HAMPIR 10 tahun kerajaan Malaysia melaksanakan polisi-polisi dengan klasifikasi B40, M40 dan T20. Klasifikasi pendapatan isi rumah rakyat ini diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia bagi memudahkan polisi... Klik di sini untuk terus membaca

HAMPIR 10 tahun kerajaan Malaysia melaksanakan polisi-polisi dengan klasifikasi B40, M40 dan T20.

Klasifikasi pendapatan isi rumah rakyat ini diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia bagi memudahkan polisi tersasar untuk memastikan bantuan dan percukaian dapat dilaksanakan secara jitu serta mengelakkan pembaziran sumber negara.

Definisi B40, M40 dan T20 adalah seperti berikut: B40 merujuk kepada mereka yang menerima jumlah pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM4,850 sebulan.

M40 pula merujuk kepada mereka yang menerima pendapatan isi rumah RM4,851 sehingga RM10,960 sebulan, manakala kumpulan T20 menjana pendapatan melebihi RM10,961 sebulan.

Sebelum ini, kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan tertentu secara terperinci. Contohnya, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) diberikan kepada golongan B40 tanpa mengira kaum.

Dalam golongan B40, terbahagi pula satu subkategori yang di bawah paras pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa iaitu kira-kira RM1,500 di bandar dan RM1,000 di luar bandar.

Golongan ini telah tersenarai dalam data program eKasih yang layak menerima bantuan lebihan daripada B40 yang lain termasuk makanan. Daripada kumpulan berkelayakan eKasih ini pula, tergolong sekumpulan lagi yang mengalami kemiskinan tegar.

Kerajaan zaman Najib bekerjasama dengan pihak swasta seperti kumpulan Dialog untuk mewujudkan program ‘My Kasih’ dengan memberikan baucar makanan kepada golongan paling susah melalui sistem cip kad pengenalan. Mereka yang berkelayakan dapat menuntut bantuan makanan di gudang jualan khas di seluruh Malaysia.

Sasaran terhadap M40 juga jelas sejak perkenalan klasifikasi ini. Polisi-polisi perumahan, skim pinjaman, subsidi perniagaan, polisi cukai pendapatan, pengecualian cukai SME dan sebagainya.

Kerajaan-kerajaan selepas Najib seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mewarisi dan meneruskan sistem polisi tersasar mengikuti klasifikasi yang diperkenalkan Najib.

Namun, Covid-19 telah mengubah landskap ekonomi sedunia. Kekayaan sesebuah negara terjejas keseluruhannya sejurus menurunkan purata jumlah pendapatan seluruh negara. Yang senang menjadi susah, yang susah menjadi lagi susah.

Kelihatan Kerajaan PH 1.0 dan PN banyak menjual aset-aset GLC dan memerah dividen daripada Petronas untuk mengharungi kesusahan ini. Rakyat juga terpaksa dibenarkan untuk mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk perbelanjaan harian sewaktu itu.

Kini, ekonomi sedang memulih dan kerajaan Anwar telah mengambil alih. Polisi-polisi utama perihal ekonomi banyak tersentuh tentang percukaian terhadap T20 dan subsidi tersasar yang tidak memihak kepada T20 dan M40.

Difahamkan, subsidi petrol akan dihadkan kepada golongan B40, subsidi tenaga elektrik untuk M40 juga akan dibatalkan, dan braket cukai pendapatan T20 telah pun ditingkatkan.

Golongan bawahan T20 sebenarnya bukan semuanya hidup senang. Bagi seisi keluarga dengan tujuh ahli keluarga yang menetap di Kuala Lumpur, pendapatan RM10,960 tidak menjamin kehidupan yang senang.

Kos kehidupan di bandar termasuk pendidikan, pengangkutan, makanan dan bayaran bil-bil. Kehidupan golongan ini lebih susah daripada M40 di luar bandar.

Faktor-faktor pertimbangan untuk membahagikan T20 adalah kawasan dan jumlah ahli keluarga. Sepertimana B40 boleh dibahagikan untuk bantuan sasar, T20 juga sepatutnya dibahagikan untuk mengekalkan subsidi sasaran dan cukaian lebih.

*Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik

Klik di sini untuk terus membaca