SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan watak utama yang harus dipersalahkan berhubung kekalahan UMNO semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. Sebaliknya, Penganalisis Politik daripada Universiti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan watak utama yang harus dipersalahkan berhubung kekalahan UMNO semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Sebaliknya, Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohamed Tawfik Yaakub berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang perlu dipertanggungjawabkan kerana ketika itu beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung parti.

"Sebagai Setiausaha Agung UMNO, beliau (Ahmad) memiliki peranan yang tinggi kerana terlibat sebagai penasihat kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengemukakan data dan menjadi wadah pemikir (think tank) kepada parti.

"Meskipun Ismail Sabri menyandang jawatan tertinggi dalam kerajaan, beliau hakikatnya tidak mempunyai pengaruh besar dalam parti utama bangsa Melayu tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad meluahkan pandangan bahawa UMNO mungkin tidak seteruk sekarang sekiranya ‘pihak Putrajaya’ patuh kepada parti supaya PRU15 diadakan tidak lama selepas pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Kata-kata tersebut dipercayai merujuk kepada sekumpulan pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan ketika itu diketuai Ismail Sabri.Beliau melontarkan pandangan berkenaan sebagai respons kepada bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang meletakkan kesalahan kepada Ahmad berhubung kekalahan pada PRU15.

Kenyataan Ahmad itu kemudian dibidas Ismail Sabri dengan menyatakan bahawa tiada laporan komprehensif yang menunjukkan keupayaan UMNO untuk berdepan lawan ketika itu.

Jelasnya, laporan pelbagai agensi ketika itu jelas menunjukkan BN masih tidak mampu untuk menang sekiranya PRU dijalankan.

Mengulas lanjut, Mohamed Tawfik berkata, sudah tiba masanya pimpinan tertinggi UMNO dirombak dengan menampilkan muka baharu yang lebih segar.

"Jika tidak, ia akan memberi implikasi besar kepada parti tersebut dalam menghadapi PRN,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca