ISU projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai bukanlah perkara baharu dan ia tidak terkecuali berlaku di Tampin, Negeri Sembilan. Terdapat dua projek PGBF terbengkalai hampir sedekad lamanya di daerah itu iaitu di... Klik di sini untuk terus membaca

ISU projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai bukanlah perkara baharu dan ia tidak terkecuali berlaku di Tampin, Negeri Sembilan. Terdapat dua projek PGBF terbengkalai hampir sedekad lamanya di daerah itu iaitu di tanah rancangan Bukit Jalor dan Rokan Utara. Bagi Ahli Parlimen Tampin, Mohd Isam Mohd Isa, isu tersebut sangat memberi kesan kepada dirinya memandangkan ramai warga peneroka di bawah Parlimennya terlibat.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SYAMILAH ZULKIFLI bersama Ketua UMNO Bahagian Tampin itu bagi berkongsi pandangannya berkenaan isu berkenaan dan perhatian yang perlu diberi kerajaan kepada warga Felda keseluruhannya.

SINAR HARIAN: Pada pandangan Yang Berhormat (YB), apa tindakan sepatutnya dilakukan kerajaan dalam menyelesaikan perkara ini supaya tidak berulang?

MOHD ISAM: Secara peribadi, saya berpandangan bahawa projek PGBF yang dilancarkan pada tahun 2013 dilakukan tergesa-gesa yang mana ketika itu Felda belum mempunyai kewangan kukuh bagi tujuan tersebut.

Bagi saya, perkara paling penting perlu dilakukan kerajaan pada hari ini ialah menyiapkan kesemua projek perumahan terbengkalai terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perancangan lain mengenai penempatan mereka.

Memperkenalkan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sememangnya telah memberikan nafas baharu dan disambut baik peneroka jika dibandingkan dengan PGBF.

Tapi, inisiatif itu juga hendaklah bergerak seiring dengan mengambil kira kemudahan infrastruktur asas yang sememangnya memerlukan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk merealisasikannya.

Mohd Isam memangku seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di kawasan Parlimennya.
Mohd Isam memangku seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di kawasan Parlimennya.
Mohd Isam memangku seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di kawasan Parlimennya.
Mohd Isam memangku seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di kawasan Parlimennya.

Pada Oktober 2022 lalu, kerajaan Negeri Sembilan melancarkan projek rintis Kediaman Harapan Generasi Baharu Felda dengan memberi tapak rumah berkeluasan minimum 371 meter persegi bagi pembangunan rumah generasi baharu Felda.

Justeru itu, saya berharap supaya Felda menyambut baik perkara ini dan memberikan kerjasama kepada kerajaan Negeri Sembilan supaya dapat mempercepatkan proses pembinaannya.

Selain itu saya juga berpendapat sudah tiba masa kerajaan meminda Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 yang menggariskan satu lot hanya boleh bina sebuah rumah sahaja.

Akta ini mungkin boleh dipinda kepada satu lot untuk membina dua buah rumah atau lebih agar dapat dimanfaatkan oleh generasi kedua dan seterusnya. Cadangan ini juga secara tidak langsung dapat menyelesaikan isu berbangkit bagi konsep bina sendiri.

SH: Selain isu itu, apa lagi permasalahan utama perlu diberi perhatian kerajaan terhadap warga Felda keseluruhannya?

Selain masalah perumahan, saya berpendapat kerajaan juga perlu beri perhatian terhadap isu pelupusan hutang peneroka. Pada Februari lalu, pelaksanaan inisiatif penghapusan hutang yang dimulakan pada 2021 tidak dapat diteruskan kerana telah memberikan impak besar terhadap aliran tunai Felda.

Keputusan itu sudah tentu beri kesan terhadap aliran tunai peneroka. Meskipun amaun perlu dibayar sekitar RM250 hingga RM350 saja, tetapi ia boleh memberi kesan kepada mereka khususnya pada saat ekonomi yang terus menekan sekarang. Mungkin ada yang merasakan amaun itu tidak tinggi, tapi ia tidak bagi peneroka.

Selain itu, kerajaan juga perlu beri perhatian terhadap pemasangan lampu jalan di tanah-tanah rancangan terutama yang telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dan sering berlakunya kemalangan dengan segera.

Ini kerana jalan-jalan di tanah rancangan dan jalan masuk ke tanah rancangan amat gelap pada waktu malam dan boleh mengakibatkan kemalangan. Pada masa sama perlu juga pastikan lampu-lampu jalan sedia ada berfungsi.

Begitu juga dengan sistem bekalan air di tanah rancangan perlu ditambah baik kerana kebanyakan paip air di kawasan Felda merupakan paip asal iaitu semasa tanah rancangan itu dibuka 30 hingga 40 tahun lalu.

Jadi kebanyakannya telah uzur dan sering berlaku kebocoran serta pecah sehingga mengganggu penggunaan harian warga peneroka, lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan iaitu semasa kadar penggunaan air yang tinggi.

SH: Adakah kerajaan hari ini sudah cukup membantu peneroka Felda atau ada yang perlu ditambah baik?

Objektif penubuhan Felda pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1936 ialah untuk membasmi kemiskinan melalui pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat luar bandar telah mencapai matlamatnya.

Kita boleh lihat ramai peneroka telah berjaya keluar dari garis kemiskinan negara dan anak-anak peneroka juga ramai telah berjaya dan dapat hidup dalam keadaan selesa.

Sudah sampai masanya peneroka generasi awal bersama-sama membantu generasi baharu dan generasi seterusnya supaya dapat menjamin masa depan yang lebih baik pada masa akan datang.

Mungkin kerajaan boleh mempelbagaikan lagi usaha untuk membantu generasi baharu Felda dengan memperkenalkan program-program yang bersesuaian dengan keadaan dan tuntutan semasa.

Mohd Isam (dua dari kanan) sentiasa menyantuni masyarakat di kawasannya.
Mohd Isam (dua dari kanan) sentiasa menyantuni masyarakat di kawasannya.
Mohd Isam (dua dari kanan) sentiasa menyantuni masyarakat di kawasannya.
Mohd Isam (dua dari kanan) sentiasa menyantuni masyarakat di kawasannya.

SH: Selepas diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Tampin, apakan yang menjadi tumpuan YB? Mungkin ada Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu perlu diberi perhatian?

Secara umumnya, saya mahu meneruskan semula agenda pembangunan di Tampin ini yang boleh disifatkan sebagai tergendala sejak perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Antara perkara yang akan menjadi fokus saya adalah pembangunan dari sudut infrastruktur, misalnya menaik taraf jalan Tampin-Gemas. Begitu juga dengan menarik pelaburan asing supaya dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

Selain itu, saya mempunyai impian supaya kawasan Tampin di DUN Gemencheh dijadikan sebagai Pusat Pendidikan Islam kerana di sana terdapat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Maahad Ahmadi, Institut Tahfiz Al-Quran (ITQAN) dan beberapa sekolah pondok.

Bagi DUN Gemas pula, saya merancang supaya kawasan tersebut dapat dijadikan sebagai destinasi agropelancongan setelah laluan komuter dari Gemas ke Johor Bahru bakal disiapkan dan dapat diakses tidak lama lagi. Gemas juga boleh dijadikan sebagai bandar tentera kerana terdapat kem tentera di sana.

Saya juga berhasrat untuk memastikan supaya sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan juga institusi pengajian tinggi (IPT) dapat dibuka di Tampin tidak kira sama ada di DUN Repah, Gemencheh mahupun Gemas bagi melonjakkan lagi ekonomi serta pendidikan masyarakat setempat.

SH: Sebelum ini YB telah nyatakan memilih untuk tidak pertahankan DUN Gemencheh pada PRN. Apakah faktor utama YB buat keputusan begitu?

Untuk makluman, saya merupakan satu-satunya individu yang membuat pengumuman secara terbuka untuk tidak mempertahankan kerusi DUN bagi penggal akan datang ketika sidang DUN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Antara faktor yang mendorong saya untuk membuat keputusan tersebut adalah kerana ingin memberikan fokus sepenuhnya selaku ahli Parlimen di kawasan Tampin yang mempunyai tiga buah kawasan DUN iaitu Gemas, Gemencheh dan Repah.Saya juga mahu memberi peluang kepada orang muda untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan di kawasan DUN Gemencheh.

Tidak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh bukanlah merupakan masalah besar bagi saya kerana tanggungjawab saya sekarang adalah kepada masyarakat keseluruhan di Gemas, Gemencheh dan Repah.

PROFIL

Mohd Isam Mohd Isa

Asal: Gemencheh, Negeri Sembilan

Status: Berkahwin

Umur: 54 tahun

Pendidikan: Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, UiTM

Jawatan:

Ahli Parlimen Tampin

ADUN Gemencheh

Bendahari UMNO Negeri Sembilan

Ketua UMNO Bahagian Tampin.

Klik di sini untuk terus membaca