KETIKA Hari Nakba (malapetaka) pada 1948, Israel berjaya menguasai 77 peratus kawasan bersejarah Palestin dan mengusir ratusan ribu penduduk serta turut memusnahkan kampung halaman mereka.
Kira-kira 19 tahun selepas itu, Hari Naksa (kekalahan) pula berlaku, dengan baki 23 peratus tanah milik Palestin iaitu Tebing Barat dan Genting Gaza bersama Bukit Golan di Syria serta Semenanjung Sinai di Mesir diduduki dalam tempoh singkat.
Perang Enam Hari yang tercetus pada 1967 telah melenyapkan harapan penduduk Palestin untuk kembali semula ke tanah air mereka, selain menyaksikan kejatuhan barisan tentera Arab.
Ia, sekali gus memberi tamparan hebat kepada ideologi nasionalis Arab diperjuangkan Presiden Mesir ketika itu, Gamal Abdel Nasser dan Parti Baath yang merupakan parti pemerintah di Syria.
Impak Naksa kekal sehingga hari ini berikutan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur masih hidup di bawah pendudukan serta penindasan rejim Zionis, manakala Genting Gaza terus berdepan kepungan haram.
Tarikh 5 Jun menandakan ulang tahun ke-56 memperingati Naksa atau Perang Enam Hari yang merujuk kepada kekalahan teruk pakatan Arab dan kehilangan wilayah milik Kaherah, Amman serta Damsyik yang jatuh ke tangan rejim Zionis ketika peperangan tersebut.
Naksa menjadi titik perubahan penting dalam sejarah konflik Arab-Israel, selain memberi impak besar kepada senario geopolitik di rantau berkenaan.
Ketegangan antara rejim Tel Aviv dan negara jirannya telah mula tercetus sejak ‘penubuhan negara Israel’ pada 1948.
Ia disusuli beberapa konflik termasuk Perang Arab-Israel dan Krisis Suez pada 1956 yang memburukkan lagi hubungan Tel Aviv dengan beberapa negara Arab.
Kemelut politik
Menjelang 1967, kemelut politik dan ketenteraan semakin meningkat hingga mencetuskan kekacauan di rantau tersebut.
Israel yang berasa terancam bertindak melancarkan serangan menyasarkan lapangan terbang milik Mesir, sekali gus menandakan bermulanya peperangan berkenaan.
Konflik itu telah meragut nyawa kira-kira 15,000 hingga 20,000 orang Arab, manakala angka korban Israel dianggarkan hanya 800 orang.
Selepas peperangan tersebut berakhir, kira-kira 250,000 penduduk Palestin melarikan diri atau diusir oleh Israel dari Tebing Barat.
Kebanyakannya memilih untuk kekal berada di bawah pendudukan Israel dan berjuang menuntut hak mereka sehingga ke hari ini.
Dasar rejim Tel Aviv memperluaskan projek penempatan haram dan merobohkan kediaman penduduk Palestin serta mengusir mereka tanpa perikemanusiaan diteruskan, malah ia semakin ‘berbahaya’ di bawah kerajaan ekstremis, pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Siri resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggesa projek pembinaan dan peluasan penempatan haram Yahudi serta membenarkan penduduk Palestin kembali ke kampung halaman masing-masing.
Resolusi 194 menetapkan pampasan atas kerugian harta benda juga perlu diberikan kepada penduduk Palestin yang memilih untuk tidak kembali.
Selepas Perang Enam Hari, Resolusi 242 diluluskan PBB yang menggesa pengunduran tentera Israel dari wilayah diduduki mereka.
Pada 2016, Resolusi 2334 menegaskan penempatan haram Yahudi di wilayah Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur tidak sah serta melanggar undang-undang antarabangsa dan menjadi halangan utama kepada penyelesaian dua negara.
Walaupun berdepan desakan dan kritikan antarabangsa, rejim Tel Aviv tidak mengendahkan siri resolusi berkenaan malah meneruskan projek kontroversi penempatan haram di bawah rancangan jahat untuk menambah lagi populasi Yahudi.
Nasib penduduk Palestin pula masih tidak terbela dan komuniti itu berterusan menjadi sasaran penindasan serta kekejaman tidak berhati perut rejim Zionis sehingga hari ini. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca