KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan risikan dan operasi secara senyap terhadap aktiviti lori bawa muatan berlebihan atau dikenali sebagai Ops Mammoth di sini, pada Khamis.
Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, antara cabaran sepanjang tempoh operasi tersebut ialah pihaknya mengesan pengusaha lori menggunakan khidmat tonto.
"Pergerakan anggota dan pegawai penguatkuasa JPJ sentiasa dipantau oleh tonto dan menyukarkan kami melaksanakan operasi.
"Kita perlu membuat risikan dan melakukan operasi secara ‘senyap’ bagi memastikan kejayaan Ops Mammoth ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Lokman berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan orang ramai dan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan aktiviti lori membawa muatan berlebihan di sekitar Kawasan Industri Gebeng, di sini.
"Kita menerima maklumat berkaitan dakwaan bahawa jalan di kawasan ini rosak disyaki berpunca daripada lori berat yang membawa muatan melebihi had ditetapkan, ia mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
"Lori yang membawa muatan berlebihan juga boleh menyebabkan sistem brek kenderaan berat itu tidak berfungsi dengan baik dan rosak serta boleh menjadi punca kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 14 buah lori ditahan dalam Ops Mammoth yang dilaksanakan selama 10 jam, bermula pada jam 6.30 pagi.
"Kesalahan utama yang dikesan adalah membawa muatan melebihi had berat dibenarkan di bawah Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 2018 iaitu lebihan berat antara 60 hingga 130 peratus.
"Jenis muatan yang dibawa adalah seperti arang batu, habuk batu dan sisa kuari.
"Kenderaan berat tersebut telah disita dan di bawa ke Stesen Penguat Kuasa Paya Rambutan, di sini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Lokman berkata, sebanyak 64 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya lebih muatan dan tiada insurans.
"Kita turut mengesan ada pemandu Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh, tiada lesen memandu kompeten (CDL), tiada lesen kenderaan perdagangan (GDL) dan lain-lain kesalahan teknikal,” katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama JPJ Pahang.
"Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.
Lokman berkata, pihaknya berharap pengusaha industri dan pemandu lori agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan jalan raya melibatkan isu kenderaan berat,” tegas Lokman.
Tonto guna peralatan canggih pantau pihak berkuasa
Sementara itu, sindiket yang ‘menjaga’ syarikat lori atau lebih dikenali sebagai tonto dikesan menggunakan walkie-talkie canggih atau terkini bagi memastikan kenderaan berat yang melakukan pelbagai kesalahan dapat mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa.
Menurut sumber Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), usaha untuk memerangi kumpulan tonto mencabar apabila mereka turut menggunakan kecanggihan teknologi komunikasi.
"Kita mendapati mereka (tonto) menggunakan pelbagai aplikasi selain alat komunikasi walkie-talkie untuk menyalurkan maklumat berkaitan pergerakan pihak berkuasa dengan pantas ke pengetahuan pemandu lori bermasalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sumber itu berkata, maklumat yang disalurkan tonto tersebut memberi kesukaran kepada anggota penguat kuasa JPJ mengambil tindakan terhadap lori bermasalah kerana mereka sudah mendapat maklumat awal berkaitan operasi yang dilaksanakan.
"Ancaman tonto ini menyebabkan kita perlu memikirkan kaedah serta alternatif lain bagi mengekang kumpulan ini ketika melaksanakan operasi,” katanya.
Menurutnya, tonto dikesan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta menggunakan cermin gelap.
"Sebelum ini, kita mendapati banyak antena dipasang di 4WD yang dipandu tonto tersebut, kini kenderaan itu telah diubah suai untuk pemasangan walkie-talkie canggih di dalam kenderaan," katanya.
Tambahnya, kehadiran tonto yang memerhatikan setiap pergerakan pasukan penguatkuasa tanpa mengira masa memberikan cabaran utama dalam menjalankan tugas.
"Sebelum ini, ada seorang pegawai JPJ diekori lima tonto ketika menjalankan tugas di Lebuhraya Persekutuan, mujur dia berjaya ‘melarikan diri’ daripada kumpulan tersebut di Persada PLUS,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca