KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang membuka tirai pada Khamis diharap menjadi pentas buat pemimpin parti meleraikan kekeliruan ahli akar umbi terutama mengenai prinsip perjuangan parti setelah membentuk Kerajaan Perpaduan.
Rata-rata perwakilan yang ditemui menaruh sepenuh kepercayaan kepada barisan kepimpinan untuk memberi penjelasan agar kekusutan yang membelenggu kebanyakan ahli parti keramat itu dapat diredakan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Antara isu yang diharapkan ‘beres’ adalah pendirian pemimpin mengenai kerjasama dengan parti yang sejak ‘azali’ menjadi seteru UMNO khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Ketua Penerangan Wanita Terengganu, Wan Nasiah Wan Abdul Majid mengakui ramai ahli akar umbi keliru dan sukar untuk mentafsir kerjasama ‘unik’ dengan seteru lama dalam Kerajaan Perpaduan.
Justeru katanya, pentas PAU kali ini perlu digunakan sebaiknya oleh barisan kepimpinan sayap masing-masing untuk meyakinkan perjuangan UMNO masih utuh dan tidak terjejas dengan ‘perkahwinan‘ tersebut.
"Sebagai pemimpin pertengahan, mereka perlu bawa wadah (perubahan) itu. Mesti pergi ke akar umbi dan fahamkan mereka apa sebenarnya berlaku. Kalau tidak ambil tindakan begitu, sampai bila-bila tidak berubah,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Exco Pemuda UMNO, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi turut senada apabila berharap PAU kali ini dapat memberi gambaran jelas kepada ahli mengenai hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"PAU kali ini berlaku selepas Konvensyen Kerajaan Perpaduan diadakan, jadi saya harap ahli dapat penjelasan yang sempurna terutama mengenai penyertaan UMNO dalam kerajaan campuran,” katanya.
Ketua Puteri UMNO Setiu, Hafizah Che Mud pula mahu edisi kali ini merungkai segala kekeliruan mengenai keputusan bersama seteru dalam Kerajaan Perpaduan.
Justeru ujarnya, peluang ini perlu digunakan sebaiknya demi menjamin kesetiaan ahli parti.
"Gunakan peluang bertemu ahli akar umbi untuk menjelaskan dan memberi gambaran sebenar tentang penyertaan dalam kerajaan.
"Namun perlu diingatkan fokus untuk membantu rakyat perlu diutamakan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca