SAMA ada mereka yang di atas kayangan, mahupun kita yang marhaen ini, masing-masing tentu pernah merasa susah.
Yang berbeza hanyalah bentuk kesusahannya. Susah orang kayangan bukanlah tentang bekas beras yang kosong, harga ikan kembung yang sekilo berbelas ringgit atau yuran PIBG anak yang tertangguh.
Sebaliknya ia mungkin tentang projek yang kena ‘sailang’ atau cukai puluhan juta yang belum berbayar atau bekas kekasih yang asyik acah hendak saman.
Bagi marhaen macam kita pula susahnya mungkin daripada masalah kereta yang kian kerap rosak atau cuaca terlampau panas yang menyebabkan anak-anak meminta dibelikan satu lagi kipas angin.
Membeli kipas baharu bermakna terbanglah bajet untuk tiga empat kampit beras dan beberapa kilo ikan.
Secara umumnya merasa susah hanyalah sebahagian daripada asam garam kehidupan. Sifatnya tidak kekal. Ia hanya datang sekali-sekala walaupun kadang-kadang untuk tempoh yang agak lama.
Lain halnya dengan hidup susah. Ia lebih sadis kerana tempohnya bukan sahaja lebih lama, malah acap kali berpanjangan.
Sementara orang yang merasa susah boleh keluar daripada kesusahan apabila tiba masanya, mereka yang hidup susah pula mempunyai kebarangkalian untuk terus terperangkap di situ dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Susah senang secara relatifnya dikaitkan dengan soal miskin kaya. Ini bermakna kayu pengukurnya adalah pendapatan yang diperoleh, dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK) menjadi penanda arasnya.
Mengikut rekod kali terakhir PGK dikemas kini adalah pada 2019 di mana kadarnya RM2,208 sebulan bagi miskin dan RM1,169 sebulan bagi miskin tegar.
Menurut kenyataan Kementerian Ekonomi PGK terbaharu kini sedang disemak dan dijangka diumum pada pertengahan tahun ini.
Saya masih ingat ketika budak-budak dahulu, seorang pakcik yang ada bau-bau bacang atau sekarang ini mungkin disebut bau-bau harum manis dengan keluarga saya begitu bangga kerana anak bujangnya mendapat kerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan.
Termuncung-muncung dia memberitahu anaknya akan menerima gaji permulaan RM295 sebulan. Daripada cara dia bercerita dan daripada reaksi mereka yang mendengar, saya boleh membayangkan betapa besarnya nilai RM295 pada masa itu.
Hari ini, bagi kebanyakan kita, nilai itu sangat kecil. Tidak cukup untuk membayar harga satu pertiga ekor siakap kayangan yang ‘glamour’ di Langkawi suatu ketika dahulu itu.
Tetapi jangan terkejut sekarang ini pun masih ada orang yang bergantung hidup dengan jumlah yang sama, atau lebih sedikit daripada itu.
Saya pernah bertemu pemungut kotak, tin dan sisa buangan lain yang pendapatan hariannya secara purata hanya RM10.
Pernah juga saya jumpa keluarga penoreh yang hanya memperoleh kira-kira RM800 sebulan setelah ditolak hari tidak dapat menoreh disebabkan hujan.
Bilangan mereka mungkin tidak ramai. Tetapi bagaimana yang pendapatannya sedikit melepasi PGK miskin tegar, namun perbelanjaan wajibnya sentiasa sekali ganda lebih banyak?
Yang bernasib baik mungkin beroleh bantuan, tetapi selagi namanya bantuan, sifatnya tentulah bukan seperti selimut sebaliknya lebih berupa perca kain untuk menampal koyak.
Kehendak golongan ini selalunya tidak besar dan tidak banyak. Mereka tidak mengharapkan kamar berhawa dingin, memadai kalau ada besen untuk menadah bocor.
Anak-anak mereka tidak merengek meminta ayam goreng berjenama, cukup dengan telur aneka rasa; hari ini goreng, esok sambal, lusa kurma, tulat masak lemak, tungging kari.
Suara mereka mungkin jarang kedengaran. Rasa rendah diri menyebabkan mereka tidak pandai mencari tempat mengadu.
Yang banyak berkeluh-kesah di media sosial selalunya bukan mereka tetapi kumpulan yang ‘sedikit lebih atas’, yakni yang macam kita. Orang susah yang betul-betul susah tidak cukup masa untuk bermain internet. Kalau ada masa pun mungkin ‘tak ada data’.
Mencari, mendekati, mendengar dan memahami hati nurani mereka ini seharusnya menjadi tanggungjawab kita bersama. Ia lebih baik daripada kita peduli tentang rumah tangga artis atau melayan retorik politik yang tidak berkesudahan. Dengan upaya yang termampu, kita harus membantu.
Harus diingat rentan mereka terhadap sesuatu berbeza dengan rentan kita. Bagi kita, kalau harga barang itu naik sedikit, yang ini naik sedikit, mungkin tidak menjadi masalah, tetapi bagi mereka ia mungkin masalah besar.
Saya bagi satu lagi contoh, bagi kita jika tiada gula di sesebuah kedai, kita boleh sahaja berkereta atau bermotosikal ke kedai lain. Kita boleh cari dan cari sampai jumpa. Tetapi bagi mereka semuanya tidak semudah itu.
Tangki motor bukan boleh diisi dengan air, tapi kena isi dengan minyak dan minyak pula masih belum turun harga lagi...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca