DALAM bahasa Melayu sekurang-kurangnya ada tiga peribahasa yang mengingatkan kita supaya berhati-hati apabila berkata-kata.
Pertama, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Kedua, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Ketiga, terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata-kata buruk padahnya.
Ketiga-tiga peribahasa itu mengajar kita supaya berhemah, beradab dan tidak keterlaluan, bukan sahaja sewaktu berbicara tetapi ketika bergurau, berlawak dan berjenaka yang sudah menjadi mainan hidup bagi kebanyakan kita. Tanpa gurauan dan lelucon, kehidupan kita gersang, kosong dan tidak bermaya.
Dalam kalangan pasangan suami isteri, sanak saudara, sahabat handai, jiran tetangga dan rakan taulan, bergurau serta berjenaka adakala menyerikan hidup mereka.
Malah, adakala lawak jenaka menjengahkan wajahnya pada majlis-majlis rasmi. Misalnya, ucapan serius yang diselang seli dengan jenaka dan gurauan, jika kena gaya penyampaiannya boleh membuat sesuatu majlis menjadi gegak gempita. Khalayak tidak akan kering gusi.
Tetapi dalam melawak, janganlah keterlaluan sehingga menghiris perasaan orang lain atau audiens berasa tersinggung sehingga mencetuskan kontroversi dan kemarahan. Bergurau, berjenaka dan berlawak ada adab serta batasnya.
Menyedari lawak jenaka mempunyai permintaan yang meningkat dari masa ke masa, maka muncullah pelawak profesional. Mereka menjadikan lelucon sebagai sumber pendapatan.
Mereka bukan sekadar muncul di kaca televisyen tetapi berjenaka di tempat-tempat hiburan yang khusus untuk menghiburkan pelanggan.
Perkembangan bidang lawak menjadi satu profesion sudah lama bermula di negara-negara Barat kerana budaya mempersendakan seseorang atau peristiwa yang berlaku seharian berada pada tahap tinggi.
Malah, lawak dan jenaka yang menyentuh isu-isu yang dianggap sensitif sudah diterima sebagai alah bisa tegal biasa oleh khalayak. Melalui jenaka dan lawak, mesej-mesej tertentu berupaya disampaikan kepada masyarakat dengan cara menyindir atau melucukan.
Hasilnya, di negara-negara tersebut lahirlah kelompok pelawak profesional yang menjadi kaya raya dan hidup mewah hasil lawak jenaka mereka.
Hal itu kerana mereka berupaya untuk menggeletik hati penonton tanpa menyinggung perasaan sesiapa.
Selain itu, nilai kebebasan bersuara tanpa had di Barat memberi perlindungan tambahan kepada pelawak untuk menyentuh apa sahaja isu tanpa memikirkan implikasi terhadap dirinya dan pihak lain.
Kebebasan bersuara itu seolah-olah memberi mereka lesen besar untuk menyindir, mempersenda, memperolok dan memperlekeh individu atau negara lain.
Kalau pernah, tentu dia tidak akan bermulut celopar sewaktu mengadakan persembahan jenaka di sebuah pusat hiburan di New York, Amerika Syarikat (AS) yang telah membangkitkan kemarahan rakyat negara ini.
Jenaka Jocelyn mengenai MH370 yang hilang sewaktu dalam perjalanan ke Beijing pada 2014 telah menggores hati rakyat negara ini termasuk kelompok pelawak tempatan itu sendiri.
Leluconnya itu mungkin telah membuat audiensnya ketawa berdekah-dekah tetapi ia tidak dapat diterima kerana menyinggung perasaan waris yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi tersebut.
Ia juga menghina syarikat penerbangan Malaysia yang katanya tidak boleh mendarat, selain meremehkan usaha Malaysia dalam pencarian pesawat tersebut. Lebih jelik, lawaknya menggambarkan betapa ketinggalan Malaysia dari segi pembangunan berbanding Singapura dengan mengatakan negaranya tiada internet.
Benar, keceluparan mulut Jocelyn mungkin tidak membinasakan dirinya tetapi boleh merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura.
Apatah lagi wanita kelahiran Singapura itu sudah pun melepaskan kerakyatannya kerana memilih menjadi warga negara AS.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca