KITA semua baharu sahaja menyaksikan prestasi buruk kontinjen negara di Sukan SEA, di Kemboja. Seperti biasa, kita jarang bercakap tentang penyelesaian. Banyaknya kita mencari siapa yang sebenarnya patut dipersalahkan. Di seluruh dunia,... Klik di sini untuk terus membaca

KITA semua baharu sahaja menyaksikan prestasi buruk kontinjen negara di Sukan SEA, di Kemboja. Seperti biasa, kita jarang bercakap tentang penyelesaian. Banyaknya kita mencari siapa yang sebenarnya patut dipersalahkan.

Di seluruh dunia, manusia mencari pelbagai cara untuk menang dalam sukan. Sebab mereka tahu, bakat semata-mata tak memadai. Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi mungkin antara bintang sukan yang masyhur dan dikenali semua orang. Tetapi walaupun mereka berbakat, mereka perlukan pemain lain yang mengatur strategi untuk mereka. Tak semua orang juga memiliki aura luar biasa seperti mereka.

Dalam erti kata lain, kita bukan hanya perlukan ahli sukan yang berbakat, atau pengurusan yang cekap, tetapi sains untuk memahami bagaimana ahli sukan mempunyai nilai tambah yang lain. Antaranya termasuklah bentuk tubuh, keupayaan mental dan daya tahan psikologi.

Satu kajian oleh penyelidik daripada Duke University menunjukkan bahawa mereka yang secara biologikalnya mempunyai DNA Afrika biasanya cenderung berlari lebih cepat sebanyak 0.15 saat berbanding pelari lain.

Ini kerana mereka mempunyai pusat graviti lebih tinggi, atau dalam erti kata lain kaki mereka mencecah tanah lebih cepat. Mungkin itulah sebabnya pelari Jamaica, Usain Bolt lebih pantas dari pelari lain di zaman kegemilangannya. Malah pelari dari Barat yang terkenal juga berkulit hitam, mungkin bersusur galur dari keturunan Afrika juga.

Orang Asia dan bangsa kulit putih pula dikatakan mempunyai pusat graviti lebih rendah. Jadi mereka ini lebih mudah terapung dan pantas berenang.

Tatkala kajian-kajian ini melihat saiz tubuh atau yang biasanya dikenali sebagai anthropometry mengukur pelbagai aspek berkaitan dengan sifat postur manusia, ahli matematik pula cenderung dengan mengambil kira hukum matematik untuk kemenangan atlet.

Di Universiti Virginia, Profesor Ken Ono ialah ahli matematik. Tetapi beliau juga berada di kolam renang untuk membuat kiraan matematik bagaimana perenang boleh mengekalkan momentum kemenangan.

Profesor Jessica Witt, penyelidik psikologi daripada University Colorado di Amerika Syarikat lebih banyak menggunakan hukum persepsi mengkaji bagaimana pemain melihat bola atau tiang gol apabila diberikan dengan manipulasi tertentu.

Malah kajian beliau menunjukkan pemain merasa teruja dan mempunyai motivasi berbeza apabila diberitahu bahawa kayu golf yang mereka pegang itu pernah diguna oleh pemain ternama.

Semua cerita ini sebenarnya ingin memberitahu kita bahawa isu sukan sebenarnya tidak hanya berkaitan siapa yang menjadi menteri, atau siapa yang menjadi ketua kontinjen. Ia terkait dengan banyak hal lain. Ia melibatkan banyak aspek lain, khususnya adakah kita juga telah melabur dalam penyelidikan sukan agar kita setanding dengan orang lain.

Sekadar membangunkan stadium dan kemudahan sukan mungkin tak memadai di zaman ini. Dan dengan cara ini kita mungkin boleh memilih kaedah atau atlet yang betul dan memberikan tumpuan dalam bidang yang sesuai dengan postur tubuh atau kelebihan bakat lain yang mereka ada.

Semua pihak yang terkait dengan pembangunan sukan perlu juga berfikir sejauh mana dapat memasukkan citra saintifik dalam sukan kita. Sains mesti ada dalam perbincangan mengenai polisi sukan.

Emma Raducanu hanya berusia 20 tahun tetapi telah dianggap pemain nombor satu tenis wanita British, sebelum mutakhir ini mengalami kecederaan. Pada tahun 2021 beliau memenangi US Open dengan memenangi kesemua 10 perlawanan pada kejohanan tersebut, termasuk 3 pada peringkat kelayakan. Dalam satu temu ramah, beliau memberitahu kesukaannya dengan nombor, dan itu membantunya menyelesaikan masalah.

Ini termasuklah bagaimana beliau menyelesaikan isu permainannya. Dalam erti kata lain, beliau sukakan matematik.

Semua ini memberikan kita isyarat lain. Untuk menang, kita perlukan lebih daripada sekadar pergantungan kepada bakat. Kita perlukan sains untuk mengenal pasti apakah elemen tersebut. Dan selagi kita tak mengubahnya, selama itulah kita akan terus mencari salah semua orang.

* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.

Klik di sini untuk terus membaca