TIADA siapa menyangka pasangan ejen perisik ini mampu 'mengubah haluan sejarah' kerana menggagalkan plot Nazi dan menyelamatkan nyawa tiga pemimpin sekutu penting di tengah-tengah Perang Dunia Kedua pada 1943.
Goar dan Gevork Vartanian berjaya membongkar Operation Long Jump yang dirancang pengikut pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler untuk membunuh atau menculik Presiden ke-32 Amerika Syarikat (AS), Franklin D Roosevelt, Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan rakan sejawatannya dari Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR), Joseph Stalin ketika persidangan strategi peperangan di Teheran.
Nama duo legenda ini mungkin kurang dikenali komuniti antarabangsa, namun wanita dengan kod nama Anita bersama suaminya merupakan pasangan pengintip Rusia yang paling terkenal dan diangkat sebagai spymaster serta memberi sumbangan yang besar kepada dunia pengintipan Kesatuan Soviet.
Menerusi wawancara bersama rancangan kabel Amerika, Spotlight, Gevork atau dikenali dengan kod nama Anri pernah mendedahkan beliau tidak pasti jika ketiga-tiga pemimpin berpengaruh pada era tersebut menyedari tentang ancaman tersebut.
"Pada mulanya, Nazi seolah-olah yakin rancangan itu akan berjaya. Ketika itu, kumpulan perisik kami terdiri daripada tujuh ejen berusia antara 17 dan 18 tahun. Suspek akhirnya berjaya ditangkap sebelum persidangan itu bermula hasil daripada maklumat risikan yang diperoleh," katanya.
Perkhidmatan Risikan Asing Rusia (SVR) memaklumkan pasangan perisik hebat itu pernah terlibat dalam aktiviti risikan secara aktif di bawah situasi yang 'ekstrem' di banyak negara.
"Tanpa pasangan itu, sejarah dunia mungkin berbeza. Sumbangan mereka amat besar kepada komuniti antarabangsa," ujar jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Kisah kejayaan mereka memberi inspirasi untuk pembikinan filem berjudul Teheran 43 menampilkan aktor Perancis, Alain Delon yang diterbitkan pada 1980-an selain cerita itu turut dibukukan.
Sehingga kini, masih banyak 'rahsia' tentang mereka berhubung operasi penyamaran dan kesan kepada keselamatan negara terlibat yang tidak didedahkan.
Hasil risikan pasangan itu di Eropah, Asia dan AS kekal menjadi 'maklumat sulit' walaupun selepas kematian mereka.
EJEN MUDA
Goar Vartanian dilahirkan di Gyumri (Armenia) pada Januari 1926 dan berpindah ke Parsi (Iran) pada 1930-an manakala suaminya, Gevork dilahirkan pada Februari 1924 di sebuah bandar berhampiran selatan USSR.
Ketika berusia 16 tahun, beliau menyertai kumpulan anti-fasis dipimpin Gevork yang ketika itu sudah bergelar perisik dan berjaya membongkar ratusan ejen Nazi yang beroperasi di negara tersebut.
Pada 1946, pasangan itu kemudiannya mendirikan rumah tangga dan dikatakan pernah 'berkahwin' beberapa kali ketika melakukan tugas penyamaran di beberapa lokasi berbeza.
Pada 1951, mereka berpindah ke Kesatuan Soviet dan 'bekerjasama' sebagai perisik pada 1956 hingga 1986.
Selepas bersara, Goar tetap meneruskan khidmatnya sebagai pelatih ejen rahsia baharu dan tidak pernah lelah walaupun sudah bergelumang dalam dunia pengintipan selama tiga dekad.
Pada tahun 2000, identiti pasangan itu didedahkan kepada umum dan jasa besar mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa mendapat penghargaan di Moscow.
"Saya banyak membantu suami saya dan terlibat operasi rahsia. Kami berkongsi suka duka bersama," kata wanita itu ketika wawancara bersama agensi berita RIA Novosti pada 2015.
Gevork yang dikurniakan gelaran penghormatan tertinggi Rusia, Hero Kesatuan Soviet meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 2012 manakala isterinya menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun pada 2019.
MITOS KGB?
Ketika kehebatan mereka dipuji banyak pihak, ahli sejarah pengintipan berpusat di London, Alexander Vassiliyev menjadi antara individu yang mendakwa kemasyhuran Vartanian adalah rekaan fiksyen agensi keselamatan dan risikan KGB.
"Ia adalah mitos KGB yang sengaja dicanang selepas perang tamat. Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan rancangan pembunuhan Nazi di bawah Operation Long Jump benar-benar wujud seperti didakwa mereka," katanya.
Menurutnya, ramai ahli sejarah percaya Stalin hanya menyebarkan khabar angin tentang operasi Teheran itu untuk menjadi lebih rapat dengan Roosevelt dan mengurangkan pengaruh Churchill.
Tetapi, pada 2007, Celia Sandys yang merupakan cucu Churchill pernah bertemu Gevork di Moscow dan mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan nyawa datuknya.
Sejak beberapa tahun lalu, imej agensi risikan Rusia semakin buruk di mata dunia, lebih-lebih lagi selepas ia didakwa campur tangan dalam hal dalaman dan politik di beberapa negara.
Sebagai langkah berjaga-jaga, terdapat negara yang mengambil tindakan drastik mengusir 'ejen' yang disyaki terlibat aktiviti pengintipan walaupun Moscow sering menafikan tuduhan itu.
Pada 2011, Gevork juga pernah menyelar sikap segelintir ejen yang 'gila glamor' hingga menyebabkan identiti mereka terbongkar.
"Perbuatan mereka adalah sangat tidak profesional dan tidak sepatutnya dilakukan individu yang terlibat program pengintipan," tegasnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca