SHAH ALAM - Kebanyakan syarikat bukan Muslim atau warganegara luar sedar betapa pentingnya mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi perniagaan mereka di negara ini. Begitu juga... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kebanyakan syarikat bukan Muslim atau warganegara luar sedar betapa pentingnya mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi perniagaan mereka di negara ini.

Begitu juga dengan salah sebuah restoran Korea di Ampang iaitu Sweetree yang sentiasa memastikan kualiti makanan diberikan kepada masyarakat menepati piawaian halal yang betul.

Pemilik restoran yang berasal dari Korea Selatan, Jin Hey Jin, 53, berkata, biarpun perniagaan itu bukan dari Malaysia mahupun syarikat Muslim, mereka amat mementingkan sijil halal bagi meyakinkan pelanggan menjamu selera tanpa rasa ragu.

"Kebanyakan pelanggan di Sweetree ialah orang Islam. Mereka juga merupakan sasaran pasaran kami sejak awal.

"Oleh itu, perkara pertama yang terlintas di fikiran sejurus membuka restoran di Malaysia, adalah mendapatkan sijil halal agar pengguna percaya dengan produk disediakan serta yakin untuk makan hidangan disajikan.

"Kami juga yakin, SPHM daripada Jakim adalah salah satu sijil terbaik dunia. Jadi ia akan meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan,” katanya.

Jelasnya, sijil halal Jakim itu dapat memberi jaminan keseluruhan bahawa perniagaan atau produk itu 100 peratus selamat digunakan semua rakyat Malaysia terutama umat Islam.

"Rata-rata bahan yang diambil dari Korea mengandungi cebisan daging khinzir atau alkohol. Kita juga tidak yakin dengan tempat yang digunakan untuk menyediakan bahan tersebut.

"Sepuluh tahun lalu, sangat sukar untuk mencari produk Korea yang halal.

"Kini, kita mempunyai ramai pengeluar tempatan yang boleh menyediakan permintaan diperlukan oleh pasaran halal,” katanya.

Kongsi Hey Jin, tujuan utama dia dan suami membuka perniagaan itu pada 10 tahun lepas adalah untuk menetap di Malaysia.

Restoran Sweetree, Ampang telah disahkan halal oleh Jakim pada tahun 2015.
Restoran Sweetree, Ampang telah disahkan halal oleh Jakim pada tahun 2015.

"Saya menetap di Malaysia selama 16 tahun kerana mengikuti suami yang bekerja di syarikat percetakan ketika itu.

"Pada tahun 2010, kami membuka restoran ini dan menjual makanan tradisi Korea seperti bibimbap dan topokki.

"Kami ambil lesen halal kerana sudah berniat untuk tinggal lama di Malaysia. Disebabkan itu, kami memastikan makanan yang disajikan mengikut standard industri halal negara ini,” jelasnya.

Berkongsi kejayaan memperoleh sijil halal Jakim selepas lima tahun restoran yang diusahakan itu dibuka, Hey Jin mengakui ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dikecapi.

"Kami memohon pada tahun 2010, namun sijil diperoleh pada 2015. Ia satu proses mencabar terutama dalam mencari bahan kandungan yang betul,” katanya.

Pada pandangan Hey Jin, kos yang ditetapkan Jakim berpatutan, cuma ia mengambil tempoh yang agak lama untuk memiliki sekeping sijil.

"Kami perlu membayar dalam RM250 setiap dua tahun untuk SPHM. Keseluruhannya, kami membelanjakan lebih kurang RM5,000 sehingga kini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca