JIKA dahulu, tapir Malaya atau nama saintifiknya tapirus indicus berdepan dengan ancaman kehilangan habitat dan masalah guna tanah akibat pembukaan hutan.
Bagaimanapun kini, haiwan berkenaan yang juga dikenali sebagai tenuk, cipan, 'badak Tampung','badak Tuli' dan 'badak Murai' menjadi mangsa kerakusan pemburu-pemburu untuk dijadikan hidangan makanan eksotik.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, populasi tapir Malaya dianggarkan berjumlah 700 hingga 800 ekor berdasarkan hasil cerapan data survei, aduan konflik hidupan liar dan data perangkap kamera Program National Tiger Survey (NTS) pada tahun 2020.
Menurut beliau, fragmentasi hutan menyebabkan populasi tapir Malaya terkepung yang akhirnya berlaku kemerosotan sistem genetik dalam jangka panjang serta menurunkan kadar pembiakannya secara semula jadi.
"Kemalangan di jalan raya atau roadkill juga menyumbang kepada pengurangan populasi tapir Malaya selain sering menjadi mangsa jerat pemburu haram.
"Haiwan ini banyak yang mati akibat jerat. Ada juga kamera perangkap yang dipasang di hutan merekodkan terdapat tapir yang hanya mempunyai tiga kaki (cacat) selepas terkena jerat.
"Cuma kebelakangan ini, sejak lima hingga enam tahun lepas, kita dapati terdapat orang yang memakan daging tapir. Ini susulan pemeriksaan pada tahun 2016 ke atas sebuah kedai makan eksotik.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan hidung tapir selain kaki beruang serta daging babi hutan yang dipercayai akan dihidangkan untuk masakan,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.
Abdul Kadir berkata, Jabatan Perhilitan juga percaya terdapat premis makanan lain juga terlibat menghidangkan menu sedemikian.
"Ini kerana apabila terdapat sebuah kedai menjualnya, mungkin ada kedai lain turut menjual sama," ujarnya.
Jelas beliau, pada tahun 2020, pihaknya menahan tiga individu yang terlibat jenayah pemburuan haram di sekitar Pahang dan pemeriksaan menemui daging tapir.
Individu berkenaan adalah sindiket yang dikehendaki oleh Perhilitan kerana terlibat dalam beberapa kes pemburuan haram di Pahang.
"Ahli sindiket ini berjaya diberkas dan pendakwaan dijalankan di Mahkamah Sesyen Temerloh bagi kesalahan memiliki bahagian atau daging tapir Malaya yang merupakan spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716,” katanya.
Mengulas mengenai kegiatan pemburuan tapir untuk kegunaan perubatan, Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengenai perkara itu.
"Ada kes yang berlaku sebelum ini, seekor tapir yang mati akibat roadkill telah dilapah di bahagian badan dalam kuantiti yang kecil. Kemungkinan ia digunakan untuk tujuan perubatan,” jelasnya.
SASARAN PEMBURU
Menurut beliau lagi, spesies tapir Malaya merupakan satu-satunya mamalia yang memiliki versi warna belang hitam dan putih apabila dewasa.
"Memiliki ciri unik ini, ia dilihat sebagai hidupan liar yang berpotensi untuk diburu kelak.
"Tapir Malaya tergolong dalam kategori hidupan liar yang diancam kepupusan akibat penurunan jumlah populasi dan kadar kematian yang tinggi akibat pelbagai faktor dalaman dan luaran. Antaranya makanan tidak mencukupi, gangguan dalam hutan dan pembangunan,” katanya.
Beliau memberitahu, secara lazimnya pemburu dan sindiket menyasarkan hidupan liar bernilai tinggi seperti harimau, beruang, rusa, kijang dan sebagainya.
"Namun, tapir Malaya yang dianggarkan bernilai RM25,000 seekor (bergantung usia) juga menjadi mangsa jerat pemburu haram,” ujarnya.
Beliau berkata, tapir Malaya menjangkau hayat sehingga 30 tahun selain tempoh bunting selama 390 hingga 400 hari.
"Terdapat empat spesies tapir di dunia iaitu Mountain Tapir (tapirus pinchaque), Lowland Tapir (tapirus terrestis), Baird’s Tapir (tapirus bairdii) serta tapir Malaya.
"Tapir Malaya ialah spesies tapir terbesar di dunia dan beratnya boleh mencapai 300 kilogram,” katanya.
Dedah Abdul Kadir, dari tahun 2011 hingga 2021, Perhilitan telah membuka empat kertas siasatan melibatkan kes jenayah pemburuan atau pemilikan haram bagi spesies tapir Malaya.
Beliau berkata, ia melibatkan penahanan enam individu tempatan dan antara kesalahan yang direkodkan ialah menyimpan bahagian atau daging tapir Malaya, penyeludupan dan juga perbuatan kezaliman atau provokasi terhadap haiwan itu.
"Bagi tiga kes jenayah hidupan liar yang melibatkan tapir Malaya dari tahun 2017 hingga 2019, siasatan mendapati jenayah itu membabitkan penglibatan individu,” jelasnya.
Tambah beliau, aspek pemuliharaan habitat tapir Malaya diberi tumpuan dengan mewujudkan kawasan perlindungan dan rangkaian koridor ekologi, antaranya program konservasi In-Situ dan Ex-situ, selain membangunkan Pelan Konservasi Tapir Malaya 2020-2030 (MaTCAP) bagi meningkatkan pengurusan Tapir Malaya di negara ini.
Jelas Abdul Kadir, In-Situ meliputi pemantauan taburan tapir Malaya di habitat asal dan operasi menyelamat manakala Ex-Situ pula melibatkan aktiviti pembiakan haiwan berkenaan dalam kurungan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor.
"Selain itu, program kerjasama dengan pelbagai agensi dalam dan luar negara bagi penyelidikan dalam bidang ekologi, kelakuan, nutrisi, pembiakan dan genetik turut diberi perhatian.
"Program penguatkuasaan pelaksanaan Biodiversity Protection & Patrolling Programme (BP3) melalui dua program utama iaitu Operasi Bersepadu Khazanah dan Program Renjer Komuniti,” katanya.
Tegas beliau, Rang Undang-Undang pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) telah diluluskan pada 10 Februari 2022 melibatkan penyelarasan dengan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan peningkatan penalti bagi kesalahan dengan denda maksimum sehingga RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun.
"Pindaan akta baharu dan pelbagai kejayaan operasi akan memberi impak dan mesej yang jelas kepada semua pihak bahawa kerajaan Malaysia amat tegas dan komited dalam melindungi khazanah dan hidupan liar negara ini.
"Ini satu amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan berkaitan jenayah hidupan liar,” jelasnya.
KONSERVASI IN-SITU, EX-SITU

INFO
- Spesies tapir di dunia
i.Mountain Tapir (tapirus pinchaque)
ii.Lowland Tapir (tapirus terrestis)
iii.Baird’s Tapir (tapirus bairdii)
iv.Tapir Malaya (tapirus indicus)
- Nama lain Tapir Malaya
Tenuk
Cipan
Badak Tampung
Badak Tuli
Badak Murai
- Faktor kepupusan
i. Jerat
ii. Roadkill
iii. Pembukaan hutan
- Bilangan roadkill tapir Malaya
Tahun 2018 - 9 ekor
Tahun 2019 - 13 ekor
Tahun 2020 - 24 ekor
Tahun 2021 - 23 ekor
Tahun 2022 - 15 ekor
Tahun 2023 (Jan-Mac) - 3 ekor
JUMLAH - 87 EKOR
- Bilangan operasi selamat tapir Malaya
Tahun 2018 - 9 ekor
Tahun 2019 - 12 ekor
Tahun 2020 - 14 ekor
Tahun 2021 - 8 ekor
Tahun 2022 - 4 ekor
Tahun 2023 (Jan-Mac) - 4 ekor
- Saluran aduan jenayah/konflik hidupan liar
Hotline 1-800-88-5151
e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my
Klik di sini untuk terus membaca