NEW YORK - Sejak beberapa hari lalu, keadaan jerebu luar biasa menyelubungi Amerika Utara, sekali gus menandakan bermulanya corak musim panas baharu yang berpunca daripada fenomena perubahan iklim.
Kebakaran dahsyat yang melanda Kanada sejak beberapa minggu lalu menghasilkan asap tebal yang kini mencemari kawasan berpopulasi padat di Amerika Syarikat (AS).
Data dikeluarkan Sistem Maklumat Kebakaran Wildland di Ottawa menunjukkan sebahagian besar daripada 436 api yang dikesan masih marak hingga memaksa pemerintah meminta bantuan negara antarabangsa.
Kebakaran dahsyat itu telah menyebabkan lebih 20,000 hilang tempat tinggal, memusnahkan kira-kira 3.8 juta hektar kawasan yang disifatkan Perdana Menteri, Justin Trudeau sebagai musim kebakaran hutan paling teruk.
Di bawah operasi pemindahan terbaharu, lebih 11,000 penduduk terjejas dipindahkan dari wilayah Quebec yang merekodkan jumlah titik panas paling tinggi pada Selasa.
Selain itu, lebih 100 juta penduduk di seluruh timur laut AS berada di bawah amaran pencemaran berbahaya disebabkan kepulan asap yang dibawa tiupan angin dari Kanada.
Kabut tebal itu turut mengakibatkan langit kota metropolitan New York bertukar menjadi kekuningan dan memaksa jadual penerbangan, acara sukan penting dan sesi persekolahan ditangguhkan setelah Indeks Kualiti Udara (AQI) di kebanyakan kawasan diisytiharkan sebagai ‘kod merah’ serta ‘kod jingga’.
"Bau udara di sini seperti seseorang sedang membarbeku,” kata pelancong dari Thailand, Nicha Suaittiyanon, 30, yang mengalami mata gatal dan berair kerana pencemaran itu.
Bagi membantu usaha mengawal kebakaran itu, kira-kira 1,000 anggota bomba dari Australia, Mexico, New Zealand, Afrika Selatan dan AS dikerahkan ke Kanada.
"Jun biasanya bulan paling teruk. Kanada menyaksikan ais mencair lebih cepat pada musim bunga dan musim kebakaran bermula lebih awal.
"Tetapi, kejadian yang bermula agak awal tidak bermakna ia akan tamat lebih cepat,” jelas saintis di Pusat Kajian Iklim Woodwell di Massachusetts, Dr Brendan Rogers.
Sementara itu, saintis iklim di University of California Los Angeles, Dr Daniel Swain berkata, terdapat kaitan antara rekod kepanasan dan perubahan iklim.
"Pencemaran udara menyelubungi timur laut AS yang berpunca daripada asap kebakaran di Kanada adalah sangat jarang berlaku dan ‘agak ekstrem’. Dalam tempoh 20 atau 25 tahun lalu, satu-satunya peristiwa yang hampir sama pernah berlaku adalah pada tarikh 7 dan 8 Julai 2002.
"Gabungan sistem cuaca tekanan tinggi di tengah Ottawa dan tekanan rendah di pantai timur laut Washington telah membawa asap secara terus dari Quebec ke timur laut dan pertengahan Atlantik AS,” menurut saintis Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Ryan Stauffer.
Pencemaran teruk yang sedang melanda Amerika Utara dilihat sebagai salah satu contoh membimbangkan yang sering disebut aktivis pencinta alam tentang bagaimana krisis iklim berpotensi memberi impak besar kepada ekosistem.