SHAH ALAM - Personaliti yang ada pada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilihat mampu menarik golongan belia dan remaja untuk menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan beliau. Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Personaliti yang ada pada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilihat mampu menarik golongan belia dan remaja untuk menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan beliau.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata, apabila Undi18 sudah diperkenalkan golongan baharu yang tidak terikat dengan legasi atau persejarahan lama mungkin melihat ia alternatif dan pilihan baharu kepada pengundi terbabit.

"Khairy pula dilihat pemimpin yang sesuai dengan peredaran zaman atau perubahan semasa. Saya percaya dengan adanya alternatif dan pilihan itu juga akan menarik sokongan kepada beliau.

"Perkara sedemikian mungkin akan mempengaruhi keputusan Khairy dalam menubuhkan parti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Khairy mempertimbangkan untuk menubuhkan parti baharu disebabkan pasaran politik yang agak tepu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sejak beberapa minggu ini beliau melihat ada kebarangkalian untuk membuka parti lain.

Namun Sivamurugan berkata, Khairy perlu berhati-hati bagi mengelak parti baharu ditubuh berdepan situasi sama dihadapi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bergantung kepada populariti presidennya.

Sivamurugan
Sivamurugan

"Muda dilihat masih bergelut untuk mencari ahli walaupun Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat mempunyai profil tinggi sebagai seorang idola kepada anak muda.

Beliau berkata, keputusan Khairy menubuhkan parti baharu perlu dibuat secara berhati-hati susulan lambakan parti politik semakin banyak di Malaysia.

"Sebagai seorang bekas pemimpin yang tidak mempunyai parti maka Khairy bebas sama ada sertai atau tubuhkan mana-mana parti cuma beliau juga perlu akur lambakan parti politik semakin membesar mungkin akan menyebabkan beliau perlu berhati-hati dalam penubuhannya (parti baharu).

"Sudah pasti Khairy mampu menarik keahlian tersendiri dan pengikut setia beliau tidak kira dalam atau luar UMNO berdasarkan keperibadiannya selain beliau sendiri dianggap salah seorang idola dan contoh dalam kalangan belia.

"Namun saya berpandangan buat masa ini penubuhan parti baharu itu tidak boleh hanya bergantung pada personaliti semata-mata tetapi apa matlamat akhirnya dan ia perlu jelas bagi menarik orang ramai," jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca