SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia lebih peka dengan hak-hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Ia perkembangan yang baik kerana rakyat yang celik undang-undang... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia lebih peka dengan hak-hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Ia perkembangan yang baik kerana rakyat yang celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara, selain tidak mudah diperlekeh oleh orang yang ingin mengambil kesempatan.

Artikel kali ini membincangkan dari sudut perundangan berkaitan hak-hak tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan.

1. Hak dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada mereka warganegara Malaysia atau tidak, misalnya Perkara 5 memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada di dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, Perkara 11 (kebebasan beragama) serta Perkara 13 (hak terhadap harta).

2. Hak yang hanya diberikan kepada warganegara seperti hak bersuara dan berhimpun (Perkara 10) serta hak mendapatkan pelajaran (Perkara 12).

3. Hak dilindungi walaupun dalam darurat. Perkara 150 (6A) menegaskan terdapat enam hak tidak boleh digugat yang berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

4. Hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti hak mendapat ganti rugi sekiranya tanah diambil (Perkara 7) dan hak kepada orang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam (Perkara 13). Hak yang termasuk dalam kategori tersebut boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara sahaja.

Oleh itu walaupun hak tersebut tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ia bukanlah bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab-sebab tertentu yang digariskan oleh perlembagaan itu sendiri.

Perkara menarik perhatian penulis ialah kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat.

Secara tersiratnya, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang tersebut, berbanding undang-undang lain.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan undang-undang Islam lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaan.

Sudah sewajarnya jika terdapat pertelingkahan atau percanggahan, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Keabsahan undang-undang Islam yang sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir landskap perundangan negara.

Tafsiran secara tuntas bagi menghentikan keabnormalan fenomena yang mempertikaikan undang-undang Islam hendaklah dibuat dengan segera untuk menamatkan cabaran terhadap undang-undang Islam di Malaysia.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa. Itu bermakna Mahkamah Syariah masih beroperasi dan orang Islam boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam.

Dalam perspektif lain pula, kita terlalu banyak memperkatakan mengenai hak tetapi kita amat jarang bercakap tentang tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Kita terlalu mementingkan diri menuntut hak tanpa mahu membuat pengorbanan melaksanakan tanggungjawab.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca