PADA Isnin, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Yang Dipertua Dewan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Isnin, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Di sebalik pengurniaan darjah kebesaran PSM kepada 26 individu selain Johari, tumpuan utama umum terarah kepada penyenaraian nama tokoh politik DAP, Lim Kit Siang dan bekas Menteri Besar Kelantan serta Mursyidul Am Pas paling berpengaruh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk penerimaan anugerah berkenaan.

Bagi DAP, pemberian anugerah kebesaran daripada Seri Paduka kepada Kit Siang, 82, yang dianggap tokoh DAP paling penting dalam sejarah parti itu, menandakan beliau menjadi pemimpin DAP pertama menerima gelaran Tan Sri.

Tan Sri adalah darjah kebesaran persekutuan kedua tertinggi, selepas Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun.

Pengurniaan Tan Sri kepada Kit Siang sudah pasti mengejutkan banyak pihak, lebih-lebih lagi dasar DAP selama ini menetapkan pemimpinnya tidak akan menerima sebarang gelaran ketika memegang jawatan politik.

Kepada keluarga Allahyarham Nik Aziz atau lebih dikenali Tok Guru Nik Aziz, anugerah darjah kebesaran persekutuan berkenaan sudah pasti menandakan kerajaan dan institusi Istana Negara sangat mengiktiraf jasa dan pengorbanan golongan ulama.

Menyelami susuk figura bernama Kit Siang, sepanjang penglibatan selama hampir enam dekad dalam dunia politik, beliau memegang rekod sebagai individu paling lama memegang jawatan ketua pembangkang iaitu selama 29 tahun untuk tiga tempoh berbeza - Januari 1974 hingga Jun 1975, November 1975 hingga November 1999 dan Mac 2004 hingga Februari 2008.

Sepanjang tempoh itu, Kit Siang menjadi wakil rakyat di lapan kawasan Parlimen di lima negeri, kecuali antara 1999 hingga 2004.

Di peringkat parti, Kit Siang telah dilantik dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) seawal usia 26 tahun, memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung parti pada 1969 seterusnya dilantik menjadi Pengerusi Kebangsaan dari 1999 hingga 2004 sebelum memutuskan bersara politik sepenuhnya pada tahun lalu.

Dari sudut lain, jasa dan pengorbanan Allahyarham Nik Aziz dalam dunia politik dan keilmuan Islam tidak dapat disangkal lagi sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990 selain diiktiraf antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia.

Memainkan peranan besar dalam memastikan kerajaan negeri Kelantan dipertahankan Pas sehingga hari ini, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) pada tahun 2008 telah menganugerahkan beliau sebagai menteri besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.

KOMITMEN TINGGI

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen sewaktu dihubungi menyifatkan penganugerahan Tan Sri kepada Kit Siang adalah sangat tepat bagi mengiktiraf jasa pemimpin itu dalam memastikan blok pembangkang memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.

Jelasnya, komitmen tinggi Kit Siang sewaktu menjalankan tugas sebagai ketua pembangkang juga amat penting dalam menyuburkan sistem demokrasi negara sehingga mencapai tahap kematangan seperti dilihat hari ini.

"Kit Siang sememangnya sangat layak untuk menerima penganugerahan darjah kebesaran Istana Negara. Pengorbanan beliau dalam pembangunan negara bangsa sangat besar selama menjadi wakil rakyat di lapan kawasan Parlimen sejak enam dekad lalu.

"Selain itu, beliau sentiasa mempunyai misi untuk menyatupadukan negara bangsa di Malaysia selama ini, meskipun beliau sering dilontarkan dengan pelbagai tohmahan seperti chauvinist serta anti Melayu oleh musuh politik ketika itu,” jelas Ahli Parlimen Kuching itu.

Berbeza dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz di mana penganugerahan Tan Sri kepada beliau disambut baik keseluruhan masyarakat negara ini, terdapat segelintir pihak mempertikaikan anugerah darjah kebesaran diterima Kit Siang.

"Dengan Mursyidul Am Pas (Datuk Hashim Jasin) sendiri bersetuju untuk mengiktiraf sumbangan Kit Siang dalam dunia politik tanah air, saya fikir tidak wajar masih ada persepsi negatif yang cuba menggambarkan beliau sebagai pemimpin rasis serta gilakan anugerah, jawatan dan kuasa.

"Kit Siang bukan pemimpin yang mengejar posisi atau kuasa. Ini dapat dibuktikan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan pada tahun 2018, beliau menolak penerimaan sebarang jawatan kerajaan, sebaliknya mahu generasi muda diberi peluang,” tegas Kelvin Yii.

PERJUANGAN TOK GURU

Menelusuri jasa Allahyarham Nik Aziz dalam dunia politik tanah air dan pengembangan Islam, Pengerusi Assabiqun (Veteran) Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka itu selayaknya diberi gelaran Tan Sri sejak dahulu lagi.

Tambahnya, sifat Allahyarham yang sangat istiqamah dalam perjuangan Pas selain memastikan kerajaan negeri Kelantan terus kekal dipimpin parti itu sejak tahun 1990 adalah bukti jelas ketokohan ulama tersohor itu diiktiraf rakyat negara ini.

"Di bawah pentadbiran Tok Guru Nik Aziz, beliau menekankan konsep membangun bersama Islam yang kita dapat lihat gelaran 'Serambi Makkah' yang diberikan kepada Kelantan semakin subur terpelihara sehingga hari ini.

"Hakikatnya Tok Guru Nik Aziz amat menekankan konsep penyatuan ummah, sebagaimana diperjuangkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Sebagai contoh, beliau bertanggungjawab menyatukan Pas dengan parti Semangat 46 dipimpin Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengukuhkan kerajaan Islam di negeri-negeri Pantai Timur.

"Tok Guru Nik Aziz juga berbesar hati membenarkan pemimpin buangan UMNO seperti Datuk Dr Ibrahim Ali untuk bertanding atas tiket Pas di Kelantan. Ini menunjukkan beliau sangat mementingkan semangat perpaduan ummah dalam memenuhi perjuangan politik Pas,” ujarnya.

-- PROFIL

Tan Sri Lim Kit Siang

Tarikh lahir: 20 Februari 1941

Isteri: Neo Geok Tee

Anak: Empat orang

Tarikh Bersara: 20 Mac 2022

Pendidikan:

SMK Batu Pahat

Universiti London

Kerjaya:

1969 – 1999 Setiausaha Agung DAP

1999 – 2004 Pengerusi Kebangsaan DAP

2004 – 2022 Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP

1974-1999, 2004-2008 Ketua Pembangkang di Parlimen

Pengalaman Politik:1969 – Ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 18 bulan

1979 – Didakwa bawah Akta Rahsia Rasmi kerana dedah perjanjian senjata api yang tidak telus antara kerajaan dan syarikat Switzerland

1987 – Ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 17 bulan (Operasi Lalang)

Trivia:

- Agen semak dan imbang kepada kerajaan serta mendedahkan banyak skandal.

- Mendapat pengiktirafan sebagai prisoner of conscience oleh Amnesty International atas usaha murni yang dilakukannya untuk rakyat Malaysia.

- Selepas 50 tahun Kit Siang dan DAP bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan berjaya menewaskan gabungan parti pemerintah dan mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada 9 Mei 2018.

- Menerbitkan sebanyak 36 naskhah buku sejak 1978.

- Mengetuai blok pembangkang Parlimen Malaysia (1974-1999).

-- PROFIL

Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tarikh lahir:10 Januari 1931

Isteri: Tuan Sabariah Tuan Ishak

Anak: 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan)

Tarikh Meninggal Dunia: 12 Februari 2015

Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (1936 - 3 bulan)

Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian

Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu

Universiti Deobond, India (1952)

Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran (1957)

Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab

Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam

Kerjaya:

Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor

Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka

Penyelia Kelas Dewasa – Kemas

Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu

Politik:

1990-2013 – Menteri Besar Kelantan

Trivia:

- Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai menteri besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.

- Pada tahun 2009, beliau diletakkan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul ‘The 500 Most Influential Muslims’.

Klik di sini untuk terus membaca