ERA globalisasi hari ini telah membuktikan kepada semua pihak bahawa hubungan diplomatik bukan lagi boleh diterjemahkan kepada hubungan antara kerajaan dengan sokongan fahaman berpolar seperti era tahun 50an dan 60an. Pada ketika itu dunia... Klik di sini untuk terus membaca

ERA globalisasi hari ini telah membuktikan kepada semua pihak bahawa hubungan diplomatik bukan lagi boleh diterjemahkan kepada hubungan antara kerajaan dengan sokongan fahaman berpolar seperti era tahun 50an dan 60an.

Pada ketika itu dunia dibahagikan kepada dua polar utama, sama ada berpihak kepada pengaruh Barat dengan idealisme demokrasi, ekonomi kapitalis dan kebebasan atau berkiblatkan kepada pengaruh Timur dengan Komunisme atau Sosialisme yang memperjuangkan hak sama rata tanpa kelas atau darjat.

Menjelang alaf baru, polar perbezaan tersebut tidak lagi boleh dipisahkan dengan jelas dan saban tahun pengaruh nasionalisme, etnik dan kepercayaan agama dilihat semakin didakap oleh banyak negara, malah seakan berjaya merobek garis persempadanan perbezaan pandangan politik.

Dari sudut keselamatan, peralihan dari polar Barat dan Timur ke polar nasionalisme, etnik dan kepercayaan agama ini boleh mendatangkan dua kesan yang bertentangan. Ia mampu menyatukan negara berbeza sempadan melalui ikatan baharu yang menjamin keamanan dan kesejahteraan atau memusnahkan negara sama akibat perbezaan yang mahu ditonjolkan.

Sama ada mahu diperakui atau tidak perkara sama turut berlaku di negara ini. Polar sokongan politik yang merupakan tiang kepada pembentukan sebuah negara demokrasi pada beberapa tahun kebelakangan dilihat semakin menebal ke arah polarisasi etnik dan agama.

Memburukkan lagi keadaan, fahaman atau interpretasi agama turut terkesan dengan percubaan oleh sesetengah pihak yang mengaku mempunyai hak mutlak terhadap agama berbanding pihak lain, walau mereka dari etnik sama.

Sebuah negara yang boleh dijadikan contoh bagaimana polarisasi etnik dan agama berkemampuan memusnahkan sebuah negara berdaulat dari dalam tanpa mana-mana negara seterunya menghantar sebuah angkatan tentera melanggar sempadannya adalah Turkiye.

Satu isu yang kerap dikaitkan dengan isu keselamatan dan hak kebebasan di Turkiye adalah ancaman pemberontakan bersenjata dari pihak pemberontak kumpulan Partiya Karkeren Kurdistan (PKK).

Walau dianggotai oleh masyarakat etnik Kurdish dan namanya memakai nama etnik tersebut, ia tidak melambangkan atau mendapat sokongan sebahagian besar etnik Kurdish di Turkiye.

Memandangkan PKK menggunakan keganasan bersenjata secara terbuka, ia telah dikategorikan sebagai kumpulan pengganas, bukan sahaja Turkiye, tetapi juga NATO, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Ketika gerila PKK melaksana pemberontakan bersenjata, satu lagi kumpulan yang mahu menggulingkan kerajaan Turkiye dengan cara berbeza berjaya melaksanakan aktivitinya dengan berkesan, iaitu menggulingkan kerajaan yang telah dilantik rakyat.

Cara kumpulan ini berfungsi amat licik dan pada mulanya sukar dikesan. Tidak seperti PKK yang mendakap fahaman Marxism-Leninism, kumpulan ini menggunakan polarisasi etnik dan agama sebagai tunjang kekuatan.

Ia berjaya menyerapkan fahaman dan pengaruh ke seluruh rakyat Turkiye yang rata-ratanya beragama Islam. Ia melibatkan rakyat bukan sahaja di institusi pendidikan dan kerajaan, tetapi di pelbagai sektor termasuk industri, perdagangan, kewangan malah ketenteraan.

Kumpulan yang dinamakan sebagai Fethullahist Terrorist Organization (FETO) berjaya memanipulasi kepercayaan rakyat Turkiye dengan mengutip dana dalam jumlah besar atas nama pendidikan dan agama. Mereka berjaya menempatkan ahli-ahli mereka di pelbagai kementerian, dan dalam kalangan angkatan tentera.

Apabila kegiatan mereka berjaya dihidu kerajaan, FETO telah melancarkan pemberontakan bersenjata pada 15 Julai 2016, menggunakan anggota dan kelengkapan tentera milik kerajaan sendiri.

Pesawat dan kereta kebal diguna FETO telah membedil parlimen dan institusi keselamatan lain mengakibatkan 251 individu awam terbunuh dan beribu yang lain cedera. Pemberontakan ini gagal apabila rakyat Turkiye bangkit dan menentang secara beramai-ramai.

Dari sudut keselamatan, apa yang berlaku di Turkiye mampu memberikan kita pengajaran, bahawa cara dan ciri-ciri pihak yang mahu menumbangkan kerajaan yang dilantik rakyat adalah pelbagai, berbeza dan licik sekali.

Peliknya berbanding PKK, pihak Barat dan AS tidak mengklasifikasikan FETO sebagai sebuah organisasi pengganas memandangkan ia tidak memiliki kem latihan atau anggota yang menjunjung senjata!

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca