SHAH ALAM - Keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkongsi rasa syukur selain menganggap ia adalah satu penghormatan besar apabila bapanya dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
Anak kepada Nik Aziz, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, beliau dan keluarga menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mengurniakan darjah kebesaran tersebut kepada Allahyarham bapanya meskipun sudah lapan tahun pemergian bekas Mursyidul Am Pas itu.
"Alhamdulillah kami bersyukur pada ALLAH dan junjung kasih pada Tuanku atas penganugerahan berkenaan.
"Walaupun ayahanda sudah tiada tetapi penghargaan itu juga dapat dirasai oleh bonda malah penghormatan tersebut juga sangat bermakna buat kami sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Isnin, media tempatan melaporkan, isteri Allahyarham Nik Aziz, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak hadir mewakili suaminya bagi menerima darjah kebesaran itu daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Nik Abdul Aziz yang merupakan pemimpin ulama terkemuka dan juga bekas Menteri Besar Kelantan meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan pada 15 Februari 2015 kira-kira jam 9.40 malam akibat kanser prostat.Mengulas lanjut, Nik Omar berkata, penganugerahan tersebut menunjukkan jasa Allahyarham Nik Aziz sentiasa dihargai dan masih diingati oleh kerajaan.
"Tentunya Yang di-Pertuan Agong melihat sumbangan besar ayahanda Tok Guru sebagai pemimpin negara kita terutama di Kelantan dan sumbangan Allahyarham dari sudut keilmuannya.Di samping ketokohan ayahanda Tok Guru, prinsip dipegang dan dakwah yang Allahyarham bawa merupakan satu legasi yang sentiasa diingati,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca