SAYA berbangga dengan kejayaan seorang sahabat yang kini sudah mempunyai tiga buah cawangan kedai kopi di tiga buah negeri. Walaupun masih bertatih dalam dunia perniagaan, namun dia berusaha keras untuk membuktikan dirinya mampu untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA berbangga dengan kejayaan seorang sahabat yang kini sudah mempunyai tiga buah cawangan kedai kopi di tiga buah negeri.

Walaupun masih bertatih dalam dunia perniagaan, namun dia berusaha keras untuk membuktikan dirinya mampu untuk berjaya dalam bidang yang baru diceburi itu.

Apa yang menarik perhatian ialah mengenai salah sebuah cawangan kedainya yang terletak di sebuah kawasan di Hulu Perak.

Dia memberitahu, terpaksa berfikir panjang untuk membuka cawangan tersebut kerana bimbang tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

Namun, selepas memulakan perniagaan, dia dapati jualan di kedai tersebut mampu untuk menjana keuntungan.Dia berkata: "Orang di sini sebenarnya ada duit berbanding orang yang tinggal di Kuala Lumpur yang kelihatan ada duit tetapi sebenarnya tidak.”

Mendengar kata tersebut, saya teringat tulisan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam buku tulisan beliau, Nota Kaki Johan Jaaffar.Buku tersebut merupakan rencana-rencana tulisan beliau yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Dalam beberapa tulisan beliau, Johan ada menyebut, ketika negara berhadapan dengan krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997, orang di bandar yang lebih terkesan berbanding dengan orang luar bandar.

Krisis Kewangan Asia ialah krisis kewangan yang bermula pada Julai 1997 di Thailand, dan mempengaruhi mata wang, bursa saham serta harga aset lainnya di beberapa negara Asia. Ia juga sering disebut krisis matawang Asia.

Pada waktu itu, menurut Johan, orang kampung lebih baik kerana harga komoditi dan hasil pertanian yang tinggi menyebabkan mereka lebih banyak duit dan tidak terkesan dengan masalah yang melanda negara.

Kehidupan mereka lebih bahagia dan tidak pula memikirkan tentang kesusahan orang bandar.

Selepas 26 tahun, negara sekali lagi berdepan cabaran baharu yang menyaksikan seluruh dunia bergelut untuk memulihkan ekonomi masing-masing selepas dibadai Covid-19 dan perang Ukraine dan Rusia.

Paling ketara ialah inflasi yang tinggi memberi kesan besar kepada harga makanan dan barangan keperluan.

Terdapat satu teori ekonomi yang dikenali sebagai ilusi wang atau ilusi harga yang merujuk kepada kecenderungan untuk mempertimbangkan hanya nilai nominal wang dan bukannya nilai sebenar, iaitu menganggap ringgit adalah satu ringgit, hari ini, esok dan lusa, tanpa mengambil kira inflasi.

Sebagai contoh, kita semua melihat RM10 yang adalah satu nilai yang sama dan tidak berubah tetapi hakikatnya nilainya berbeza disebabkan faktor inflasi.

Istilah ilusi wang ini dicipta oleh ahli ekonomi, statistik, pencipta dan pejuang sosial progresif Amerika, Irving Fisher.

Pada tahun 1928, Fisher menulis sebuah buku penting mengenai subjek, The Money Illusion dan beliau mengatakan penyimpan dan pelabur dipengaruhi oleh pelbagai peringkat ilusi wang.

Ilusi wang ini turut mempengaruhi kefahaman terhadap gaji atau pendapatan yang diterima oleh seseorang pekerja.

Ia menjurus kepada pandangan bahawa orang ramai mempunyai kecenderungan untuk melihat kekayaan dan pendapatan mereka dalam bentuk nominal, dan bukannya mengiktiraf nilai sebenar mereka yang diselaraskan untuk inflasi.

Manakala pendapatan benar pula iaitu pendapatan seseorang atau negara selepas dilaraskan untuk mengambil kira inflasi. Ia dikira selepas inflasi ditolak daripada pendapatan nominal.

Sebagai contoh, dengan kenaikan gaji 2 peratus tetapi kadar inflasi kekal lebih baik daripada kenaikan gaji 5 peratus tetapi kadar inflasi juga naik sebagai contoh naik kepada lebih 5 peratus yang akhirnya berpotensi untuk mengurangkan kuasa membeli.

Jadi kata-kata sahabat saya mengenai orang yang hidup di kampung lebih senang berbanding orang bandar terus bermain dalam minda.

Tidak dinafikan walaupun kos sara hidup meningkat pada ketika ini, tetapi kos hidup di luar bandar boleh dikatakan lebih rendah sedikit berbanding di bandar.

Orang bandar tanggung banyak kos untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup. Pada setiap hujung minggu, mereka habiskan masa menonton wayang dan makan di restoran atau berjalan-jalan ke luar kota yang memerlukan mereka membayar tol, parkir serta mengisi minyak.

Sementara yang duduk di kampung mungkin lebih santai dan sekali sekala dapat menghirup kopi dari jenis Arabica dan Robusta tidaklah menjadi sebarang masalah kalau pendapatan stabil.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca