[EKSKLUSIF] KUANTAN - Anggota dan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sanggup bergadai nyawa dengan berpakaian preman selain menggunakan kenderaan tanpa logo dalam usaha menahan lori lebih muatan atau dikenali sebagai ‘anak gajah' dalam Ops Mammoth di sekitar Kuantan, pada Khamis.
Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi khas dan sulit itu dimaklumkan, risikan dilakukan lebih awal oleh jabatan berkenaan bagi mengesan lori yang yang membawa lebih muatan sebanyak 71 peratus.
Seramai 30 anggota dan pegawai daripada Bahagian Penguat Kuasa terlibat dalam operasi yang dilaksanakan selama 10 jam bermula jam 6.30 pagi.
Kesemua anggota dan pegawai yang menggunakan ‘kereta projek’ ditempatkan di tempat pemeriksaan ditetapkan untuk memburu sasaran.
Pasukan mula bertindak secara serentak setelah mengesan kenderaan perdagangan yang membawa pelbagai bahan galian lebih muatan pada jam 9 pagi.
‘Kereta projek’ akan mengekori kenderaan berat tersebut sebelum memintas untuk memberhentikan sasaran.
Ketika itulah bendera merah berlogo JPJ dikeluarkan bagi memberi arahan kepada pemandu lori supaya memberhentikan kenderaan berat itu di bahu jalan.
Dalam tempoh kira-kira dua minit, salah seorang anggota penguat kuasa yang telah menunjukkan kad kuasa akan naik ke atas ‘anak gajah’.
Sebaik sahaja berjaya ‘menyelinap’ ke dalam lori, pemandu diarah supaya mematikan kesemua alat telekomunikasi bagi mengelak operasi tersebut diketahui tonto.
Pemandu kemudian diarahkan untuk memandu lori ke stesen timbang di Jalan Gebeng untuk tindakan lanjut.
Berkongsi mengenai operasi berkenaan, Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Mohd Alifarihan Abdullah berkata, pasukannya berhadapan cabaran untuk memberhentikan kenderaan berat yang didapati melakukan kesalahan.
"Anggota penguat kuasa terpaksa bergadai nyawa untuk memberhentikan lori tersebut, namun mereka terlatih dan mempunyai kemahiran untuk menahan kenderaan berat ini,” katanya.
Mohd Alifarihan berkata, beliau juga sentiasa menasihatkan anggota penguat kuasa memikirkan situasi dan mengelakkan risiko terhadap pengguna jalan raya lain ketika menahan ‘anak gajah’.
"Kami juga perlu menggunakan strategi kenderaan tanpa logo dalam operasi tersebut bagi mengelak dikesan tonto yang akan memaklumkan pergerakan penguat kuasa JPJ kepada pemandu lori,” katanya.
Mengulas lanjut Mohd Alifarihan berkata, anggota dan pegawai penguat kuasa JPJ juga berhadapan dengan risiko ketika menjalankan tugas untuk mengesan dan menahan kenderaan berat yang didapati melakukan kesalahan.
"Kita menggunakan peralatan seperti bendera berlogo JPJ untuk memberi amaran kepada pemandu lori berkenaan untuk memberhentikan kenderaan tersebut,” kata beliau.
Jelasnya, segala tindakan anggota penguat kuasa perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan."Kita seterusnya akan mengiring kenderaan berat itu ke lokasi timbang untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Alifarihan berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 32 anggota dan pegawai penguat kuasa JPJ dipecahkan kepada sembilan pasukan termasuk tiga pasukan utama.
"Pasukan ini telah diletakkan di tiga check point (tempat pemeriksaaan) di sekitar lokasi dua buah kuari dan di persimpangan jalan antara arah ke Kemaman serta Pelabuhan Kuantan bagi memantau pergerakan target (lori membawa lebih muatan).
Tambahnya, pelaksanaan operasi itu adalah hasil aduan awam, tinjauan dan risikan yang dilakukan sebelum ini.
"Kami turut mengesan pemandu lori yang melakukan kesalahan berulang yang mana salah seorang daripadanya mempunyai 12 rekod pelbagai kesalahan sejak tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, tindakan dilakukan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 selain kenderaan berat terbabit disita.
Klik di sini untuk terus membaca