[EKSKLUSIF] KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengakui masih sayangkan UMNO namun tidak akan kembali meskipun parti itu tidak lagi diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Annuar... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengakui masih sayangkan UMNO namun tidak akan kembali meskipun parti itu tidak lagi diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Annuar menjelaskan, beliau berpegang kepada prinsip untuk setia dengan parti dan tidak akan sesekali menjadikan Pas sebagai persinggahan.

Malah, beliau beriltizam untuk menjadikan Pas lebih kuat agar berupaya menyelamatkan UMNO yang kini ‘terperangkap’.

"Pegangan saya, bila masuk sesuatu parti kena bersetia. Bila duduk dalam UMNO, setia sampai habis. Kalau tanya hati sayang atau tidak, sayanglah dan disebabkan itulah, jangan jadikan parti itu hancur.

"Kalau terus buat salah macam ni, sayang macam mana pun, ia akan habis juga. Sekarang saya dalam Pas dan bersetia dengan Pas. Kalau Ahmad Zahid tiada pun (tidak lagi menjadi Presiden UMNO), tidak semestinya saya masuk UMNO.

"Saya tidak boleh masuk dalam Pas dan menjadikannya rumah tumpangan. Bila masuk Pas, saya kena reda, jujur dan ikhlas serta beri perkhidmatan kepada parti baharu.

"Selagi mana Pas tidak lari daripada prinsip yang saya persetujui iaitu jangan menghina dan membuang mana-mana orang Melayu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Damansara pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah sedia kembali ke pangkuan UMNO sekiranya Ahmad Zahid tidak lagi menjadi presiden parti itu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu dipecat daripada parti pada 8 Disember tahun lalu oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengikut fasal 10.6 Perlembagaan yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.Tindakan itu dipercayai ekoran beliau dilihat lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Tambah Annuar, walaupun tidak lagi bersama UMNO, beliau tidak akan sesekali memusuhi bekas partinya itu kerana telah berada dalam UMNO selama 50 tahun dan menjadi ketua bahagian selama 35 tahun.

"Saya harap Pas jadi semakin kuat dan selamatkan UMNO. Antara UMNO, Pas dan Bersatu, boleh co-exist (wujud bersama) iaitu politik taawun dan taayush kerana ketiga-tiga parti ini ada titik persamaan iaitu Islam dan Melayu.

"UMNO macam dah masuk perangkap, tidak boleh ke depan dan ke belakang. Nak ke depan, tidak boleh pergi sebab Ahmad Zahid tidak mahu. Nak undur ke belakang pun tidak boleh. Jadi, siapa yang boleh menolong UMNO? Pada saya, Pas mampu lakukannya,” jelas Annuar.

Klik di sini untuk terus membaca