UMNO mungkin berdepan kesulitan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti jika pucuk pimpinan gagal memanfaatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bagi memberikan penjelasan terperinci mengenai pelbagai isu panas termasuklah soal bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang pernah menjadi musuh parti itu.
Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, jika UMNO gagal memberikan penerangan terperinci kepada ahlinya mengenai perkara itu, maka mereka harus bersedia menghadapi tsunami penyokongnya sendiri dan orang Melayu pada PRN nanti.
"Saya berpandangan pemimpin UMNO perlu lebih berhati-hati semasa berucap di PAU kerana semua keputusan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu belum lagi teruji susulan tiada lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) mahu pun PRU diadakan.
"Jika UMNO gagal menguruskan krisis keyakinan ahli parti dan pengundi Melayu, maka kemungkinan besar mereka bukan hanya akan tewas, malah mungkin kehilangan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai sekarang pada PRN nanti,” katanya kepada Sinar Premium.
Mohammad Tawfik juga tidak menolak kemungkinan gerakan untuk menjatuhkan Ahmad Zahid dari kerusi Presiden UMNO mungkin dihidupkan semula jika BN gagal mempertahankan kerusi DUN disandang mereka sekarang.
Ini kerana PRN di enam negeri adalah petunjuk kedua kepada kegagalan atau kejayaan kepimpinan parti diketuai Ahmad Zahid selepas mereka hanya menang 26 daripada 178 kerusi Parlimen ditandingi Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
"Jika UMNO tewas sekali lagi dalam PRN kali ini, Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan selaku Presiden UMNO secara terhormat.
"Ini kerana pemimpin boleh datang dan pergi, hanya parti akan kekal. Jika UMNO terus dipimpin oleh presiden sama maka saya khuatir parti akan berhadapan masa depan malap dan ditolak oleh penyokong dan orang Melayu pada masa depan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfik menegaskan adalah menjadi satu kesilapan besar jika sebahagian penyokong parti masih berfantasi bahawa UMNO masih kuat dan berlagak seperti ‘abang besar’ serta mendapat sokongan padu majoriti pengundi.
"Ini kerana hakikat sebenar UMNO sekarang hanya umpama ‘pepohon dedalu’ yang hanya menumpang di pokok lain atau PH untuk meneruskan survival mereka dalam arena politik tanah air,” ujarnya.
Penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh pula menjelaskan, isu utama yang perlu dibangkitkan adalah usaha memperkukuhkan parti termasuk isu yang kritikal dan mendesak seperti untung rugi penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Wan Hashim berkata, perkara yang perlu diketengahkan juga adalah mengenai strategi bakal digunakan BN untuk menang lebih banyak kerusi DUN dalam PRN nanti.
"Pucuk pimpinan UMNO juga perlu memberikan penjelasan dan pendirian mereka kepada ahli parti dalam PAU mengenai keputusan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam.
"Kepimpinan tertinggi juga perlu memberikan penjelasan kepada ahli di peringkat akar umbi mengenai isu pemecatan besar-besaran pemimpin tertinggi UMNO dan adakah parti sedia menerima semula mereka jika ada yang mahu kembali bersama parti?” soal beliau.
Tambahnya, barisan kepimpinan parti juga perlu menjelaskan apakah usaha sedang dilaksanakan bagi menarik kembali sokongan golongan muda terutama pengundi berusia 18 hingga 25 tahun kepada UMNO menjelang PRN nanti.
"Pucuk pimpinan UMNO juga perlu menyatakan dengan jelas dalam PAU mengenai strategi atau usaha untuk menarik first time voters atau mereka berusia 18 tahun ke atas untuk menyokong BN kerana setakat ini tidak nampak usaha ke arah itu,” tambah Wan Hashim.
Klik di sini untuk terus membaca