PADA 1 Jun lalu, secara rasminya bermulalah musim panas di United Kingdom (UK), yang bakal berakhir 31 Ogos. Siang jadi begitu panjang dengan hampir 17 jam langit diterangi mentari. Setelah sembilan bulan terkurung dalam kegelapan dan kesejukan, kedatangan musim ini dirai meriah.
Seperti biasa, dengan suhu purata 20 hingga 22 darjah Celsius, warga UK kelihatan berpusu-pusu keluar menadah sinar suria. Katanya ia rutin penting bagi penduduk UK untuk menambah bekalan vitamin D demi kesihatan tubuh.
Taman-taman di segala pelusuk negara dikunjungi ramai. Ada juga yang memilih keluar ke bandar seperti Oxford Street, Leicester Square, Covent Garden dan Piccadiliy Circus sambil bergaya dengan busana yang lebih ceria.
Tapi dengan pengalaman tahun lalu, musim panas tahun ini menakutkan juga. Menjelang pertengahan Julai sehingga Ogos 2022, musim panas di UK bertukar mimpi ngeri. Diburukkan dengan jumlah hujan yang 20 peratus kurang dari tahun-tahun sebelumnya, UK menjadi kering luar biasa.
Tak siapa sangka, pada 19 dan 20 Julai 2022, suhu tertinggi 40.3 darjah Celsius telah dicatatkan, memecah rekod suhu UK sejak 1884. Lebih mengejutkan, dalam dua hari tersebut, purata kematian melambung naik, 1,134 orang lebih tinggi dari purata kematian harian di UK. Mangsa utamanya adalah golongan tua yang lebih mudah terkesan dengan gelombang haba.
Kerajaan UK terpaksa mengumumkan amaran panas melampau tahap 4 apabila gelombang haba bukan sekadar merisikokan golongan tua. Kematian mengejut mula berlaku di kalangan orang yang sihat. Robert Koch Institute melaporkan tahun lalu sahaja, jumlah kematian akibat gelombang haba di seluruh Eropah mencecah 4,500 orang.
Selain kematian, sungai juga kering dan menjejaskan bekalan sumber air untuk kegunaan domestik, komersil dan industri. Hasil tanaman di kebanyakan negara pengeluar Eropah terjejas teruk.
Kesatuan Peladang Condretti dari Itali misalnya melaporkan 45 peratus penurunan pengeluaran jagung, 30 peratus gandum dan beras. Pengeluaran buah-buahan dan produk tenusu pula turun 20 peratus daripada biasa. Beberapa ladang gandum di Perancis juga dilaporkan 100 peratus terjejas akibat kemarau lalu.
Akibatnya, seluruh rantaian bekalan makanan di benua Eropah mula lumpuh, menyumbang kepada krisis bekalan makanan yang masih berlaku hari ini. Rak makanan segar di pasar raya mulai kosong. Harga makanan pula melambung naik mencecah 70 peratus kerana inflasi. Terminologi heatflation yang merujuk kepada inflasi berpunca dari cuaca panas juga kembali disebut.
Data sains sering dikait dengan cuaca ekstrem sama ada kemarau atau banjir dengan perubahan iklim susulan peningkatan suhu bumi. Pelepasan gas rumah kaca (GHG) berlipat ganda sejak bermulanya revolusi industri di awal kurun ke-19 pula dikatakan puncanya.
Kerana itu, dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan saban tahun, ketua-ketua negara berjanji untuk bersama menangani menangani perubahan iklim.
Ironinya, tanpa persediaan yang cukup, rakyat akan terus menderita dalam ketidaktentuan cuaca dan terpaksa menanggung kerugian akibat pelbagai kemusnahan terutama semasa bencana. Kesan jangka masa panjang seperti ketandusan sumber air, kekurangan bekalan makanan dan peningkatan kadar inflasi lebih memburukkan keadaan.
Malangnya kerajaan hatta di negara maju seperti UK sepertinya tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyatnya menghadapi impak ketidaktentuan cuaca. Mereka memilih sekadar menuding jari kepada perubahan iklim. Setahun sudah musim panas penuh derita berlalu, rak makanan di pasar raya masih terus kosong dan kos sara hidup terus mencanak naik.
Malah rakyat pula dipaksa membayar caj elektrik dan gas yang jauh lebih tinggi demi mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG. Anehnya, saat rakyat berhempas-pulas dengan harga tenaga yang begitu mahal, syarikat minyak dan gas membuat untung terbesar dalam sejarah mereka. Rakyat terus putih mata.
Tahun 2023 menyaksikan Malaysia juga sedang menempuh musim panas yang lebih tinggi suhunya, kering dan lama daripada biasa. Kita tidak pasti bagaimana kesan jangka masa panjangnya. Elok juga kalau kita belajar sesuatu daripada pengalaman di UK ini. Yang buruk jadikan sempadan, yang baik jadikan panduan.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca