KIEV - Ribuan penduduk Nova Kakhovka hilang arah apabila terpaksa menyelamatkan diri susulan kejadian Empangan Kakhovka di Kherson musnah di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine yang tiada berkesudahan.
Insiden itu menambahkan lagi kekecewaan penduduk yang selepas ini terpaksa berhadapan satu lagi kemungkinan bencana kemanusiaan termasuk penyakit bawaan air.
Pihak berkuasa Ukraine melaporkan hampir semua atau sebahagian 80 bandar dan kampung ditenggelami air sepenuhnya, sambil menekankan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal mereka dalam sekelip mata.
Kejadian empangan pecah itu turut menyebabkan penduduk kehilangan akses terhadap bekalan air bersih, makanan dan perkhidmatan asas.
Di hilir Empangan Kakhovka, polis dan tentera memindahkan orang ramai ke kawasan tinggi menggunakan bot dengan kebanyakan mangsa yang sehelai sepinggang hanya membawa dokumen penting dan haiwan peliharaan.
Di sebalik proses pemindahan itu, pegawai Ukraine mendakwa tentera Rusia terus membedil kawasan kejiranan.
"Kami sudah biasa dengan bunyi bom dan tembakan tetapi bukan bencana alam.
"Saya tidak menjangkakan sama sekali empangan tersebut boleh musnah. Ia ibarat mimpi ngeri,” kata Nataliya Korzh.
Wanita warga emas berusia 68 tahun itu terpaksa menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan tanah tinggi selepas rumahnya ditenggelami air.
Nataliya yang berkaki ayam dan tubuhnya dipenuhi calar serta menggigil kesejukan antara sebahagian mangsa yang dipindahkan dengan bot.
"Sekarang saya tidak tahu ke mana lagi harus dituju,” tambahnya.
Bapa lima anak, Dmitry Melnikov, 46, pula hanya mampu termenung mengenangkan nasib malang menimpanya sekeluarga.
"Kami telah berada di sini sejak awal perang dan kami terselamat daripada pencerobohan.
"Tetapi sekarang, kami sudah kehilangan segalanya termasuk tempat berlindung.Ke mana kami mahu pergi?” ujarnya.
Kherson, bandar di tepi Sungai Dnipro yang luas di Ukraine terletak berhadapan dengan tebing timur yang dikuasai Rusia.
Sekitar 60 kilometer (km) di hulunya terletak Empangan Kakhovka sepanjang 3.2 kilometer (km).
Kiev menuduh Rusia meletupkan empangan hidroelektrik era Soviet yang dibina sekitar 1950-an itu dan menganggapnya sebagai satu tindakan keganasan.
Ketua pentadbiran bandar Nova Kakhovka yang disokong Moscow, Vladimir Leontiev pula mendakwa kawasan tadahan Sungai Dnipro itu sengaja diletupkan oleh tentera Ukraine sehingga memusnahkan injap pintu empangan.
Awal tahun ini, pertubuhan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) menuduh tentera Rusia menggunakan periuk api yang diharamkan di rantau Kharkiv, timur Ukraine.
Menurut HRW, pelbagai jenis periuk api ditanam di Ukraine dengan sesetengahnya tidak pernah dilihat di medan tempur sebelum ini.
HRW melaporkan bahawa sebilangan periuk api di Ukraine ditanam sebelum perang pada Februari 2022 dengan militia pro- Rusia menanam pelbagai bahan letupan itu di Donetsk serta Lugansk dalam tahun 2014 hingga 2015 dan seterusnya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca