SHAH ALAM - Selepas dikaitkan spekulasi bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, terkini Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan sedang mengintai peluang bertanding di kerusi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas dikaitkan spekulasi bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, terkini Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan sedang mengintai peluang bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kelak.

Sumber dalaman PN berkata, Mohamed Azmin Ali hampir pasti tidak akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandangnya sejak 15 tahun lalu susulan kekalahan beliau sewaktu mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut sumber terdekat bekas Menteri Kanan Ekonomi itu, terdapat perancangan awal untuk Mohamed Azmin diberikan kerusi DUN Morib yang sebelum ini diagihkan kepada Pas bersama kerusi DUN Sijangkang.

Bagaimanapun, sumber berkenaan memaklumkan kerusi DUN Hulu Kelang dilihat lebih sesuai ditandingi bekas Menteri Besar Selangor itu susulan beliau merupakan anak tempatan selain kerap turun padang bagi mendekati rakyat di DUN berkenaan.

"Ya, sebelum ini ada ura-ura Datuk Seri Azmin akan bertanding DUN Morib, namun kerusi itu dianggap tidak sesuai dengan beliau kerana berkedudukan jauh daripada Parlimen Gombak, selain jumlah peratusan pengundi bukan Melayu di sini yang agak tinggi.

"Memang ada kemungkinan besar Datuk Seri Azmin akan bertanding DUN Hulu Kelang kerana beliau memang orang asal situ selain kawasan itu lebih dekat dengan Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang pernah disandangnya.

Muhyiddin dijangka menamakan Mohamed Azmin sebagai calon menteri besar untuk PRN, selain senaraikan nama Mohd Radzi dan Abdul Rashid.
Muhyiddin dijangka menamakan Mohamed Azmin sebagai calon menteri besar untuk PRN, selain senaraikan nama Mohd Radzi dan Abdul Rashid.

"Saya juga difahamkan beliau sudah turun padang di DUN berkenaan. Namun segalanya terserah kepada keputusan pucuk pimpinan parti untuk mengesahkannya, saya pun tidak pasti," ujar sumber berkenaan kepada Sinar Premium.

Susulan kekalahan teruk pada PRU15, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dijangka bakal dipindahkan dari DUN Bukit Antarabangsa ke DUN 'selamat' untuk bertanding di PRN Selangor, dengan Hulu Kelang sebagai pilihan utama.

Kejayaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH) menawan Gombak dengan majoriti hampir 13,000 undi, memberi petanda jelas pengundi di situ menolak keputusan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu keluar PH dan menyertai Bersatu.

BELUM MUKTAMAD

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mengetepikan spekulasi kerusi DUN bakal ditandingi Mohamed Azmin dan menegaskan parti itu masih belum memuktamadkan sebarang keputusan agihan kerusi pilihan raya dengan rakan-rakan koalisi PN serta senarai nama calon-calon dalam PRN enam negeri.

Jelasnya, akar umbi Bersatu turut berharap agenda sistem satu pemimpin, satu kerusi pilihan raya diangkat parti itu pada PRN enam negeri akan datang bagi memastikan setiap pemimpin parti hanya dibenarkan menyandang salah satu daripada kerusi Parlimen atau DUN sahaja, bukan kedua-duanya.

"Soal Mohamed Azmin bakal bertanding kerusi mana belum ada kata putus kerana rundingan agihan kerusi pilihan raya dalam PN pun belum muktamad. Selepas itu baru kita akan bincang isu peletakan calon pilihan raya.

Razali
Razali

"Yang pasti kita masih mengharapkan sistem satu pemimpin, satu kerusi pilihan raya dipraktikkan Bersatu. Ini bermakna kalau pemimpin itu sudah menyandang kerusi Parlimen, tiada kerusi DUN akan diberikan kepada mereka.

"Ini kerana kita mahu lebih ramai pemimpin pelapis yang muda dan berpotensi dalam kalangan Armada dan Srikandi Bersatu diberi peluang mewakili parti pada masa hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari menegaskan pihaknya sudah mengemukakan senarai nama calon-calon daripada parti itu kepada pucuk kepimpinan parti di peringkat pusat untuk dipertimbangkan bertanding pada PRN negeri itu kelak.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada Mohamed Azmin akan bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang atau sebaliknya.

"Saya tiada komen untuk jelaskan siapa calon-calon Bersatu di peringkat negeri kerana ia masih dalam pertimbangan Bersatu Pusat," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca