SHAH ALAM - Malaysia tidak memiliki sebarang kuasa diplomatik untuk menuntut China membenarkan ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low diekstradisi bagi berdepan pendakwaan kes mahkamah di negara ini sekiranya dakwaan mengatakannya berada di republik itu terbukti benar.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana mengikut undang-undang jenayah antarabangsa, Malaysia hanya boleh membuat permintaan ke atas China namun tidak boleh memaksa negara Tembok Besar itu 'mematuhi' permintaan berkenaan.
"Meskipun Malaysia telah mengeluarkan notis-notis kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol), namun ia tetap tertakluk kepada budi bicara kerajaan China sama ada mahu menghantar pulang Jho Low ke Malaysia atau tidak (jika benar dia di China).
"Kita tiada kuasa untuk memaksa China. Jadi dalam melihat isu ini, kita kena tinggalkan dahulu perundangan antarabangsa. Hal ini kerana dalam isu ini, ia tertakluk juga soal hubungan diplomasi antara Malaysia dan China. Jadi kalau China tidak mahu ikut (permintaan Malaysia) maka kita tidak akan dapat (Jho Low)," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pendedah maklumat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Xavier Justo bahawa China berkemungkinan tidak akan membenarkan Jho Low untuk pulang ke Malaysia.
Laporan sebelum ini menyebut Jho Low dipercayai berada dalam tahanan rumah di Shanghai, China menurut pengarang bersama Billion Dollar Whale, Bradley Hope.
Mohamed Haniff menjelaskan, negara dilihat berhadapan situasi yang sukar untuk mendapatkan Jho Low semula.
"Pada saya, 85 peratus perkara ini adalah berkaitan hubungan diplomasi dan kekuatan Malaysia di mata dunia dan sejauh mana hormat dunia ke atas kita.
"Sekiranya negara luar melihat Malaysia sebuah negara yang kuat dan menguntungkan, mungkin mereka mahu bekerjasama. Tetapi jika perkara ini tidak berlaku, maka saya lihat amat sukar untuk Jho Low dilepaskan oleh China sekiranya dia berada di negara tersebut. Saya fikir China ada kepentingan untuk 'menyimpan' Jho Low," jelasnya.
Ujarnya lagi, Jho Low mungkin menyimpan sesuatu rahsia yang turut melibatkan syarikat-syarikat besar di China.
"Mungkin Jho Low menjadi orang tengah kepada syarikat-syarikat ini, yang mana telah melakukan program-program merugikan ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak suatu ketika dahulu.
"Jika dia pulang (ke Malaysia) kemungkinan akan terdedah keburukan lain yang akan diketahui umum. Jadi kenapa mereka hendak lepaskan dia? Ini juga melibatkan kepentingan China, jadi katakanlah negara Tembok Besar itu mahu mengambil tindakan ke atas Jho Low mengikut undang-undang mereka, saya rasa mereka akan lakukan kemudian iaitu secara dalaman," katanya.
Tambahnya, kekuasaan dan kekuatan Malaysia juga tidak dapat mengatasi China sekali gus dilihat sukar membawa pulang Jho Low.
"Memang boleh guna kuasa ketenteraan, misalnya negara besar seperti Amerika Syarikat atau Rusia yang lebih kuat dari sudut ketenteraan boleh memaksa negara-negara kecil untuk menyerahkan orang diperlukan mereka untuk diadili dan dibawa pulang.
"Tetapi Malaysia tidak sekuat itu. Macam mana kita hendak gunakan tekanan kuasa ke atas negara sebesar China yang kini dianggap sebagai salah satu kuasa ekonomi dunia," tegasnya.
Sebelum ini Jho Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan AS$4.5 bilion dana 1MDB.
Pada 30 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berkata, pihaknya 'percaya' Jho Low bersembunyi di Macau.
Menurut laporan Al Jazeera, SPRM berkata, beberapa individu pernah melihat Jho Low di sana.
Pengarang bersama buku skandal 1MDB, Bradley Hope pula menyatakan pandangan yang berbeza iaitu dia yakin Jho Low diletakkan dalam tahanan rumah di Shanghai.
Hope juga mendakwa China telah menahan Jho Low susulan rundingan dengan Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca