih rendah daripada membayar Funeral Director.
Adakalanya ia dibuat secara percuma oleh sukarelawan. Tinggal perlu membayar harga kuburnya sahaja. Ia bukanlah suatu hal yang payah jika si mati dan keluarganya punya sumber kewangan yang baik.
Namun jika si mati tidak punya kemampuan kewangan atau tiada ahli keluarga yang mampu menampung kos pengebumian, komuniti Islam akan bersama-sama membuka tabung bagi mengumpul dana awam untuk tujuan tersebut.
Bagi mereka, wang sudah tidak sepenting menghantar pulang jenazah dengan sempurna menemui Penciptanya.Proses pengurusan mayat di UK ini sedikit sebanyak membuatkan kita berasa bertuah kerana dilahir dan hidup dalam negara Islam seperti Malaysia.
Mungkin kerana itu juga, ramai orang Malaysia meski sudah puluhan tahun hidup bermastautin di UK, masih menyimpan niat untuk pulang menghabiskan sisa hayat di tanah air sendiri.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca