FRANK Swettenham dalam bukunya Malay Sketches memperihalkan orang Melayu yang suka berjudi, bersabung ayam, berburu serta menangkap dan menjinakkan gajah. Pemerihalan oleh penulis ini tidaklah perlu dinafikan namun tidak juga boleh digeneralisasikan sebegitu mudah. 22 bab yang beliau ceritakan adalah perkongsian penulis yang berdamping dengan orang kebanyakan, pawang dan pembesar tertentu.
Sebaliknya jika dilihat kepada sisi keilmuan melalui perkembangan tradisi pengajian pondok di Alam Melayu, masyarakat Muslim hakikatnya mementingkan aspek keilmuan melalui proses pembacaan teliti serta sumber penulisan berautoriti.
Hal ini boleh dilihat melalui tradisi pengajian pondok yang menetapkan silibus tersendiri dengan sumber rujukan terpilih yang dibaca mulai huruf pertama di kulit hadapan sehinggalah di noktah terakhir di halaman belakang.
Di era sebelum industri menentukan landskap pendidikan, menghabiskan satu teks pengajian yang memakan masa bertahun-tahun adalah suatu yang diperakui penting dalam proses menuntut ilmu.
Bahkan sebelum terciptanya radio dan televisyen, masyarakat lampau mengisi masa dengan membaca, menulis, berbual bersama keluarga serta melakukan pelbagai aktiviti luar. Kerana itu tidaklah aneh terdapat penulisan fiksyen sebagai bahan hiburan dan ia sengaja ditulis panjang berjilid-jilid melalui imaginasi tersendiri penulis.
Sebagai contoh penulis epik klasik, JRR Tolkein melalui karya terkenalnya The Lord of the Rings berhasil menulis 1,214 halaman untuk kisah tersebut sahaja. Bilangan halaman ini berdasarkan cetakan oleh Houghton Mifflin yang diterbitkan semula pada tahun 1987.
Amalan membaca diperakui bermanfaat untuk manusia khususnya pada aspek peningkatan pengetahuan dalam pelbagai topik. Ia juga menjana pemikiran yang kritis dan analitis. Melalui pembacaan, minda akan menganalisis, menilai, dan mentafsirkan informasi yang terkandung pada teks. Ia juga meningkatkan daya ingatan kerana proses membaca melibatkan memori jangka pendek dan panjang.
Selain itu, ia juga mampu mengurangkan stres dan memberikan ketenangan. Ini berlaku apabila ‘diri’ pembaca dilibatkan dalam penceritaan yang dibaca. Daya fokus juga dapat ditingkatkan kerana proses membaca itu sendiri memerlukan fokus yang mendalam.
Ironinya, membaca di era pengetahuan kini secara paradoksnya adalah mencabar. Di kala manusia mampu mengakses apa sahaja di internet, peluang membaca seakan sempit akibat ‘kekangan’ yang dicipta sendiri oleh manusia.
‘Kekangan’ tersebut ialah pelbagai gangguan yang dialami manusia menerusi media sosial sehingga melahirkan fenomena ‘singkat perhatian’. Ia suatu keadaan di mana seseorang individu memiliki daya tumpuan dan daya fokus yang singkat dan terbatas.
Ia berlaku apabila individu terbabit mudah ‘terganggu’ dengan sesuatu yang lain dan cepat hilang minat dengan apa yang dilakukan. Bagaimana boleh dihubungkan antara media sosial dan amalan membaca dengan ‘singkat perhatian’?
Ciri media sosial itu sendiri menatijahkan kurang daya perhatian pengguna. Ini berlaku apabila media sosial menyediakan kandungan pendek dan mudah dihadam (easily digestible content) secara berterusan.
Platform seperti Twitter, Instagram dan TikTok direka bentuk untuk memberikan kepuasan segera kepada pengguna, menawarkan maklumat kecil (mikro) atau remeh yang boleh digunakan dengan cepat dan tanpa proses yang panjang.
Jenis kandungan ini selalunya dipersembahkan dengan visual yang menarik serta imej yang mampu menarik perhatian pengguna. Ia secara langsung memberi impak seperti mengurangkan daya fokus dan perhatian; meningkatkan stres dan mengubah pilihan membaca.
Di era ‘gangguan’ kini, daya perhatian ialah suatu yang premium. Kemampuan anda membaca satu persatu perkataan tanpa melakukan skimming terhadap karangan yang sengaja ditulis panjang ini menunjukkan anda dalam kalangan pembaca bertuah yang masih berkemahiran memberi daya tumpuan perhatian yang sewajarnya.
Pemenang hadiah Nobel, Herbert Simon pernah meramalkan bahawa kekayaan maklumat akan mewujudkan kemiskinan perhatian (a wealth of information creates a poverty of attention) dan ia berlaku kini. Kemampuan meredakan perhatian singkat sudah pasti adalah dengan kembali membaca karangan yang panjang dan mendalam.
* Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di khairulnaim@um.edu.my
Klik di sini untuk terus membaca