DILAHIRKAN 69 tahun lalu di Rize, Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdogan dikenali sebagai seorang pemimpin dunia yang terkenal dengan personaliti politik yang cukup ampuh di negaranya.
Buktinya, setelah memerintah selama dua dekad, pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) itu dipilih semula majoriti rakyat Turkiye bagi menyandang jawatan Presiden untuk tempoh lima tahun lagi.
Erdogan memperoleh lebih 50 peratus sokongan sekali gus membolehkan beliau menewaskan pencabarnya Kemal Kilicdaroglu, pemimpin parti pembangkang utama daripada Parti Rakyat Republik (CHP) dalam pusingan penentu Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada 28 Mei lalu.
Berbekal pengalaman sebagai Perdana Menteri kemudian Presiden sejak tahun 2014, sememangnya Erdogan layak bergelar sebagai pemimpin paling lama bertahan dan berkuasa selepas Mustafa Kemal Ataturk yang mengasaskan Turkiye pada tahun 1923.
Namun apa istimewanya Erdogan hingga terus menambat hati rakyat Turkiye, dan bagaimana kemenangan penggal ketiga ini bakal memberi impak domestik dan antarabangsa serta apa cabaran seterusnya buat beliau?
Pensyarah Kanan Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurhidayu Rosli berkata, istimewanya Erdogan adalah ideologi partinya bersifat demokrat konservatif, iaitu berpegang kepada prinsip demokrasi dan mengamalkan nilai tradisi bangsa Turkiya.
"Erdogan tidak pernah menyatakan secara terang-terangan hasrat menjalankan islamisasi di Turkiye, sebaliknya berhati-hati dalam menjalankan sesuatu polisi dengan mengambil kira pandangan masyarakat melalui konsensus.
"Contohnya, penarikan larangan bertudung dalam kalangan wanita di premis awam yang dijalankan secara berperingkat dari tahun 2010 sehingga kini,” ujar Nurhidayu kepada Sinar Premium.
Erdogan juga berjaya menjalankan beberapa projek mega yang membuka peluang pekerjaan kepada rakyat seperti projek kereta api laju dan reaktor nuklear bagi menjana tenaga.
Jelas Nurhidayu, kemenangan Erdogan menewaskan pencabarnya kali ini adalah amat signifikan untuk masa depan rakyatnya berikutan Kilicdaroglu seorang yang pro-Barat dan sekular.
"Beliau juga mengamalkan kepercayaan Alevi dan sememangnya jelas tidak akan mempedulikan nasib orang Islam, selain berjanji untuk menghantar kembali semua pelarian Syria ke negara asal mereka,” kata beliau.
Ujarnya lagi, rentetan kemenangannya Erdogan, beliau dan partinya perlu bekerja keras bagi memenangi semula dua kubu iaitu Istanbul dan Ankara pada pilihan raya tempatan tahun 2024.
"Selain itu, Erdogan berdepan cabaran besar memulihkan semula ekonomi Turkiye yang diserang inflasi, isu pelarian Syria seramai 10 juta orang serta memulihkan semula negara susulan gempa bumi dahsyat yang mengorbankan lebih 50,000 nyawa pada Februari tahun ini,” katanya lagi.
Pada masa sama, kata Nurhidayu, kemenangan Erdogan juga akan mempengaruhi dasar luar Turkiye serta hubungan luar dengan negara berpengaruh dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.
Diketahui Turkiye mempunyai hubungan baik dengan Rusia, namun berita kemenangan Erdogan mungkin tidak berapa disenangi AS yang sering berbalah dengan Turkiye terutama dalam urusan Pertubuhan Perjanjian Atlantik (NATO).
"Kejayaan Erdogan menguatkan lagi pengaruh Turkiye selaku antara pemain utama NATO dalam membuat keputusan berhubung pertubuhan itu
"Ia merupakan rahsia umum bahawa Erdogan tidak merestui kemasukan Sweden ke dalam NATO.
"Ini menyebabkan hubungan antara Turkiye-AS semakin keruh, berikutan kemasukan Sweden akan membolehkan AS meletak kekuatan dan pangkalan tentera mereka di Selat Baltik sebagai benteng pertahanan daripada Rusia,” katanya.
CABARAN ERDOGAN
Bagi Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Aslam, kemenangan Erdogan adalah hasil komitmen beliau yang mahu mengubah imej Turkiye di mata dunia.
"Turkiye di bawah penguasaan Ataturk sebelum ini dikenali sebagai sebuah negara sekular, namun naratif dibawa Erdogan lebih mencerminkan nilai-nilai Islam dan terbuka.
"Pendekatan reformis yang positif itu menyaksikan banyak kelonggaran diberi kepada rakyat, ditambah populariti dalam kalangan penyokong kuatnya menjadi faktor utama Erdogan masih menjadi pilihan rakyat Turkiye,” ujar beliau.
Tambahnya, kemenangan tersebut turut menandakan pengukuhan jenama dan kuasa Erdogan yang pernah cuba digulingkan oleh pemberontak menerusi rampasan kuasa pada tahun 2016.
"Walaupun terdapat beberapa kawasan penting yang dikuasai pihak pembangkang dalam pilihan raya penentu tersebut, ini tidak bermakna Erdogan gagal. Sebaliknya ia satu cabaran untuk beliau terus menawan hati kelompok tersebut menerusi pelbagai pendekatan.
"Malah selepas diumum menang, Erdogan memperlihatkan jiwa besar dengan menyatakan inilah masa tepat untuk mengetepikan sebarang persengketaan dan mengajak semua pihak termasuk pembangkang, membangun Turkiye terutama dari segi pembangunan ekonomi serta melindungi negara daripada ancaman musuh sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya lagi.
MISI UTAMA
Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi pula berpendapat, misi utama Erdogan yang secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Sabtu, adalah lebih kepada menyelesaikan isu domestik berbanding cabaran antarabangsa.
"Selain menangani isu seperti kemelesetan ekonomi, kejatuhan mata wang Lira dan pengangguran, Erdogan perlu memperbaiki kelemahan dasar kerajaan agar sokongan rakyat tidak berbelah-bagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kesinambungan kekuasaan Erdogan di Turkiye juga menandakan dasar luar dan hubungan antarabangsa terutama dengan Malaysia bakal berterusan bagi membolehkan pelbagai peluang baharu diteroka.
"Sejak tahun 2022, Erdogan menegaskan hasrat memperluas hubungan antara dua negara ini termasuk dalam sektor ekonomi, pelaburan dan perdagangan selain daripada kesihatan, pendidikan, teknologi, komunikasi dan industri pertahanan.
"Hubungan baik Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini juga bakal menjadi nilai tambah dalam memastikan hubungan Turkiye-Malaysia terus kukuh,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca