ANDAI kita berpegang kepada kata-kata ‘seminggu adalah suatu tempoh yang lama dalam politik, apatah lagi beberapa bulan’, maka ia berpotensi mengubah landskap sepenuhnya. Kalau dahulu konsep ‘jajaran baharu’ itu seakan mustahil... Klik di sini untuk terus membaca

ANDAI kita berpegang kepada kata-kata ‘seminggu adalah suatu tempoh yang lama dalam politik, apatah lagi beberapa bulan’, maka ia berpotensi mengubah landskap sepenuhnya.

Kalau dahulu konsep ‘jajaran baharu’ itu seakan mustahil dibayangkan, kini kerjasama antara Barisan Nasional (BN), yang dikuasai oleh UMNO dan Pakatan Harapan (PH) semakin terbuka dan nyata.

Pembentukan 'Sekretariat Kerajaan Perpaduan' yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, merupakan indikator kepada realiti baharu di mana kepimpinan UMNO dan PH benar-benar ingin berhubungan baik.

Apa pun keberhasilan hakiki yang muncul dari platform perbincangan, kewujudan sekretariat tersebut sendiri sudah membawa erti yang signifikan.

Begitu juga dengan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang dilangsungkan baru-baru ini. Meskipun ada sedikit perbezaan dalam intonasi dan pengisian ucapan daripada parti-parti Borneo sewaktu konvensyen, secara amnya, mesej utama yang disampaikan oleh UMNO dan PH agak jelas: ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’, dan ‘lupakan sengketa lama demi negara’ – di samping serangan-serangan terhadap lawan bersama yakni Pakatan Nasional (PN).

Minggu ini, Perhimpunan Agung UMNO pula akan menyaksikan kehadiran parti-parti lain termasuk wakil-wakil PH diketuai Perdana Menteri sebagai tetamu kehormat. Barangkali, mesej serupa akan ditampilkan terutamanya sewaktu ucapan dasar Presiden UMNO.

Semua ini membayangkan betapa komited pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan mempamerkan kesatuan dan keinginan mengubah kelaziman politik di Malaysia setelah permusuhan berdekad lama. Pimpinan UMNO, terutamanya, dilihat paling terkehadapan dalam usaha tersebut.

Misalnya, sekretariat yang disebut di atas beribu pejabat dan bermesyuarat di ‘rumah UMNO’ iaitu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Konvensyen juga dilangsungkan di WTCKL. Apabila media dan pemerhati melaporkan ucapan dan gerak tubuh pimpinan politik pelbagai parti beberapa hari lagi, ia juga dari WTCKL.

Lebih hakiki dari soal lokasi program dan mesyuarat, dalam soal pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga, UMNO terdahulu memberi ruang kepada parti-parti dalam PH untuk menjadi sebahagian dari kerajaan seperti di Melaka.

Paling jelas setakat ini ialah persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri dalam enam pilihan raya negeri yang akan datang di Semenanjung Malaysia.

Dalam usaha mewujudkan pakatan baharu, tiada yang lebih jitu daripada tindakan masuk ke medan perang sebagai satu pasukan – atau sekurang-kurangnya mirip satu pasukan.

Itulah dinamika politik di Malaysia hari ini. Hanya beberapa bulan dahulu, kerjasama UMNO-PH disifatkan sebagai kompromi.

Itu pun sudah dilihat sebagai perkembangan besar dan radikal. Kini, ia bukan lagi suatu kompromi. Apa yang sedang cuba dibina ialah pakatan politik yang sedar dan sengaja antara pihak suka sama suka.

SARAT CABARAN

Namun, usaha ini semestinya sarat dengan cabaran. Apa pun yang diucapkan atau imej yang dipamerkan, semua pihak tidak dapat lari daripada hakikat bahawa fenomena ini melibatkan dua bekas musuh tradisi yang kini membuat pilihan untuk tidak hanya membantu sama sendiri, tetapi menjadi semakin akrab.

Apatah lagi, sengketa antara UMNO dan PH sebelum ini bukan sekadar persaingan politik biasa, tetapi sarat dengan politik identiti berteraskan kaum.

Meskipun sekarang ada usaha meletakkan salah sengketa ini kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden UMNO selama 22 tahun, realitinya, politik bertunjangkan ras, etnik dan agama turut sinonim dengan UMNO yang mutakhir – jauh selepas Dr Mahathir meninggalkan kepimpinan UMNO.

Misalnya, siapa mampu lupa hujah, perjuangan dan naratif yang didendangkan selama 22 bulan bersama Muafakat Nasional?

