SEJAK tiga tahun terakhir ini, cerita kecanggihan dan tahap inovasi teknologi kejuruteraan China mendominasi cerita di seluruh dunia.
Kejuruteraan China menjadi tumpuan apabila belon cuaca atau weather balloon berukuran garis pusat dua meter berisi gas helium atau hidrogen dituduh mengintip ruang udara Amerika Syarikat.
Tidak cukup dengan itu, China menerusi syarikat Chunfeng Moto Power Company Limited Ltd (CFMoto) mengejutkan pengeluar motosikal terkenal Eropah dan Jepun apabila menghasilkan motosikal berkuasa tinggi jenis CFMoto 800NK yang dilancarkan awal tahun ini.
China juga membawa mineral baharu daripada permukaan bulan yang digelar Changesite-Y. Bermula dengan misi Chang’e-5, saintis China percaya telah menemui helium-3, sejenis isotop bahan api berpotensi dijadikan komponen reaktor gabungan masa depan.
Mineral tersebut digambarkan sebagai ‘jenis kristal kolumnar lutsinar tidak berwarna’.
Kini, China mula menabur cerita kecanggihan teknologinya apabila mendakwa persimpangan bertingkat Qianchun di pergunungan Guizhou dianggap hasil kejuruteraan paling kompleks dan mencabar di dunia.
China sememangnya sering mendabik dada kononnya memiliki persimpangan lebuh raya yang membingung dan mengelirukan seperti persimpangan jambatan Nanpu di Shanghai.
Persimpangan Qianchun memakan masa lebih 14 tahun untuk disiapkan pada tahun lalu meliputi 18 pendakian (ramp) berbeza arah, lima lapisan dengan ketinggian maksimum 37 meter daripada paras tanah.
Bagaimanapun, penulis percaya sukar untuk mendefinisikan persimpangan lebuh raya ‘paling kompleks’ kerana tiada pernyataan standard secara universal di dunia. Kerumitan boleh menjadi subjektif dan berubah-ubah berdasarkan faktor serta kriteria berbeza.
Ada beberapa persimpangan lalu lintas lain yang dianggap kompleks termasuk persimpangan Judge Harry Pregerson di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
Persimpangan ini menghubungkan beberapa lebuh raya utama termasuk Interstate 105 (Lebuhraya Glenn Anderson), Interstate 110 (Harbour Freeway) dan State Route 110 (Arroyo Seco Parkway) yang terkenal dengan rangkaian pendakian, jejambat dan jambatan rumit berbilang aras serta arah.
Persimpangan Tom Moreland, Atlanta, Georgia, Amerika pula dikenali sebagai Spaghetti Junction dianggap persimpangan kompleks kerana menghubungkan Interstate 85 dan 285 yang terkenal dengan pendakian bertindih.
Begitu juga persimpangan Spaghetti di Birmingham, Britain diklasifikasikan paling sibuk di Britain. Bulatan Arc de Triomphe, Paris, Perancis turut dianggap persimpangan tradisional yang terkenal dengan kerumitan dan bilangan trafik yang sangat tinggi, menghubungkan 12 jalan utama dan memerlukan navigasi berbilang lorong dan gabungan rumit.
Penelitian penulis mendapati ada beberapa kriteria dan faktor bagi menentukan status kompleks sesuatu reka bentuk persimpangan lebuh raya termasuk kerumitan reka bentuk.
Reka bentuk geometri memainkan peranan penting. Begitu juga faktor bilangan pendakian, penjajaran, bilangan aras dan susun atur keseluruhan.
Melihat kepada kehebatan China menghasilkan satu demi satu mahakarya (masterpiece) teknologi kejuruteraan, penulis percaya sudah sampai masa untuk kelompok jurutera di negara ini mengkaji secara serius bagaimana republik tersebut berjaya dengan mencapai satu tahap kejayaan yang sukar ditandingi termasuk negara Barat.
Dewasa ini banyak negara termasuk Amerika Syarikat akur kepada kehebatan teknologi kejuruteraan yang dihasilkan China.
Penulis berharap jurutera di Malaysia tidak hanya berdiam diri dan hanya membaca deretan artikel berkaitan kejayaan jurutera China.
Seharusnya ada sikap mahu mengikut jejak langkah jurutera kejuruteraan khususnya sikap dan komitmen ketika bekerja!
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca