BARU-BARU ini, Apple memperkenalkan satu alatan baharu iaitu Apple Vision Pro. Ia menggunakan kaedah spatial computing dan dipacu oleh chip R1 yang baharu. Harganya pun boleh tahan, AS$3,500 atau lebih daripada RM15,000. Idea menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini, Apple memperkenalkan satu alatan baharu iaitu Apple Vision Pro. Ia menggunakan kaedah spatial computing dan dipacu oleh chip R1 yang baharu. Harganya pun boleh tahan, AS$3,500 atau lebih daripada RM15,000.

Idea menjadi realiti dengan menggunakan alatan berteknologi tinggi ini bukannya sesuatu baharu.

Malah pesaing-pesaing Apple seperti Google dan Facebook telah membangunkan platform dan alatan masing-masing bagi meletakkan mereka ke hadapan di dalam ruang putih yang mungkin akan membawa pulangan yang besar di masa hadapan.

Bagi gergasi-gergasi teknologi ini, membuat pelaburan dalam inovasi berasaskan teknologi tinggi adalah makanan harian mereka.

Mereka sentiasa mencari otak-otak bergeliga di serata dunia untuk diambil menjadi ahli pasukan yang akan diberikan dana dan kemudahan bagi mencipta teknologi baharu.

Inilah sebabnya perniagaan yang unggul akan sentiasa mencari dan membangunkan bakat serta tidak peduli akan warna kulit, bangsa dan lokasi otak-otak yang begeliga ini.

Bagi perniagaan yang menghadkan carian mereka, mereka sebenarnya membentuk risiko yang mungkin merugikan di masa hadapan.

Semalam juga saya membawa kereta saya untuk diselenggara. Ketika pengusaha itu berbual-bual dengan saya, dia bercerita berkenaan pelaburan yang dia perlu buat untuk menyelenggara kereta-kereta elektrik yang semakin banyak di atas jalan.

Untuk menyelenggara kereta-kereta yang canggih itu, pelaburan di dalam perisian dan juga alatan baharu perlu dibuat.

Dia juga merancang untuk memasang tapak mengecas bateri kereta kerana semakin banyak kereta elektrik digunakan, semakin tinggi permintaan kepada tempat mengecas.

Oleh kerana perniagaan melibatkan keupayaan untuk melihat peluang masa hadapan dan menguruskan pelbagai risiko yang boleh wujud dengan tiba-tiba, usahawan yang menerajui perniagaan juga kena sentiasa melihat ke hadapan.

Mengenal pasti peluang dan risiko ini dari awal akan membolehkan perniagaan membuat keputusan strategik.

Mana-mana perniagaan yang hanya bergantung kepada formula kejayaan yang ada sahaja sebenarnya mengambil risiko. Tidak berbuat sesuatu itu sendiri adalah risiko.

Ini bermakna usahawan kena sentiasa menghidu peluang atau pun mencipta peluang melalui proses inovasi dan mampu memperkenalkan produk atau pun perkhidmatan baharu yang membolehkannya membezakan apa yang ditawarkan kepada pelanggan berbanding dengan pesaing-pesaing lain.

Oleh kerana inovasi boleh memakan belanja yang tinggi, ada juga keadaan di mana beberapa perniagaan bergabung bagi mengusahakan sesuatu yang baharu. Kaedah ini memerlukan persefahaman yang tinggi di antara satu sama lain.

Peranan dan bagaimana hasil dikongsi atau diagihkan kena diperjelaskan dari awal untuk mengelakkan silap faham di belakang hari terutamanya apabila usaha ini berhasil.

Apa yang penting ialah perubahan yang dilakukan, perniagaan yang sentiasa memandang ke hadapan lebih potensi untuk menjadi lestari.

* Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji

Klik di sini untuk terus membaca