UMNO bukan parti keutamaan saya. Pengundi liberal seperti saya juga bukan keutamaan UMNO, namun sejak kejatuhan UMNO pada 2018, saya berasakan Malaysia perlukan UMNO yang berubah. Pada 2018, Malaysia perlukan UMNO sebagai pembangkang yang... Klik di sini untuk terus membaca

UMNO bukan parti keutamaan saya. Pengundi liberal seperti saya juga bukan keutamaan UMNO, namun sejak kejatuhan UMNO pada 2018, saya berasakan Malaysia perlukan UMNO yang berubah.

Pada 2018, Malaysia perlukan UMNO sebagai pembangkang yang membina dan suatu hari nanti mampu bangkit menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Pada pemilihan Presiden UMNO, saya mengharapkan kemenangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tetapi malangnya itu tidak berlaku.

Saya juga mengkritik kerja ‘memikat’ parti komponen Barisan Nasional (BN) dan wakil rakyat UMNO untuk ‘lompat kapal’.

Pembangkang yang lemah dan terdesak akan bersaing dengan cara yang berbahaya. Langkah Sheraton membuktikan kebimbangan saya.

Ramai teman liberal saya ketika itu harap UMNO akan ‘bungkus’ sahaja kerana menolak ideologi nasionalis UMNO.

Bagi saya, UMNO atau mana-mana parti nasionalis Melayu termasuk Pas dan Bersatu akan tetap wujud selagi ramai pengundi Melayu rasa kurang selamat dengan persaingan dalam serta luar negeri.

Jika parti lama jatuh, parti baharu akan naik berganti. Apabila parti-parti pelbagai kaum berkuasa, mereka mesti mengambil kira suara yang diwakili oleh parti-parti nasionalis Melayu.

Bagi saya, masalah UMNO bukan ideologi nasionalisnya tetapi ketagihannya dengan wang sehingga ia ‘dimakan oleh ketamakannya’.

Ia bukanlah kerana UMNO tiada pemimpin yang baik tetapi disebabkan Malaysia tiada undang-undang mengawal pendanaan politik.

Parti-parti tidak mendapat dana awam dan akhirnya mesin parti UMNO sudah lama bergerak atas imbuhan, bukan ideologi.

Maka, UMNO terperangkap dengan politik wang, naungan (patronage), kronisme dan korupsi.

Kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 berlaku kerana rata-rata pengundi Melayu sudah muak dengan politik rasuah.

Jika di negara lain, ahli parti pemerintah yang kalah akan menuntut perubahan pimpinan dan perekaan semula (reinvention) parti, malangnya ia tidak terjadi kepada UMNO sehingga kini.

PRN ujian genting

Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sekali lagi menjadi ujian genting buat UMNO.

Ramai penganalisis dan tukang propaganda menegaskan bahawa kelesuan sokongan UMNO disebabkan oleh ketidakpuasan terhadap pakatannya dengan PH termasuk DAP.

Adakah UMNO ‘dirugikan’? Dengan hanya 26 ahli Parlimen, UMNO untung kerana mendapat enam jawatan menteri dan lima jawatan timbalan menteri.

Sebagai perbandingan, DAP yang menang 40 kerusi hanya mendapat empat jawatan menteri dan enam jawatan timbalan menteri.

Jika UMNO menobatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), ia akan menduduki tempat ketiga iaitu di belakang Pas (43 kerusi) dan Bersatu (31 kerusi), mungkinkah ahli UMNO lebih bahagia serta bangga ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri?

Jika Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein atau Khairy Jamaluddin menjadi Presiden UMNO, mungkinkah mereka menolak jawatan timbalan perdana menteri?

Mungkinkah mereka menjatuhkan Kerajaan Madani untuk menjadi ‘pelakon sokongan’ kepada bukan sahaja Muhyiddin dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi juga Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Mat?

Kalau tidak, mungkinkah ketidakpuasan terhadap pakatan PH-BN cuma alasan untuk membalas dendam ke atas pemecatan dan pergantungan pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengan presiden sekarang?

Bukankah ia ibarat ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’?

Daripada kuburkan UMNO, bukankah lebih untung untuk ahli-ahli UMNO yang tidak puas hati dengan pemimpin sekarang mengekalkan UMNO dahulu dan menunggu masa bagi mengubah serta reka semula UMNO?

Usahlah bakar jambatan kerana putus asa terlalu awal.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca