PERHIMPUNAN Agung UMNO yang sering dilabelkan sebagai perhimpunan politik terbesar negara mungkin sudah tidak boleh menerima prestij itu lagi.
Selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO bukan sahaja gagal memimpin Barisan Nasional (BN) menjadi ikatan politik utama, malah telah merosot sebagai parti yang sekadar berada di nombor lima atau enam dari segi kekuatan ahli Parlimen.
Dalam ucapan perasmian sayap-sayap UMNO (Wanita, Pemuda dan Puteri), Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mengingatkan perwakilan bahawa UMNO telah teruk - semua kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka.
Beliau turut menggesa ahli UMNO agar sedar bahawa parti itu telah tewas dengan dahsyat dan jangan mendabik dada seolah-olah UMNO masih parti keramat serta tersangat kukuh.
"Kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian daripada kerajaan. Dengan kehendak ALLAH, UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan,” kata beliau.
Namun, arus perubahan tidak mudah diterima akar umbi UMNO. Bukan sahaja akar umbi berbelah bahagi, pemimpin sayap juga tidak sekata.
Ucapan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berbeza dengan ucapan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Ketika dua sayap parti menjadi benteng jajaran politik baharu UMNO, Akmal dan Pemuda memilih jalan berbeza. Pemuda UMNO dengan lantang mendesak DAP memohon maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO.
Saranan Akmal pantas ditolak oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan isu permohonan maaf itu tidak sepatutnya berbangkit lagi kerana DAP telah bersetuju tidak mengulangi tuduhan-tuduhan dahulu.
Keberanian Ahmad Zahid bercakap sedemikian ketika pentas perhimpunan UMNO menunjukkan iktikad dan iltizam untuk mengukuhkan kerjasama PH-BN sehingga akhir hayat.
Keakraban DAP dan UMNO penting bagi mengukuhkan kerjasama politik itu. DAP ialah parti terbesar dalam PH, sementara UMNO parti terbesar dalam BN.
Bagi memastikan kerjasama tersebut kekal berpanjangan melebihi 10 hingga 15 tahun seperti janji oleh Ahmad Zahid semasa kempen pilihan raya Padang Serai, Kedah beberapa bulan lalu, maka DAP dan UMNO harus ada titik pertemuan serta perkongsian.
Akar umbi UMNO harus menerima hakikat bahawa Kerajaan Madani bukan seperti kabinet perang United Kingdom (1941-1945) di bawah Perdana Menteri, Sir Winston Churchill. Ketika itu, parti Konservatif dan Buruh telah menubuhkan kabinet perang tanpa komitmen politik.
Buruh kemudiannya meninggalkan kabinet selepas perang dunia kedua berakhir dan bertanding pada pilihan raya umum menentang Churchill serta Konservatif.
Kerjasama politik PH dan BN, antara UMNO dan DAP adalah satu realiti baharu yang perlu dihadam serta terima oleh ahli dan penyokong UMNO jika mereka masih mahu bersama parti.
Mahu tidak mahu, ahli dan pemimpin UMNO harus menerima hakikat bahawa parti mereka kini sebahagian kerjasama besar, bukan sahaja dalam pembentukan kerajaan, malah pada pilihan raya akan datang.
Cakap, kenyataan dan perjuangan harus senada serta seirama agar pengundi yakin memberi sokongan pada Pilihan Raya Negeri enam negeri kelak.
Bagi yang tidak bersetuju dengan UMNO hari ini, ingatlah politik bukan mengenai nostalgia dan sejarah, apatah lagi tahyul serta khurafat keramat.
Politik adalah mengenai pembentukan negara bangsa yang tidak dinafikan di dalamnya ada nilai sejarah dan nostalgia, namun harus lebih mengutamakan realiti hari ini serta masa depan.
Jalan lurus UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid sudah jelas. Sekurang-kurangnya beliau ada jalan lurus. Buat ahli dan penyokong UMNO, anda harus mencari jalan lurus anda sendiri.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca