SHAH ALAM - Tanggapan bahawa produk buatan Islam diyakini halal kerana pengusahanya merupakan seorang Muslim dipercayai menjadi punca sebahagian usahawan mengabaikan pengambilan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, sebahagian usahawan Islam menyakini nama orang Melayu selaku pembuat produk sudah mencukupi bahawa produk yang dikeluarkan halal.
"Justeru mereka merasakan apa yang dimiliki mereka sudah cukup dan tidak perlu bersusah-payah untuk memenuhi syarat-syarat yang digariskan oleh Jakim.
"Ini amat berbeza berbanding usahawan bukan Islam yang sangat memerlukan sijil tersebut bagi meyakinkan pengguna bahawa produk mereka adalah halal,” katanya kepada Sinar Premium.
Zaharuddin yang juga merupakan Pengarah Urusan Elzar Shariah Solution Sdn Bhd berkata, antara faktor usahawan bukan Islam lebih berminat untuk memiliki sijil halal Jakim untuk produk mereka adalah kerana kefahaman dan budaya keusahawanan yang menebal berbanding peniaga bumiputera.
"Mereka akan melakukan apa saja untuk mengembangkan perniagaan ke tahap tertinggi termasuk mendapatkan sijil halal Jakim dengan tujuan mencapai pasaran lebih luas dan menguntungkan,” katanya.
Tambahnya, usahawan bukan Islam memerlukan sijil tersebut bagi mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran Muslim yang merupakan majoriti di dalam mahupun luar negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan negara-negara Arab.
Tambahnya, jangkaan sama ada produk peniaga bukan Islam akan mendominasi lebih banyak sijil halal pada masa hadapan bergantung kepada sejauh mana minda keusahawan yang jitu dapat diterapkan dalam diri peniaga-peniaga Muslim.
"Kini, ramai yang menyedari tentang keperluan memiliki sijil halal dalam kalangan usahawan. Namun, ia masih memerlukan lebih banyak galakan dan motivasi agar mereka sanggup menghadapi segala kesukaran untuk mendapatkan logo halal.
"Sekiranya seseorang usahawan Muslim tidak mempunyai cita-cita besar dan berasa cukup dengan jualan kurang daripada RM100,000 setahun atau pendapatan sendiri yang mencecah RM5,000, permohonan sijil halal akan lambat bertambah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca