SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan anak bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Noh Omar disebut-sebut antara individu bakal bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Selangor, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Menurut sumber, Wan Saiful bakal bertanding bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal di bawah Parlimen Bangi yang kini disandang, Mazwan Johar dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Maklum sumber itu, tidak hairanlah jika Wan Saiful sering dilihat turun padang dan menghadiri pelbagai program termasuk mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jentera PN di Parlimen Bangi, sejak kebelakangan ini.
Malah katanya, Wan Saiful sendiri mengakui bahawa beliau kini diarahkan oleh pucuk pimpinan PN untuk memberi fokus kepada kawasan Parlimen Bangi dan Selangor.
Untuk rekod, Mazwan yang bertanding menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang kerusi DUN Sungai Ramal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas memperoleh majoriti 10,630 undi menewaskan calon Pas, Nushi Mahfodz (13,961 undi) dan Abdul Rahim Mohd Amin dari Barisan Nasional (9,272).
Sumber mendedahkan, pemilihan Nurul Syazwani dibuat berdasarkan pengalaman dan sumbangan dilakukannya terutama semasa memegang jawatan Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, selain pengaruh Noh dalam kalangan penduduk setempat.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai nama besar yang bakal bertanding atas tiket PN di Selangor dalam PRN nanti termasuk Noh sendiri, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan mantan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Namun sehingga kini, kesemua individu itu menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan ia hanya spekulasi sengaja direka pihak tertentu untuk menghangat bahang PRN enam negeri yang bakal diadakan seawal, akhir Julai nanti.
Klik di sini untuk terus membaca