SHAH ALAM - Ketua Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen mengambil sikap ‘mengunci mulut’ sama ada parti itu bersedia untuk menzahirkan permohonan maaf kepada akar umbi UMNO seperti dituntut oleh sayap Pemuda... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen mengambil sikap ‘mengunci mulut’ sama ada parti itu bersedia untuk menzahirkan permohonan maaf kepada akar umbi UMNO seperti dituntut oleh sayap Pemuda parti Melayu berkenaan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menegaskan, fokus DAP tertumpu kepada membina semula negara dan memastikan Kerajaan Perpaduan terus stabil demi kebaikan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan demografi.

"Kita harus faham bahawa rakyat sekarang mahukan sebuah kerajaan yang prihatin, kompeten, stabil dan berfungsi, yang akan menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan juga membawa negara ke hadapan serta mengembangkan daya saing di pasaran dunia.

"Ini termasuk memberi tumpuan kepada dasar-dasar yang holistik untuk membawa solusi kepada isu yang dihadapi semua rakyat,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Terdahulu, Pemuda UMNO melaungkan gesaan agar parti DAP segera memohon maaf atas segala tohmahan sebelum ini yang menggores hati ahlinya sehingga kini selain membuktikan cakap-cakap bahawa DAP parti anti-Melayu, anti-Islam, bersifat perkauman dan berpusatkan komunis tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh turut berkata, tujuan permohonan maaf itu adalah untuk melembutkan hati ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat apatah lagi dalam persiapan mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau turut membangkitkan bahawa sebelum ini DAP sanggup bertemu dan memohon maaf kepada pemimpin Parti Gabungan Sarawak (GPS) semasa mahu menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Gesaan Dr Muhammad Akmal itu kemudiannya disambut baik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan beliau berpandangan sebagai sebuah parti dalam kerajaan, DAP seharusnya berbesar hati menerima saranan berkenaan.

"Cadangan (Pemuda UMNO) yang baik. Bagi saya, kalau DAP berbesar hati mereka boleh minta maaf kepada UMNO” kata Mohamad atau Tok Mat selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Bagaimanapun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tuntutan supaya DAP memohon maaf dan membuktikan segala tohmahan dan cakap-cakap tentang parti itu bersifat anti-Melayu, anti-Islam, perkauman dan berpusatkan komunis tidak perlu lagi dibangkitkan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, DAP telah beberapa kali mengulangi pendirian mereka berkenaan isu terbabit.

Berikutan itu, Kelvin senada dengan Ahmad Zahid dengan menegaskan semua pihak perlu menumpukan usaha mentadbir negara dengan baik.

"Seperti yang dikatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tumpuan Kerajaan Perpaduan sekarang adalah untuk mentadbir negara dengan baik dan memastikan kerajaan ini stabil untuk kebaikan semua pihak,” ujar Kelvin.

Beliau turut mengingatkan adalah penting untuk melindungi negara daripada pemimpin-pemimpin yang hanya memainkan retorik dan sentimen bertujuan untuk memecah-belahkan dan mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Zahid ingatkan jangan usik hati orang Melayu

Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam - DAP

Ahmad Zahid sebak dengar amanat Najib

UMNO terus pertahan Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal - Ahmad Zahid

'Saya hadir semula PAU 2023 untuk perkukuh kerajaan' - Anwar

UMNO gesa selesai segera isu bebanan guru, doktor kontrak

Beri peluang kerajaan terjemah agenda dijanjikan - Ahmad Zahid

‘Lagi baik kalau DAP minta maaf pada UMNO’ - Tok Mat

'Air karat di Kelantan masih gagal dijernihkan'- Ahmad Zahid

'UMNO bukan mengkarung politik' - Ahmad Zahid

Anwar hadiri PAU 2023 selepas 25 tahun

Klik di sini untuk terus membaca