UMMAH yang beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulullah SAW mempercayai realiti bahawa antara soalan yang diajukan kepada si mati nanti, tidak satu pun ada kaitannya dengan keturunan atau bangsanya.
Tidak penting langsung adakah si mati itu Melayu, Uzbek, Maori, Arab, Cheyenne, Cina, India, Inuit atau Papua.
Sewaktu hayat orang yang beriman, segala amalan salih menjadi aset baginya di dunia dan akhirat.
Sebaliknya amalan mungkar bagi golongan yang pura-pura beriman menjadi liabiliti di dunia dan akhirat.
Dalam Surah al-Anbiya’ 21:107, Nabi Muhammad SAW ialah Rahmatun lil-’Alamin. Baginda ialah pembawa rahmah bagi seluruh alam dan ciptaan Tuhan al-Khaliq Yang Maha Pencipta.
Rahmah Baginda tidak terhad kepada hanya seluruh umat manusia.
Dalam maksud Surah al-Hujurat 49:13 berikutnya, dalam bahasa Arab, saling berkenalan setelah ditransliterasikan berbunyi 'lita’arafu'.
"Wahai manusia, sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan; kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling berkenalan; sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa; sungguh, ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Kini banyak jenis bangsa Melayu. Saya sebut hanya empat jenis sahaja.
Pertama ialah Melayu ‘gullible’ yang percaya apa saja tanpa usul periksa.
Melayu ini mudah meluap semangatnya walaupun dengan mendengar berita palsu yang menyinggung egonya.
Kedua ialah Melayu yang mempunyai kompleks inferioriti atau rendah diri, khususnya apabila berdepan dengan kaum lain.
Perlu diingat bahawa rendah diri bukanlah bermakna ‘rendah hati’, yakni tawaduk.
Banyak kali, orang yang rendah dirilah yang bertempek paling kuat sekali untuk menyembunyikan kelemahan dirinya.
Ketiga ialah Melayu yang tidak pedulikan Islam agamanya. Ia mudah meninggalkan rukun Islam yang asas dan senang pula melanggar hukum syariah agama suci ini.
Misalannya mereka mengabaikan hukum merokok itu haram (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, 1995) dan mereka menghisap vape yang juga haram menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 2015.
Keempat ialah Melayu yang mendahulukan penghayatan Islam dalam hayatnya, menjaga tutur katanya serta kebersihan jiwanya.
Kita boleh namakan Melayu ini sebagai ‘Muslim Melayu’ yang mendahulukan sifat-sifat keislamannya. Ciri-ciri kemelayuannya menjadi sekunder.
Bagi mereka, bila mereka Muslim pada akhlak, yang untung ialah diri dan keluarganya serta umat Islam dan bangsa Melayunya.
Bagi kaum lelakinya, kepala mungkin tidak berkopiah atau mungkin terlilit sarban, mungkin bersongkok atau bertengkolok, atau gondol saja.
Golongan Muslim Melayu amat kritikal tentang maklumat yang diterima dan sering menekankan sifat ‘tabaiyun’ atau memeriksa sesuatu perkara sebelum diterimanya.
Dalil dan bukti sentiasa menjadi tekanannya supaya ia tidak mudah tertipu oleh dakwaan popular-glamor yang bohong dan tidak berdalil.
Saya akhiri dengan satu misalan. Jika sesiapa mengatakan bahawa istilah ‘Himalaya’ boleh dipecahkan kepada ‘Hi’ yang kononnya bermakna ‘gunung’ dan ‘Malaya’ yang kononnya bermakna ‘Melayu’, orang itu bukanlah ahli sejarah atau ahli bahasa.
Golongan-golongan Melayu ‘gullible’ dan rendah diri, cerita palsu seperti ini amat menyeronokkan.
Ia dijaja ke sana ke mari untuk menongkat ego orang Melayu – kali ini ke bumbung dunia di puncak Himalaya.
Sepatutnya, sebelum bersemangat mendakwa itu dan ini tentang Melayu – hanya dengan melihat nama zahir sesuatu istilah – kita mestilah menggunakan kaedah ilmu yang asas seperti etimologi dan epistemologi yang terkait dengan misalannya, ilmu linguistik, historiografi dan geografi.
‘Himalayah’ dalam bahasa Sanskrit (Sanskerta) boleh dipecahkan kepada dua perkataan. ‘Hima’ bermakna salji, dan ‘Alayah’ bermakna kediaman.
Maka Himalaya bermakna kediaman bersalji, atau dalam bahasa Inggeris: abode of snow.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca