DI SEBALIK kritikan keras terhadap DAP, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan rakan-rakan daripada parti berkenaan.
Namun, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu mengakui tidak boleh berkompromi atas perkara ideologi kerana sebagai orang Islam, politik adalah fardu kifayah dan perlu bertanggungjawab kepada amanah ALLAH SWT.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu turut meramalkan akan berlaku defisit sokongan kepada parti keramat Melayu berkenaan dengan sebahagian besar daripada 3 juta pengundi UMNO ketika ini akan beralih arah setelah kehilangan lebih 2 juta pengundi dalam tempoh 10 tahun.
Banyak lagi yang dikongsikannya termasuk kesediaan untuk bertanding di Ketereh, Kelantan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang jika diberikan kepercayaan oleh Pas.
Ikuti wawancara eksklusif bersama Annuar dengan wartawan Sinar Ahad, FARAH SHAZWANI ALI di pejabatnya, baru-baru ini.
SINAR AHAD: Apa perkembangan terkini Muafakat Nasional (MN) dan berapa keahlian sehingga kini?
ANNUAR: MN adalah sebuah NGO yang sangat baharu dan digerakkan selepas saya tidak lagi berada dalam UMNO. Ia ditubuhkan kerana saya percaya bahawa amat penting usaha dilakukan supaya parti-parti politik orang Melayu tidak lagi berpecah-belah. Apabila ia baru dibentuk, tentunya bukan mudah apa lagi saya tidak berada dalam kerajaan.
Kita tahu sesuatu badan itu memerlukan banyak pengaruh, sumber, kuasa dan sebagainya. Tapi Alhamdulillah, sehingga kini sudah berpuluh ribu mendaftar secara spontan apabila kita buka keahlian secara dalam talian dan belum buka keahlian secara manual.
Kita baru buat analisa dan dapati taburan keahlian datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta meliputi 222 Parlimen. Buat masa ini, tumpuan saya adalah menyusun struktur peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Itu yang memakan masa kerana kita terpaksa turun ke setiap negeri.
Jadi, kita kena teruskan usaha memantapkan struktur organisasi dan meneruskan beberapa lantikan bagi mereka yang bersetuju bergerak aktif.
Pada masa sama, masih ada kekeliruan yang perlu diberikan penjelasan, apa itu MN, tujuan, aktiviti dan sebagainya. Disebabkan itu, kita merancang untuk mengadakan konvensyen setelah struktur organisasi ini siap, kita akan himpunkan semua pemimpin utama dan memberikan penjelasan dan mendengar pandangan akar umbi bagaimana MN sebagai NGO dapat meneruskan peranannya.
SINAR AHAD: Melihat kepada pembentukan badan perhubungan negeri, Parlimen dan DUN, apakah MN akan kekal sebagai NGO atau mungkin menjadi sebuah parti politik?
ANNUAR: Pandangan saya secara peribadi, setakat ini saya fikir tidak harus MN menjadi sebuah parti politik. Kita membukanya sebagai NGO dan mesti berlaku adil kepada orang yang memohon.
Kalau nak jadi parti politik, mungkin ada yang tak suka sebab semasa mereka memohon masuk, MN adalah NGO tapi tiba-tiba menukar warna.
Kedua, ia bercanggah dengan prinsip MN sebagai NGO sendiri iaitu kita mesti mesra dengan semua parti. Ahli kita datang daripada pelbagai parti.
Mereka suka kekal dengan parti mereka tapi sokong pembawaan MN. Kalau kita daftar sebagai parti, ia makin membanyakkan parti-parti orang Melayu, itu bukanlah matlamat kita dan mengundang perpecahan.
MN harus bergerak ke arah memupuk prinsip-prinsip yang kita selalu sebut sebagai love, unity, respect. Penyatuan orang Melayu dan Islam tetapi mesti merangkumkan kaum dan bangsa lain. Nilai-nilai ini yang kita nak tanam.
Jadi, saya fikir MN akan kekal sebagai NGO dan ahli-ahlinya bebas untuk menjadi ahli parti politik pilihan mereka.
SINAR AHAD: Tan Sri telah menghantar borang permohonan kepada Pas. Mengapa memilih untuk bersama Pas dan tidak Bersatu?
ANNUAR: Jawapannya mudah sahaja, saya mendukung roh dan semangat Piagam MN. Asas penubuhan MN itu adalah penyatuan dan perpaduan orang Melayu dan parti-parti di negara ini yang mana ia hanya lengkap apabila ada UMNO dan Pas.
Sebab ia dua parti terbesar sebelum ini dan mendapat dukungan orang Melayu. Saya mewakili UMNO ketika itu dan terlibat dalam menulis piagam dan sebagainya. Jadi, kita mendambakan UMNO dan Pas berhenti daripada sengketa kerana ia banyak memberikan kerugian kepada rakyat.
Rakyat juga telah menunjukkan apabila UMNO dan Pas bersama, mereka memberikan dukungan yang kuat dengan menang sembilan pilihan raya kecil (PRK) sewaktu kita tidak berada dalam kerajaan. Ia isyarat yang jelas yang mereka suka kepada kita.
Bila tak ada parti, saya fikir mana yang sama jiwa dengan perjuangan saya. Saya suka UMNO tapi mereka buang saya. Ke mana saya nak letakkan tenaga saya, pengalaman dan apa yang ada pada saya? Saya tengok hanya Pas pilihannya.
Saya tak jumpa Tok Guru Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) tapi berhubung dengan Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dan beritahu keputusan untuk memohon jadi ahli Pas.
Saya bukan nak bermusuh dengan UMNO apa lagi menikam UMNO kerana keluarga saya semua ahli parti tapi saya tak ada platform. Saya tengok Pas konsisten nak meneruskan agenda penyatuan umat Melayu, kerjasama dan muafakat mempertahankan Islam secara konsisten. Jadi, ini lebih dekat dengan jiwa saya, saya pilih Pas.
SINAR AHAD: Dalam program Wacana Sinar Harian sebelum ini, Tan Sri menggambarkan keyakinan sedia menjadi calon PRN jika Pas menerima permohonan keahlian. Apakah Tan Sri bersedia dan yakin dengan penerimaan rakyat?
ANNUAR: Jangan kita tergila-gila nak menjadi calon. Kena renung baik-baik, adakah rakyat atau pengundi nak kita atau tidak? Kalau nak jadi calon kerana jawatan, pangkat dan gelaran, kita tak akan jadi seorang wakil rakyat yang baik dan tak akan ada penyokong setia di belakang.
Saya lapan kali jadi calon, tak pernah sekali pun saya melobi, hantar orang atau minta untuk jadi calon. Kita mesti berkhidmat dahulu, kemudian partilah yang akan menilai kesesuaian.
Bila saya jadi ahli UMNO, itu pegangannya dan begitu juga bila dalam Pas. Saya akan berkhidmat menjadi ahli Pas dan mengikut apa kemahuan dan kebolehan saya. Soal calon, terserah kepada Pas.
Kalau saya dipertimbangkan jadi calon, saya sedia tapi kalau mereka kata saya tak boleh jadi calon sebab saya baharu, saya tak apa.
Kalau ada orang yang lebih lama dan layak daripada saya, saya reda, tiada masalah. Bukan hasrat saya nak menjadi calon tapi kalau ditakdirkan parti beri mandat, saya akan fikir.
Kalau saya rasa tempat itu ada dukungan rakyat, saya sedia. Apa yang penting, saya kena nilai sama ada rakyat boleh terima atau tidak. Saya tak mahu jadi calon kemudian kalah sehingga 15,000 ke 20,000 undi. Mana nak letak maruah dan air muka?
Kita berdegar-degar main politik tapi rakyat di luar tolak kita. Kalau nak jadi calon, ada dua syarat iaitu pertamanya, parti mengizinkan dan kedua, kalau dinilai kawasan yang diberikan itu rakyat mahu saya, saya akan terima.
SINAR AHAD: Tan Sri sendiri selesa untuk bertanding di kawasan mana?
ANNUAR: Saya bukanlah nak jadi ahli politik di tempat menang. Ada sesetengah orang tukar daripada satu negeri ke negeri lain sehinggakan janji yang dibuat tak sempat nak dibuat. Itu dinamakan politik bermain untuk mencari kedudukan.
Tapi kalau diberikan pilihan, saya hanya berminat dan setakat yang saya dapat fikirkan adalah di kampung halaman saya. Sebab itu saya tidak berpindah dari Ketereh kerana konsep berkhidmat kepada rakyat ini, kita tahu tempat yang kita nak berkhidmat.
Kalau tempat yang kita sendiri tidak ada saudara mara, tidak kenal kampung, orang dan akar umbi, macam mana nak beri khidmat? Tapi kalau diberi peluang di kampung halaman sendiri, kita tahu dan kenal siapa yang susah, miskin, kampung mana yang perlu dibangunkan dan kita boleh berinteraksi sepanjang masa. Kalau tanya saya, saya akan kekal berkhidmat di Ketereh.
SINAR AHAD: Tan Sri ada menyatakan telah menjadi budaya dalam UMNO, siapa yang buka mulut akan dibuang parti. Sekarang sudah berada di luar parti, adakah Tan Sri akan terus bersuara, apatah lagi UMNO bekerjasama dengan DAP sekarang?
ANNUAR: Saya tiada masalah dengan UMNO tapi dibuang kerana cuba menyelamatkan parti dan berbeza pendapat. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi nak selamatkan UMNO dengan cara dia tapi terbukti gagal. Saya masih berpegang kepada kekuatan UMNO itu datang daripada keupayaan UMNO menyatupadukan orang Melayu. Kita mesti memimpin penyatuan.
Dalam PRU15, orang Melayu ‘solid’ memberikan sokongan kepada parti-parti Melayu melalui 74 kerusi Pas dan Bersatu serta 26 kerusi melalui UMNO dan BN. 23 kerusi lagi melalui PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu). Sudah ada 123 kerusi yang boleh membentuk kerajaan kalau Melayu dan bumiputera tidak berpecah.
Tapi akhirnya UMNO keluar daripada gabungan kerusi yang sudah ada itu atas apa jua sebab yang direka. Bila UMNO sudah keluar, gabungan ini sudah jadi tidak kuat menyebabkan Sarawak juga ikut kerana dia nak bersama dengan siapa yang membentuk kerajaan di peringkat Pusat. Jadi, hilangkah kekuatan gabungan politik Melayu dan bumiputera.
Akhirnya UMNO menjadi minoriti dalam kerajaan yang bukan bertunjangkan parti Melayu dan bumiputera. Di situ sahaja saya berbeza pendapat.
Saya tak ada masalah peribadi dengan kawan-kawan daripada DAP dan kebanyakannya adalah kawan saya. Kami berkomunikasi atas urusan biasa tapi atas perkara ideologi, kita kena berhati-hati sebab kita orang Islam.
Ada panduan dan kalau bercanggah dengan agama, tidak boleh. Orang Islam, politik adalah fardu kifayah, kena bertanggungjawab kepada ALLAH SWT.
SINAR AHAD: Bagaimana Tan Sri nak yakinkan rakyat Kelantan untuk menerima PN, sedangkan anak sendiri Afiq Amani yang juga Ketua Pemuda UMNO Ketereh belum berjaya dibawa masuk?
ANNUAR: Antara UMNO dan Pas, dasar perjuangannya tidak bertentangan. Anak saya diberikan kebebasan dan keluarga saya di cawangan Cabang Tiga Haji Musa kebanyakannya adalah ahli UMNO. Orang kuat saya di Ketereh pun, saya tak minta keluar kerana mahu mereka faham bahawa saya dibuang, bukan keluar parti.
Soal apa yang mereka nak sokong nanti, terserah. Anak saya nak duduk dalam UMNO, tak apa kerana dia dipilih oleh ahli. Kalau nak keluar, boleh bila-bila masa tapi saya tak suruh dan tak paksa. Bukan kerana saya masuk Pas, saya kena kempen semua untuk turut serta. Pas tak memerlukan ahli secara atas kertas, tapi berdasarkan kader. UMNO sahaja yang sibuk mengisi borang.
Saya bekas Setiausaha Agung UMNO, jadi tahu jumlah ahli 3.7 juta orang adalah palsu. Kita telah laporkan dalam Majlis Kerja Tertinggi, kemudian buat pemutihan sebahagian, ada sehingga 3.2 juta orang. Kalau nak buat pemutihan lagi, jumlah itu akan kurang jadi 3 juta orang.
Kalau berdasarkan ahli UMNO yang rasmi isi borang, kawasan terbesar adalah di Sabah iaitu Semporna dan Silam tapi kawasan ini kalah teruk dalam pilihan raya.
Di Semenanjung, kawasan terbesar adalah Gombak dan Kemaman tapi kedua-duanya kalah dalam pilihan raya. Apa maknanya? Ada ahli di atas kertas tapi tak mengundi UMNO.
SINAR AHAD: Sebagai bapa, apakah Tan Sri ada memberi nasihat kepada Afiq dan duduk berbincang tentang sepak terajang dalam UMNO?
ANNUAR: Afiq perlu membesar sebagai ahli politik kalau dia pilih untuk bermain politik. Saya cuma boleh beri padanya prinsip-prinsip. Saya pesan pada dia, dalam politik, pertama sekali kena berkhidmat dan jangan berebut jawatan.
Banyak orang Ketereh yang berjasa pada saya, penyokong saya dan sebagainya. Saya pesan, bantu mereka selagi boleh. Kedua adalah jangan ada jalan pintas, sentiasa tumpu dan kenal orang kampung walaupun mereka orang biasa.
Hormat orang kampung dan saya galakkan dia pergi ke masjid untuk kenal tok imam, tok guru. Kalau ada rezeki sedikit, bermurah hatilah dengan mereka, jangan tunggu peruntukan kerajaan serta biasakan dengan memberi khidmat.
Itu sahaja yang saya mampu nasihat dan yang lain, dia kena belajar sendiri. Saya tidak mungkin hidup selamanya, mungkin dua atau tiga tahun lagi, saya sudah tiada. Tapi dia kena teruskan sebab masih muda, kena ada pegangan dan belajar sendiri.
Paling penting, jangan jadi ahli politik yang korup, menipu dan sombong. Dalam politik, kena fitnah adalah perkara biasa. Afiq masih ada perjalanan yang panjang.
SINAR AHAD: Tan Sri ada mengatakan UMNO bakal ditolak rakyat pada PRN akan datang kerana bekerjasama dengan DAP. Sejauh mana Tan Sri yakin yang perkara ini pasti terjadi?
ANNUAR: Kita hanya mampu meramal berdasarkan pengalaman politik sendiri. Macam pilihan raya yang lepas, saya kata kalau kita berpecah dan pergi solo, UMNO akan kalah banyak kerusi. Tapi Zahid punya ramalan kata tak apa, UMNO hebat sebab menang PRN Melaka dan Johor. Dia yakin BN akan menang lebih 100 kerusi.
Saya ‘baca’ ikut pengalaman dan kata UMNO akan kalah teruk. Dia letak calon anak buah saya yang sebegitu di Ketereh, yang belum bersedia akan kalah. Saya beritahu kepada UMNO Kelantan, kalau pergi solo macam ni, Kelantan akan kalah termasuk Ketereh, akhirnya telahan saya betul.
Pada bacaan saya, ahli parti akan menyokong kerana UMNO mempertahankan apa yang terkandung dalam perlembagaan tanpa kompromi. Tapi bila UMNO dah tak mainkan peranan itu, orang Melayu akan lupakan UMNO.
Tengok pada sejarah PRU13, jumlah pengundi seramai 13 juta dan UMNO BN dapat undian 5 juta lebih. Pada PRU14, jumlah pengundi bertambah kepada 15 juta, tapi undi BN susut kepada 4 juta, maknanya lebih 1 juta lari daripada UMNO tapi tidak ambil iktibar.
Datang PRU15, UMNO buat silap lagi bila tak dengar suara rakyat. Pengundi bertambah kepada 21 juta tapi undi UMNO turun kepada 3 juta.
Dalam tempoh dua pilihan raya, 2 juta pengundi sudah tinggalkan UMNO. Siapa 3 juta pengundi yang tinggal? Mereka yang setia menyokong kerana UMNO mempertahankan prinsip menolak ideologi-ideologi songsang yang bercanggah dengan perjuangan parti.
Tiba-tiba bila menang, mereka lari daripada mandat itu dan beralih kepada DAP. Ramalan saya, 3 juta ini akan lari daripada UMNO. Pengundi baharu tak ada sebab untuk tambah, yang ada dalam kendong akan berciciran.
SINAR AHAD: Boleh Tan Sri komen sedikit tentang isu MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah? Perdana Menteri dakwa beliau sengaja buat kenyataan begitu kerana gelojoh kuasa nak menang PRN.
ANNUAR: Jangan sentimen dan emosi dalam menilai sesuatu. Saya mengikuti perkembangan, kena tengok mantik apa yang menteri besar sebut.
Beliau sebut dalam konteks sejarah negerinya, ia mantik orang politik dalam menyampaikan mesej. Saya fikir, beliau telah melakukan sesuatu dengan seni yang tersendiri tapi pucuk pimpinan negara terperangkap dalam isu itu.
Hak dia sebagai ketua kerajaan untuk menjaga sejarah, khazanah dan maruah negeri yang dia pimpin. Dia bukannya kata nak lancar satu ‘revoke’ untuk mengambil Pulau Pinang, diberitahu sejarahnya begitu.
SINAR AHAD: Apa jangkaan Tan Sri terhadap keputusan PRN nanti?
ANNUAR: Dalam al-Quran ada sebut janganlah kamu bertelagah dan berpecah. Jadi, kita kena fikirkan apa yang boleh memperbaiki dan tanggungjawab menjaga kepentingan agama dan bangsa ini, orang Melayu Islam kena fikirkan sendiri.
Kenapa terus nak berpecah sedangkan sebahagian undinya telah ada kepada PN ketika ini dengan 74 kerusi daripada 100 kerusi orang Melayu Islam. Bagi saya, dulu induknya UMNO tapi sekarang ini senarionya berubah. Induk dukungan Melayu daripada fakta yang ada adalah daripada PN.
Jadi kalau tanya saya, hendaklah umat Islam dan Melayu bersatu, tak payah fikir soal parti apa tapi beri dukungan kepada PN. Orang UMNO juga boleh ramai-ramai beri sokongan kepada PN supaya bila kita kuat, kita boleh selamatkan UMNO.
Kita bukannya nak musnahkan UMNO sebab parti itu sekarang ini tidak ada keupayaan untuk mengubah kepimpinan. Jadi, macam mana kita nak tolong UMNO secara jangka panjang?
Caranya adalah menyedarkan pemimpin bahawa mereka itu salah. Bila kalah dengan teruk, kita harap akan berlaku perubahan kepimpinan dalam UMNO.
Klik di sini untuk terus membaca