BARU-baru ini seorang lelaki warganegara Indonesia dikenali sebagai Marno yang melarikan diri daripada polis Riau atas tuduhan mengedar dadah telah ditahan di Johor. Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah jenis... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini seorang lelaki warganegara Indonesia dikenali sebagai Marno yang melarikan diri daripada polis Riau atas tuduhan mengedar dadah telah ditahan di Johor.

Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 411 kilogram (kg) yang dirampas polis Riau.

Semasa Marno ditahan polis Johor, sebanyak 62kg methamphetamine turut ditemukan.

Tidak dapat dinafikan bahawa Johor kini mulai kembali memanas sebagai gerbang dadah.

Ini boleh dilihat daripada kekerapan kejayaan polis Johor menumpaskan sindiket-sindiket dadah dan penangkapan tokan-tokan serta penagih-penagih dadah.

Bercakap berkenaan penagih dadah, pada tahun 2022, Johor (diikuti Kedah, Kelantan dan Terengganu) mencatat jumlah tertinggi individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah iaitu sebanyak 14,317 orang penyalahguna dan penagih, meningkat sebanyak 7.96 peratus berbanding 13,261 orang yang dilaporkan pada tahun 2021.

Jumlah ini merupakan sebahagian daripada 137,176 individu yang positif di seluruh negara antara Januari hingga Disember tahun 2022.

Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah Johor juga diintai sindiket-sindiket dadah sebagai transit antarabangsa bagi mengedar dadah melalui Johor ke Indonesia yang mempunyai pasaran yang besar dan harga dadah yang lebih tinggi.

Ini bahaya besar yang perlu dielakkan.

Pada tahun 2021, dalam satu operasi, polis Johor merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM201.8 juta yang juga terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Keluasan pantai Johor sepanjang 370.4 kilometer (km) memudahkan sindiket memanipulasi kawasan tersorok untuk dijadikan sebagai laluan haram.

Di sepanjang perairan Johor dikatakan terdapat 84 ‘laluan tikus’ telah dikenal pasti pihak berkuasa yang dipercayai menjadi laluan sindiket bukan sahaja untuk kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga dadah.

Norman
Norman

Daerah Batu Pahat merekodkan jumlah ‘laluan tikus’ tertinggi iaitu sebanyak 27, diikuti Muar dengan 21 laluan, Kota Tinggi (10), Pontian (10), Seri Alam (sembilan), Iskandar Puteri (empat) dan Mersing (tiga).

Malahan penyeludup hanya mengambil masa selama 15 minit berulang-alik di antara Tanjung Stapa dan Pulau Batam dengan menggunakan bot berkuasa tinggi, yang bergerak pada kelajuan 50 knot dengan enjin lebih 200 kuasa kuda.

Selain itu, Johor mempunyai banyak hartanah ‘gated and guarded’ yang agak selamat untuk digunakan sebagai tempat pemprosesan, pembungkusan dan menyimpanan dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sementara kepulauan Riau yang bersempadan dengan Malaysia pula mempunyai keluasan 8,200km dengan 2,408 pulau yang mana hanya sebanyak 366 pulau berpenghuni.

Bakinya, 2,402 pulau tidak berpenghuni. Ini menjadikan pulau-pulau yang tidak berpenduduk itu sebagai lokasi strategik sindiket dadah antarabangsa untuk membawa masuk dadah bagi pasaran Indonesia di mana harga dadah adalah lebih tinggi.

Keadaan geografik Johor dan kepulauan Riau ini cukup strategik sebagai lokasi transit dadah.

Pada masa sama, polis Johor harus diberi pujian kerana menjalankan operasi berterusan dalam usaha melawan dan membanteras kegiatan dadah khususnya sindiket dadah di negeri itu.

Sebagai permulaan dan untuk mengelak sindiket-sindiket dadah bertapak di Johor daripada menyewa dan mengunakan premis-premis untuk aktiviti mereka, sudah sampai masanya sebuah undang-undang dipinda bagi membenarkan pihak yang berkuasa menyita premis-premis yang digunakan untuk kegiataan dadah ini.

Pindaan undang-undang ini pastinya akan membuatkan pemilik mengambil tanggungjawab dalam menyewakan premis mereka dan secara tidak langsung mampu mengekang aktiviti sindiket pengedaran dadah.

* Norman Fernandez ialah seorang peguam

Klik di sini untuk terus membaca