PELBAGAI pandangan telah diutarakan berkenaan pelaksanaan subsidi sedia ada dan bagaimana untuk memastikan subsidi ini benar-benar membantu mereka yang memerlukan. Pada ketika ini subsidi bukan sahaja dinikmati oleh rakyat Malaysia bahkan... Klik di sini untuk terus membaca

PELBAGAI pandangan telah diutarakan berkenaan pelaksanaan subsidi sedia ada dan bagaimana untuk memastikan subsidi ini benar-benar membantu mereka yang memerlukan. Pada ketika ini subsidi bukan sahaja dinikmati oleh rakyat Malaysia bahkan ianya turut dinikmati oleh warga asing yang membeli barangan yang disubsidi.

Terdapat keperluan untuk mengenal pasti mekanisme yang bertepatan untuk memastikan subsidi ini hanya dinikmati rakyat Malaysia sahaja berdasarkan kepada penetapan klasifikasi baharu pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

Pada ketika ini, berdasarkan pengelasan isi rumah pada tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,850 sebulan dikategorikan sebagai B40, isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,851 hingga RM10,970, manakala kumpulan isi rumah yang berpendapatan melebihi RM10,971 dikategorikan sebagai T20. T20 dibahagikan kepada dua iaitu T1- RM10,971 hingga RM15,040 dan T2- RM15,041 dan ke atas.

Namun penulis berpandangan pengelasan isi rumah ini dilihat tidak bertepatan dengan keadaan dan situasi semasa dengan mengambil kira kenaikan harga barangan dan kenaikan kos sara hidup. Bahkan, kenaikan gaji yang diterima oleh sebahagian pekerja juga tidak seimbang dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Selain itu, sebelum pelaksanaan subsidi bersasar dilaksanakan, amat penting untuk disemak semula pengkelasan pendapatan isi rumah dengan bersandarkan kepada penetapan klasifikasi baharu pendapatan boleh belanja bersih isi rumah berbanding klasifikasi digunakan pada ketika ini.

Peralihan kepada penetapan klasifikasi baharu berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah adalah sesuatu yang wajar dilaksanakan.

Peralihan subsidi perlu mengambil kira klasifikasi baharu termasuk mengambil kira bilangan tanggungan yang masih kecil, sedang belajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi.

Selepas daripada penetapan klasifikasi baharu ini, maka dicadangkan peralihan subsidi dilaksanakan melalui kaedah e-tunai yang dikreditkan ke dalam kad pengenalan dengan nilaian yang bersesuaian mengikut pendapatan boleh belanja bersih isi rumah setiap bulan atau mengkreditkan nilaian bersesuaian berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah sebulan dalam e-dompet dan hanya digunakan untuk membeli barangan keperluan harian, bil elektrik dan air, termasuk juga yang melibatkan barangan yang disubsidi pada ketika ini.

Sebagai contoh, nilaian yang dikreditkan di dalam e-tunai atau e-dompet jika dibandingkan dengan nilaian tunai yang dikreditkan ke bank penerima adalah berbeza. Penggunaan melalui e-dompet akan membolehkan penerima memperoleh ganjaran yang boleh ditebus dengan nilaian tunai yang akan dikreditkan di dalam e-dompet.

Sebelum ini, pada tahun 2021, kerajaan telah melaksanakan Projek Perintis iaitu Program Prihatin Kasih melibatkan pembayaran sebanyak RM100 sebulan secara tanpa tunai selama tiga bulan kepada 300,000 isi rumah miskin di seluruh negara, melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Program PRIHATIN Kasih ini telah melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit. Bantuan ini telah digunakan oleh penerima untuk membeli barangan asas di kedai terpilih yang berdekatan. Jika terdapat baki, bayaran bulanan tersebut akan dibawa ke bulan berikutnya dan boleh digunakan sehingga akhir tahun.

Oleh yang demikian, kaedah bantuan seumpama ini perlu diteruskan secara bulanan dan dikreditkan melalui e-tunai atau e-dompet serta dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira bantuan tunai yang masih diperlukan oleh sebahagian rakyat Malaysia. Namun peralihan subsidi ini hanya boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan selepas penetapan klasifikasi baharu pendapatan boleh belanja bersih isi rumah diperkenalkan oleh kerajaan.

Akhirnya, ianya bukan sahaja dapat membantu sebahagian rakyat Malaysia menikmati peralihan subsidi bahkan sebenarnya ia juga akan mengurangkan ketirisan barangan bersubsidi yang turut sama dinikmati oleh sebahagian besar warga asing.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca