HARI ini masuk hari ketiga Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023. PAU kali ini memperlihatkan kepentingannya dalam dua aspek. Pertama, bagi menjelaskan hala tuju parti itu kepada akar umbi selaras dengan realiti semasa UMNO antara parti yang... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini masuk hari ketiga Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023. PAU kali ini memperlihatkan kepentingannya dalam dua aspek.

Pertama, bagi menjelaskan hala tuju parti itu kepada akar umbi selaras dengan realiti semasa UMNO antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan dalam pakatan campuran.

Kedua, menjadi medan terakhir untuk meyakinkan bukan sahaja penyokong akar umbi tetapi pengundi Melayu yang perlu diselesaikan segera terkait dengan DAP ketika enam pilihan raya negeri (PRN) semakin menghimpit parti.

Sepatutnya perkara-perkara tersebut diselesaikan UMNO sejurus membentuk kerajaan November tahun lalu.

Paling penting tentunya menjelaskan sebab UMNO bergabung membentuk kerajaan serta pendirian dan dasar mereka terhadap DAP yang bersama mereka membentuk kerajaan.

Malangnya, ia tidak berlaku. Ramai melihat UMNO mungkin sengaja tidak melakukannya memandangkan parti itu berhadapan dengan pemilihan parti selepasnya.

Dengan proses housekeeping parti yang dijangka berlaku sepanjang pemilihan, pemerhati meramalkan ia akan berlaku selepas proses itu selesai. Namun sebaliknya, ia tetap tidak berlaku.

Lebih parah, seruan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya ahli UMNO mengundi DAP demi Kerajaan Perpaduan dalam PRN kelak mengeruhkan keadaan.

Walaupun nampak baik, namun cara dan masa ia dilakukan jelas tidak kena pada tempatnya. Maka tidak hairan langkah-langkah ‘mengawal kerosakan’ berlaku sepanjang PAU.

Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang bertegas tidak mahu menjemput parti lain dalam Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi sayap pemuda dan menggesa DAP meminta maaf secara terbuka kepada UMNO dilihat usaha menutup kerosakan tersebut.

Dilema yang berlaku kepada kedua-dua parti ini sebenarnya bermula dengan tindakan parti masing-masing.

Dahulu, DAP jugalah yang membelasah UMNO dengan pelbagai gelaran dan konotasi buruk – parti rasuah, kleptokrat, kroni, ultra elit – yang berjaya mengikis kepercayaan orang bukan Melayu dan pengundi Melayu atas pagar untuk menjauhi UMNO.

Sudahnya UMNO semakin dijauhi pengundi baharu kerana mereka membesar dengan persepsi bahawa UMNO parti yang jahat.

Dan UMNO jugalah yang membelasah DAP dengan naratif anti-Melayu, anti-Islam, komunis, parti ekstrem yang mesra liberalisme dan pluralisme sampai DAP menjadi nemesis abadi orang Melayu yang dijual bukan sahaja kepada akar umbi malah pengundi Melayu.

Akhirnya apabila terpaksa bekerjasama, ini jelas menjadi bebanan terbesar buat UMNO sekarang kerana akar umbi melihat DAP melalui persepsi indoktrinasi pimpinan mereka.

Maka jelas PAU kali ini menjadi sangat kritikal untuk UMNO bukan sahaja perlu menjelaskan kepada akar umbi supaya menerima dan memahami langkah UMNO bersama Kerajaan Perpaduan, malah meyakinkan mereka untuk menerima kenyataan yang UMNO terpaksa berbaik dengan DAP khususnya sebagai rakan dalam kerajaan.

Setakat ini tidak nampak tanda akar umbi UMNO menerima DAP, di sebalik fakta bahawa kerjasama tersebut bersifat sementara dan longgar.

Dilemanya walaupun sementara, UMNO lebih berkelebihan berada dalam pakatan kerajaan berbanding sebagai pembangkang.

Yang perlu UMNO lakukan hanyalah mengurus ketidakpuasan hati dan menjelaskan kekeliruan akar umbi secara tuntas dalam isu DAP.

Apakah sukar dilakukan? Kalau Pas pernah melakukannya, maka UMNO juga berupaya melakukannya.

Sifat politik yang dinamik dan progresif hanya memerlukan tindakan strategik serta agresif parti untuk segera menjayakannya.

Mungkin mencabar memandangkan situasi yang berbeza; bekerjasama sebagai kerajaan berbanding Pas-DAP sebagai pembangkang. Maka ia harus bermula dengan usaha penjelasan memujuk dan membina.

Justeru, ia mesti bermula dengan naratif yang jelas, menggunakan kerajaan perpaduan itu sendiri sebagai langkah asas membina keyakinan dan kapasiti memujuk akar umbi, bukannya langsung menyentuh dasar dan prinsip parti yang tidak boleh dikompromi.

Kelebihan menjadi kerajaan sepatutnya digunakan dalam menjayakan perkara ini dan bukannya menggunakan jalur parti yang terbukti sukar dioperasikan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Zahid ingatkan jangan usik hati orang Melayu

Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam - DAP

Ahmad Zahid sebak dengar amanat Najib

UMNO terus pertahan Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal - Ahmad Zahid

'Saya hadir semula PAU 2023 untuk perkukuh kerajaan' - Anwar

UMNO gesa selesai segera isu bebanan guru, doktor kontrak

Beri peluang kerajaan terjemah agenda dijanjikan - Ahmad Zahid

‘Lagi baik kalau DAP minta maaf pada UMNO’ - Tok Mat

'Air karat di Kelantan masih gagal dijernihkan'- Ahmad Zahid

'UMNO bukan mengkarung politik' - Ahmad Zahid

Anwar hadiri PAU 2023 selepas 25 tahun

Klik di sini untuk terus membaca