Dalam erti kata lain, meskipun selama ini ada percubaan dalaman untuk membina imej UMNO supaya dilihat lebih wasatiyyah dan sejagat, DNA pokok UMNO sebelum PRU15 tidak ubah sebagai parti konservatif Melayu yang menjadi lawan asas kepada DAP dan sekutunya dalam PH.

Ironinya, pimpinan utama UMNO kini didominasi oleh individu-individu yang sebelum ini paling agresif memainkan naratif ultra Melayu, anti-PH dan anti-DAP. Hari ini, irama politik mereka berubah total.

Persoalannya, belum jelas sama ada mereka telah meyakinkan pengundi asas UMNO untuk ikut sama melakukan perubahan 180 darjah itu. Berhujah kepada kepimpinan parti itu suatu hal. Meyakinkan akar umbi di peringkat cawangan, apatah lagi penyokong bukan ahli, ialah suatu hal lain sama sekali.

RISIKO JAJARAN BAHARU

Maka, risiko jajaran baharu ini tidak sekata merentasi parti. Risiko yang dihadapi UMNO tidak sama dengan risiko yang dihadapi PH. Berbeza dengan PH yang sokongannya di kalangan pengundi bandar dan bukan Melayu dijangka kekal kuat, dan berbeza dengan GRS dan GPS yang bukan parti-parti nasional dengan kepentingan utama mereka di peringkat negeri masing-masing, risiko berkait UMNO adalah jauh lebih tinggi.

Untuk berlaku adil kepada pimpinan parti, tentunya mereka sedar akan risiko ini. Apa pun motif asal mereka membentuk jajaran baharu, individu-individu yang sama cukup mahir untuk mengetahui bahawa mereka perlu berterusan membuktikan bagaimana keakraban dengan PH memberi manfaat kepada UMNO.

Sekali lagi, landskap naratif berlainan mengikut parti. PH dengan mudah boleh memberitahu penyokong mereka bahawa kerjasama dengan UMNO adalah harga yang harus dibayar untuk memegang kuasa – apa tidaknya, Anwar ialah Perdana Menteri.

Bagi UMNO, untuk menjelaskan kepada penyokong sendiri lebih rumit daripada PH. Barangkali buat masa ini, rata-rata penyokong dan akar umbi parti berdiam, tunggu dan lihat. Respons dingin dalam kalangan ahli dan beberapa pimpinan parti terhadap kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan meminta ahli UMNO menyokong DAP dalam pilihan raya negeri memperlihatkan realiti bercampur di bawah.

Ujian sebenar ialah kebolehmenangan. Jika UMNO mendapat keuntungan sokongan rakyat melalui pakatan ini, maka mudahlah menjustifikasi. Jika tidak, lain ceritanya.

Dalam hal ini, sifir pimpinan UMNO barangkali mirip seperti berikut: Posisikan diri sebagai komponen Melayu yang wajib buat Anwar dan PH.

Berlandaskan itu, rundingan kerusi-kerusi untuk pilihan raya - termasuklah kerusi yang kini dikuasai oleh PH, lantas menangi kerusi-kerusi itu melalui bantuan undi bukan Melayu yang datang ke UMNO kerana bersekutukan PH.

Dalam erti kata lain, dengan kedudukan UMNO sebagai komponen Melayu dalam jajaran ini, UMNO boleh untung melalui undi bukan Melayu. Itulah pertaruhan dan formula yang diharapkan.

Seperti mana logik pertaruhan itu tampak jelas, risikonya juga lebih jelas. Untuk formula itu berjaya, pertama ia memerlukan UMNO membuktikan ia benar-benar ada sumbangan undi Melayu yang signifikan kepada PH.

Jika tidak, akan ada suara dalam PH mempersoal apa nilai tambah UMNO dalam pakatan ini? Tentunya PN sedang menggunakan pakatan UMNO-DAP sebagai pencetus kepada peralihan undi daripada UMNO kepada mereka.

Itulah risikonya buat UMNO. Sedangkan buat PH, kebarangkalian peralihan undi penyokong mereka kepada PN amat kecil. Sifir PH jauh lebih mesra: Jika pakatan ini berjaya, mereka tambah kuat; jika tidak berjaya, tidak pun menjadi lemah, kerana sokongan asas mereka kekal.

*Shahril Hamdan ialah bekas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, yang kini Pemimpin Muda Forum Ekonomi Dunia (WEF), serta Fellow di Rajaratnam School of International Studies (RSIS).

Klik di sini untuk terus membaca