KUANTAN - "Saya terpaksa bawa lebih muatan untuk dapat komisen sebanyak RM300 sehari,” kata pemandu lori yang mahu dikenali sebagai Mohd.
Mohd berusia 40-an berkata, komisen dikira berdasarkan berat muatan pada harga RM7 setiap tan dan trip (perjalanan penghantaran) yang dilakukan dalam tempoh sehari.
"Seawal pagi pada setiap hari, saya sudah keluar rumah dan mengambil arang batu di pelabuhan untuk dihantar di syarikat perindustrian di Kuantan dan Terengganu,” katanya ditemui di operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini pada Khamis.
Mohd berkata, dia menyedari risiko memandu lori yang membawa muatan berlebihan di jalan raya.
"Saya akan memandu lori dengan lebih berhati-hati bagi mengelak perkara tidak diingini apabila membawa lebih had muatan.
"Saya pernah disaman oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan lebih had muatan, malah lesen memandu juga pernah digantung selama lapan bulan pada tahun lalu,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori sejak 12 tahun lalu.
Mohd berkata, dia terpaksa mengejar trip untuk mendapatkan lebih banyak komisen.
"Saya sanggup mengorbankan masa rehat untuk mencapai lima kali trip, di mana ada elaun makanan sebanyak RM50,” katanya.
Seorang lagi pemandu lori enggan dikenali mengakui sikap kejar trip demi komisen itu ada dalam kalangan pemandu lori.
"Sehari saya kejar tiga trip, komisen yang diterima adalah sebanyak RM200,” katanya.
Lelaki berusia 24 tahun itu berkata, majikan pasti akan memotong gajinya apabila lori yang dipandu ditahan oleh pihak berkuasa.
"Gaji saya adalah sebanyak RM4,000 sebulan, apabila ditahan pihak berkuasa gaji akan dipotong sebanyak RM500.
"Saya pernah ditahan dan disaman oleh JPJ sebanyak dua kali. Saya terpaksa memandu lori muatan berlebihan kerana inginkan komisen tinggi,” katanya.
Kerahsiaan indikator kejayaan operasi
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menitikberatkan kerahsiaan bagi memastikan operasi ke atas aktiviti lori bawa muatan berlebihan atau dikenali sebagai Ops Mammoth berjaya.
Ketua Penolong Pengarah Operasi JPJ, Nor Azlan Ibrahim berkata, salah satu cabaran adalah memastikan tiada maklumat bocor sebelum operasi tersebut dilaksanakan.
"Kerahsiaan itu dianggap sebagai indikator bagi menentukan kejayaan operasi tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nor Azlan berkata, pihaknya akan melaksanakan risikan di lokasi dalam tempoh tiga hingga tujuh hari, sebelum operasi dilakukan.
"Risikan secara bersendirian oleh pegawai yang dipercayai di peringkat Ibu Pejabat JPJ adalah untuk menjaga tahap kerahsiaan," katanya.
Nor Azlan berkata, pihaknya turut mengadakan sesi taklimat kepada semua anggota dan pegawai penguat kuasa yang terlibat dengan operasi berkenaan.
"Kita juga menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mahu memberi peringatan kepada kakitangan bahawa agensi akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membocorkan maklumat operasi," katanya.
Mengulas lanjut Nor Azlan berkata, pihaknya turut berkolaborasi dengan syarikat telekomunikasi dalam mengesan kebocoran maklumat.
"Kita juga mendapati tonto menjadi salah satu punca kebocoran maklumat, mereka mengintip pergerakan kakitangan yang terlibat dalam operasi tersebut," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Nor Azlan berkata, pihaknya berusaha dalam memastikan persekitaran jalan raya kondusif untuk kepentingan umum.
Klik di sini untuk terus membaca