SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta pelanggan agar lebih berwaspada dengan perniagaan atau restoran berlabel ‘pork free’ yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Ketua Penolong Pengarah Kanan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta pelanggan agar lebih berwaspada dengan perniagaan atau restoran berlabel ‘pork free’ yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Mohd Fakarudin Mas’od berkata, bebas alkohol atau khinzir tidak membuktikan produk mereka selamat untuk dijamah orang Islam selagi tidak mempunyai logo halal daripada Jakim.

"Banyak restoran di pusat beli-belah menggunakan istilah ‘pork free’ apabila tidak mempunyai logo halal. Lebih membimbangkan, mereka akan meletakkan pekerja Muslim di depan kaunter bagi mengaburi mata orang ramai. Perkara ini akan mengelirukan pelanggan.

"Biarpun tidak menjual daging khinzir atau minuman keras, bahan mentah digunakan masih diragui terutamanya apabila mereka menggunakan bahan pengawet atau serbuk daripada daging tidak disembelih.

"Tanpa sijil atau pengiktirafan halal daripada Jakim, siapa yang boleh mengesahkan bahan-bahan yang digunakan menepati ciri halal yang boleh dimakan oleh semua? Oleh itu, pihak peniaga perlu bertanggungjawab apabila mereka mendakwa perniagaan mereka sebagai ‘pork free’,” katanya kepada Sinar Premium.

Mohd Fakarudin juga menyeru para peniaga untuk memiliki sijil halal Jakim yang akan menjadi satu nilai tambah kepada produk mereka di samping peniaga tidak perlu risau lagi akan keraguan pelanggan.

Mohd Fakarudin

"Apabila mereka mempunyai cap halal, ia akan menjadi satu nilai tambah bahawa perniagaan mereka diiktiraf dan dakwaan bahawa produk yang dijual itu bersih dan halal adalah benar.

"Halal bukan sekadar satu sistem tetapi ia melibatkan keseluruhan proses daripada sekecil-kecil ramuan, cara penyediaan makanan, persekitaran dapur dan pekerja haruslah sentiasa bersih dan terjaga. Bagi sesiapa yang menyalahgunakan sijil halal pula akan dikenakan denda RM500,000 sehingga RM1 juta serta penjara.

"Selepas mendapat sijil halal, syarikat besar bakal melantik seorang eksekutif halal yang akan menjaga hal ehwal halal di restoran. Ini menunjukkan kesungguhan kami untuk menjaga kualiti halal biarpun sudah mendapat sijil,” katanya baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai lebih 20,000 produk milikan bukan bumiputera yang mempunyai status halal daripada Jakim berbanding produk bumiputera, Mohd Fakarudin berpendapat perkara tersebut perlu dilihat secara holistik.

"Mungkin perniagaan Muslim secara keseluruhannya lebih sedikit berbanding bukan Muslim dan kebanyakan perniagaan mereka lebih kepada servis yang tidak memerlukan pensijilan halal.

"Pensijilan halal berbalik kepada konsep. Ia tidak wajib dan lebih kepada sukarela.

"Namun sekiranya terdapat keperluan, mereka harus mengikut keperluan tersebut,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca